October 21, 2018

MALAYSIA STATUS NEGARA MAJU 2019



MALAYSIA STATUS NEGARA MAJU 2019
DR MUZAHET MASRURI


Ketika membentangkan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) 2016-2020 di Parlimen pada 18 Oktober 2018 lalu, YAB Perdana Menteri menegaskan usaha Kerajaan, 

“… untuk menambah baik dan memperkukuh agenda pembangunan negara berasaskan prinsip pertumbuhan dengan ekuiti ke arah mencapai status negara maju dan inklusif selaras dengan aspirasi Wawasan 2020.”

Perkataan 'negara maju' terlalu kerap kita dengar. Apa sebenarnya maksud status negara maju?

Status negara maju dan berpendapatan tinggi mengikut takrif Bank Dunia adalah negara yang mempunyai pendapatan per kapita USD 12,055 atau lebih (lihat Rajah 1).


Pendapatan per kapita adalah purata pendapatan tahunan penduduk sesebuah negara. Ia ditentukan dengan membahagikan jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dengan jumlah penduduk negara berkenaan.

Pada masa ini terdapat 57 buah negara di dunia yang diklasifikasikan oleh Bank Dunia sebagai negara berpendapatan tinggi.

Malaysia belum layak diklasifikasikan sebagai negara berpendapatan tinggi kerana pendapatan per kapita Malaysia pada tahun 2017 ialah USD 9,945, iaitu di bawah tahap yang tentukan oleh Bank Dunia.

Mengambil kira kedudukan kewangan negara yang sedang gawat dan pertumbuhan ekonomi yang dijangka menurun pada tahun 2018 serta perubahan trend ekonomi global, tidakkah keadaan ini akan menjejaskan Malaysia untuk mencapai status negara maju?

Memang benar, krisis kewangan yang berlaku sekarang ini boleh menjejaskan keupayaan Malaysia menjadi sebuah negara maju kerana ia akan membawa implikasi pertumbuhan ekonomi yang perlahan dan seterusnya pendapatan per kapita yang rendah.

Bagaimanapun, masalah ini adalah bersifat sementara dan ia berlaku dalam ekonomi mana-mana negara di dunia. Misalnya, Malaysia pernah mengalami keadaan seperti ini ketika Krisis Kewangan Asia 1997/98, kelembapan ekonomi Amerika Syarikat 2001, Peristiwa 11 September 2001 dan kelembapan ekonomi global 2009 (lihat Raja 2). Melalui langkah-langkah yang dilaksanakan, ekonomi dapat dipulihkan tanpa menjejaskan matlamat jangka panjang pertumbuhan ekonomi negara.

Adakah ia bermakna dengan kedudukan kewangan yang gawat sekarang ini Malaysia boleh mencapai status negara maju berpendapatan tinggi?

Seperti yang disebut, kedudukan kewangan yang gawat sekarang ini adalah bersifat sementara.

Wawasan 2020 yang diperkenalkan pada tahun 1991 adalah dasar pembanguan negara jangka panjang, merangkumi temph 30 tahun yang mensasarkan Malaysia menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.

Bagi tempoh 1991-2017, Malaysia mencatat pertumbuhan ekonomi yang stabil, terutamanya pada awal tahun 1990-an di mana pertumbuhan ekonomi adalah tinggi. Misalnya, pada tahun 1996, Malaysia mencatat pertumbuhan 10%, suatu catatan paling tinggi dalam sejarah pertumbuhan ekonomi negara (lihat Rajah 2).



Walaupun pernah mengalami kelembapan ekonomi, seperti yang disebut di atas tetapi pertumbuhan bagi tahun-tahun seterusnya, secara relatifnya adalah stabil.

Kestabilan ekonomi Malaysia menarik perhatian penganalisis dan agensi antarabangsa yang meramalkan Malaysia akan mencapai status negara berpendapatan tinggi seperti yang disasarkan dalam Wawasan 2020.

