July 22, 2017

EPISOD 6 BUKU TERBANG MELAYANG



EPISOD 6
BUKU TERBANG MELAYANG
AZZAD MUZAHET

Dalam Episod 5 yang lalu, budak kampung ini belum jadi cabut lari dari Kelas 4A. Tapi dia masih menyimpan hasrat untuk cabut lari kerana tidak tahan menghadapi tekanan demi tekanan ketika berada dalam kelas itu. Dalam sembang-santai seterusnya, saya cuba ubah pertanyaan untuk mencungkil dari kisah-kisah sedih budak kampung ini kepada kisah hepi semasa di Kelas 4A.

Soalan: Seronok dengar cerita Ayah masa sekolah dulu-dulu. Tapi banyak yang sedih. Tak ada ke cerita yang hepi sikit?
Jawapan: Nak kata hepi tu tak tahu Ayah nak cakap, sebab keadaan Ayah masa tu yang serba-serbi kekurangan. Lagipun cikgu dulu garang. Tak macam cikgu sekarang, baik. Kalau tak baik pun kena paksa diri jadi baik sebab kalau cikgu pukul anak murid nanti cikgu kena tuduh mendera pulak. Sebab tu budak-budak sekarang tak takut cikgu. Kena marah sikit dah repot mak bapak. Jangan nak pukul, nak jentik telinga pun tak boleh.

Dulu, kalau cikgu pukul murid atau tumbuk perut murid, tu dah macam perkara biasa.

Soalan: Maksud Ayah cikgu dulu garang sampai main tumbuk perut budak?
Jawapan: Bukan tumbuk main-main. Tumbuk betul! Ayah ingat dulu cikgu Matematik, badan cikgu tu kecik jer, ada misai, tapi garang ya Robbi. Ada sekali tu, dia masuk kelas dan beri arahan.

“Kamu semua, buka muka surat 20. Buat latihan soalan nombor 1 sampai 5. Lepas tu, saya nak kamu tunjukkan jalan penyelesaian soalan-soalan itu di papan hitam. Siapa yang tak tahu, jumpa saya di depan!” kata Cikgu.

Lepas tu Ayah dengar ada suara budak bisik-bisik. “Engku tahu tak nak jawab soalan tu?” kata budak perempuan. “Tak tahu!” bisik budak lelaki. “Engkau pergilah depan tanya Cikgu, lepas tu engkau tunjuk aku!” bisik budak perempuan. “Aku takut,” bisik budak lelaki. “Sejak bila engkau jadi lelaki pengecut?” jawab budak perempuan. “Engkau bolehlah cakap sebab engkau perempuan, Cikgu tak tumbuk perut budak perempuan. Aku lelaki, Cikgu ni suka sangat perut budak lelaki. Mampus perut aku kena tumbuk nanti,” bisik suara lelaki. “Ala, bukan sakit pun!” jawab suara perempuan. “Siapa kata tak sakit? Senak engkau tau tak?” kata suara lelaki.

Soalan: Masa tu Cikgu tak marah ke budak-budak cakap-cakap dalam kelas?
Jawapan: Mau tak marah. “Siapa yang cakap tadi?” tanya Cikgu. “Kamu, yang duduk penjuru belakang tu datang depan!” Kata Cikgu, sambil menunjuk tangan. “Kalau saya tunjuk, jangan tunduk, pura-pura tak nampak! Kamu, yang tinggi, duduk penjuru belakang tu, datang depan, tunjuk jawapan soalan nombor 1!” arah Cikgu pada budak lelaki.

Budak lelaki tu jalan terhegeh-hegeh ke depan. Bila sampai kat papan hitam, dia ambil kapur tulis. Kemudian dia jalan ke kiri dan ke kanan. Lepas tu dia berhenti, tak tulis apa-apa. Yang nak jadi best tu dia senyum kat Cikgu. “Kamu, mari sini,” kata Cikgu. “Kenapa kamu senyum?” tanya Cikgu. “Saya tak tahu nak buat, cikgu,” kata budak lelaki.

Satu penumbuk singgah di perut budak lelaki yang bercakap dalam kelas.


“Kan saya dah bagi tahu! Kalau tak tahu nak buat, jumpa saya di depan! Kenapa tak jumpa?” tanya Cikgu, dengan serta-merta mencengkam seluar bahagian perut budak lelaki tu. “Tak mahu jumpa ya?” kata Cikgu, menarik seluar budak tu, “Boob!” satu penumbuk singgah kat perut budak lelaki tu.