“…Malaysia to reach high-income status between 2020 and 2024: World Bank.” New Straits Times, October 20, 2018

Malah agensi antarabangsa, International Monetary Fund (IMF) meramalkan Malaysia akan mencapai status negara berpendapatan tinggi lebih awal.

".... Malaysia can achieve high-income nation status soon, IMF says". Malay Mail, 8 March 2018.

IMF meramalkan Malaysia akan mencapai status negara maju berpendapatan tinggi 2019

IMF merekodkan data ‘time series’ pendapatan per kapita Malaysia bagi tempoh 1980-2023. Jadual 1 di bawah adalah cabutan data berkenaan bagi tempoh 2015-2023.


Daripada Jadual di atas, pada tahun 2019, Malaysia diramal mencatat pendapatan per kapita USD 12,240. Angka ini adalah lebih tinggi daripada USD 12,055, iaitu tahap minimum pendapatan per kapita yang diklasifikasikan oleh Bank Dunia sebagai status negara berpendapatan tinggi.

Oleh yang demikian, berasaskan ramalan IMF, Malaysia akan melangkah ke status negara berpendapatan tinggi pada tahun 2019, lebih awal daripada ramalan Bank Dunia dan sasaran yang ditetapkan dalam Wawasan 2020.

Kita boleh berbangga dengan kejayaan Malaysia melangkah ke status negara maju berpendapatan tinggi, sebagaimana yang diimpikan hampir 30 tahun lalu melalui Wawasan 2020. Tetapi, berbagai persoalan boleh ditimbulkan.

Adakah status negara berpendapatan tinggi menjamin kesejahteraan hidup rakyat jelata?

Tidak. Seperti dinyatakan oleh IMF, pendapatan per kapita digunakan sebagai pertunjuk sama ada rakyat di negara berkenaan mempunyai purata pendapatan lebih tinggi atau rendah berbanding tahun-tahun sebelumnya. Ia tidak menjelaskan kualiti hidup dan tahap kesejahteraan rakyat yang bergantung kepada faktor-faktor lain

Apa contoh petunjuk kesejahteraan rakyat?

Antara petunjuk kesejahteraan rakyat bagi sesebuah negara adalah ‘agihan pendapatan’. Idealnya kekayaan negara hendaklah diagihkan sama rata di kalangan penduduk dalam sesebuah negara. Tetapi, realitinya keadaan ini tidak pernah belaku dalam sejarah mana-mana negara di dunia.

Contohnya, tidak semua rakyat Malaysia mempunyai pendapatan per kapita yang sama USD 9,945 pada tahun 2017. Ada yang mempunyai pendapatan berkali ganda lebih tinggi dan ada yang mempunyai pendapatan jauh lebih rendah. Keadaan ini dirujuk sebagai ‘jurang pendapatan’ antara yang kaya dan miskin yang berlaku di Malaysia (dan di negara-negara lain)

Contoh jurang pendapatan antara golongan kaya dan miskin di Malaysia adalah dijelaskan dalam Jadual 2.


Perangkaan dalam jadual tersebut menjelaskan, sebahagian besar (40%) rakyat kumpulan berpendapatan rendah di negara ini hanya memiliki bahagian yang kecil (16.4%) kekayaan negara. Sebaliknya, sebahagian besar kekayaan negara (46.2%) dimiliki hanya sebahagian kecil (20%) rakyat di negara ini.

Kesimpulan

Malaysia diramal melangkah ke status negara maju berpendapatan tinggi pada tahun 2019. Ia merupakan suatu penantian yang ditunggu-tunggu hampir 30 tahun lalu dan akhirnya menjadi kenyataan.

Bagaimanapun, status negara maju berpendapatan tinggi tidak menjamin kesejahteraan dapat dinikmati oleh semua rakyat. Oleh itu, adalah menjadi tanggung jawab besar pihak perancang dan pelaksana di bawah Kerajaan yang baharu dibentuk bagi memastikan nikmat pembangunan dapat direalisasikan dan diagihkan dengan lebih saksama.

Penulis: Dr.Muzahet Masruri.  Ph.D (Economics),  University of East Anglia, United Kingdom.