Soalan: Ayah punya perut tak pernah jadi target cikgu matematik tu ke?
Jawapan: Dah jadi target, cuma belum nak kena. “Kamu ke depan. Buat soalan nombor 2,” kata Cikgu pada Ayah. Ayah seram. Ayah dah buat dalam buku latihan tapi tak pasti jawapannya betul atau salah. Ayah capai buku latihan, jalan ke papan hitam, ambik kapur tulis dan tulis semula jalan penyelesaian kat papan hitam. Lepas tu, Ayah letak kapur tulis dan berdiri, pandang Cikgu.

“Mari sini!” kata Cikgu. Kecut perut Ayah. Rasa dah senak sebelum kena tumbuk. “Kamu tengok baris kedua terakhir jalan yang kamu tulis. 20Y = 100. Y berapa?” tanya Cikgu. Ayah toleh papan hitam dan sedar dah buat salah. Apa lagi! Cikgu cengkam seluar Ayah kat perut dan angkat tangan nak lepas penumbuk. Tapi Ayah terselamat bila Cikgu lepas cengkaman dengan beri amaran. “Saya beri awak amaran pertama. Ingat! Lain kali jangan cuai,” kata Cikgu.

Mujur tak kena penumbuk! Kalau tak, mau dua tiga hari senak perut!

Soalan: Aduhai … cikgu Ayah dulu semua garang-garang. Tak ada ke cikgu yang tak garang? 
Jawapan: Ada. Cikgu bahasa Inggeris. Cikgu ni tak garang. Dia baik, selalu senyum.

Soalan: Owh…! Kalau cakap pasal bahasa Inggeris ni, masa dulu ramai orang pandai cakap Inggeris. Bukan setakat cakap,  ‘berabuk’ pulak tu!  Mat saleh pun kalah. Ayah fikir kenapa orang dulu pandai cakap orang putih? Tak macam sekarang?
Jawapan: Itu yang sekolah Inggeris. Yang sekolah Melayu bukan ‘cakap berabuk’ tapi cakap macam habuk. Bukan dulu jer. Sekarang pun sama.

Cuba fikir, 10 tahun belajar bahasa Inggeris, dari Tingkatan 1 sampai masuk universiti. Keluar universiti pun tak pandai cakap Inggeris..! 10 tahun belajar bahasa Inggeris masih tak pandai cakap Inggeris! Kan pelik tu…!

Soalan: Ha, ha, ha..! Pelik tetapi benar! Ayah fikir, kenapa jadi macam tu?
Jawapan: Mana tak..! Kaedah mengajar dan kandungan matapelajaran bahasa Inggeris tu sama jer, tak tukar-tukar. Dari Tingkatan 1 sampai Tingkatan 6. Asyik-asyik belajar past tense, present tense, future tense singular, plural. Tak habis-habis, benda yang sama tu jugaklah diulang-ulang.

Lepas tu bila budak-buak nak cuba cakap tak ‘sure’. Eh..!! pakai present tense ke past tense eik..! Is ke are eik..! Went ke go eik..! Come ke came eik..! Bila tak pasti, tak berani nak cakap. Takut salah, dikatawa dek orang. Bila tak berani nak cakap, tak cakap la. Bila tak cakap, tak praktis la. Bila tak praktis, tak jadi pandai la!

Soalan: Eh, betul jugak cakap Ayah tu, eik! Habis macam mana nak buat eik?
Jawapan: Ayah tak kata, apa yang Ayah sebut tadi tu tak penting. Tapi yang sama penting ialah ‘vocabulary’, perkataan. Ajar murid-murid kumpul ‘vocabulary’ banyak-banyak dengan maknanya sekali letak dalam otak. Barulah betul! Cuba fikir, kalu tak tahu ‘vocabulary’, tak tahu perkataan Inggeris, apa nak cakap? Macam mana nak cakap?

Soalan: Oooo..!! Macam Ayah cerita belajar bahasa Inggeris masa Ayah Tingkatan 1 dulu, yang Ayah cakap ‘smoke’ tu?
Jawapan: Haaaa..!! Ingat pun engkau. Ayah tak pernah belajar bahasa Inggeris sekolah rendah sebab tak ada cikgu. Masa masuk Tingkatan 1, cikgu lukis sebatang kapur tulis kat papan hitam. Lepas tu cikgu tanya Ayah, “Apa ini?” Ayah terpinga-pinga. Lepas tu budak duduk sebelah Ayah dengki. “Cakap aje smoke!” Ayah pun apa lagi, jerit, “smoke!” Penyudahnya cikgu panggil Ayah ke depan dan kena belangkung dengan pembaris panjang.

Soalan: Tapi memang betul la. Kalau tak ada vocabulary nak cakap macam mana?
Jawapan: Betul. Macam dulu, masa engkau kecik ikut Ayah pegi UK.  Minggu pertama masa engkau main dengan anak-anak mat saleh, engkau macam budak kera sumbang, terpinga-pinga bila anak mat saleh tanya engkau. Sebab apa? Sebab engaku tak tau perkataan Inggeris, tak ade vocabulary.



Luke, Dexter, Ashley & Azzad, 1994 UK
Minggu kedua, engkau mula ajuk perkataan-perkataan yang anak mat saleh sebut. Minggu ketiga dah tambah banyak perkataan. Minggu keempat dah mula cakap sikit-sikit dengan anak-anak mat saleh. Lepas sebulan engkau dah boleh cakap. Lepas 3 bulan bukan saja boleh cakap tapi sleng pun dah macam anak mat saleh jugak.

Ada engkau kisah pasal past tense, present tense, singular, plural masa tu..?? Cuma 3 bulan engkau dah boleh cakap, bukan 10 tahun masih tak boleh cakap!

Soalan: Tadi Ayah kata cikgu bahasa Inggeris tu baik. Sekurang-kurangnya ada la hepi sikit masa Ayah belajar dalam kelas dulu!
Jawapan: Kadang-kala hepi. Kadang-kala tak hepi. Engkau ingat tak masa Ayah cerita pasal Ayah pesan beli buku kat Dewaan Bahasa dan Pustaka (DBP) guna setem?

Soalan: Ingat..!! Lepas tu DBP balas surat Ayah. Dia orang kata DBP tak jual buku pakai setem. Lepas tu dia pulang balik duit dengan setem yang Ayah hantar. Dan buku yang Ayah pesan pun tak dapat. Lepas tu apa jadi Ayah?
Jawapan: Lepas tu berlaku kisah ‘buku terbang’.

Soalan: Buku terbang?
Jawapan: Ya. Buku terbang. Hari tu Cikgu masuk kelas. Dia suruh budak-budak keluarkan buku tu dan suruh baca muka surat yang dia kata. Ayah keluarkan buku lain dan pura-pura baca. Cikgu perasan. Dia datang kat Ayah. Kemudian dia rampas buku Ayah dan lempar buku tu terbang ke depan kelas dan jatuh di penjuru dinding.



“Saya telah beri amaran kedua pada kamu. Kali ini kamu buat lagi. Sekarang, kamu keluar. Keluar …!” jerit Cikgu dengan tuding jari telunjuk arah pintu keluar.

Soalan: Kesian Ayah. Habis, Ayah tinggalkan kelas?
Jawapan: Ayah sedih. Fikiran ayah berkecamuk, tak tahu apa nak buat dan tak tahu ke mana nak pegi. Ayah pujuk hati supaya bersabar dan heret kaki turun tangga, jalan ke kantin. Ayah tak pernah makan kat kantin tu sejak Ayah sekolah. Masa duduk, Ayah tengok sorang Mak Cik tengah kemas nak tutup kantin. Dia datang kat Ayah,


Mak Cik sedang kemas untuk tutup kantin.
“Anak tak masuk kelas ke?” tanya Mak cik. “Tak Mak Cik,” Ayah jawab. “Kenapa?” tanya Mak Cik. Ayah tak jawab dan diamkan diri. Lepas tu Mak Cik masuk kantin dan sekejap tu dia keluar bawak satu bungkusan. “Nah! Makcik ada ini aje. Makanlah!” kata Mak Cik. “Terima kasih Makcik,” kata Ayah.

Ayah buka bungkusan. Ada sebiji kuih pau warna putih. Ayah pegang kuih pau tu tapi rasa tak tertelan nak makan. Lepas tu Ayah cakap sorang-sorang. “Ada jugak manusia yang berhati mulia macam Mak Cik ni yang faham dan simpati dengan apa yang aku sedang rasai. Semoga Mak Cik yang berhati mulia ini diberkati hidupnya dan dimurahkan rezekinya,” bisik hati kecil Ayah.

Soalan: Sampai bila Ayah kena duduk kat kantin?
Jawapan: Sampai habis waktu sekolah. Sebab masa tu matapelajaran terakhir. Lepas loceng bunyi, budak-budak mula keluar kelas dan balik rumah masing-masing.

Ayah selalunya bila nak balik sekolah Ayah akan tunggu semua budak habis balik. Barulah Ayah pegi ambik basikal balik rumah. Sebab Ayah tak mahu ada budak-budak nampak dan tahu basikal togel yang paling buruk tersandar kat tempat letak basikal sekolah tu adalah milik Ayah.

Bersambung …