SENGKETA DAGANG AMERIKA-CHINA: APA PUNCA DAN IMPLIKASINYA KE ATAS MALAYSIA?
DR MUZAHET MASRURI
Dunia sedang memerhati sengketa dua gergasi ekonomi dunia, Amerika Syarikat dan China dalam agenda perdagangan antarabangsa.
Amerika Syarikat adalah kuasa ekonomi terbesar di dunia. Nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Amerika berjumlah USD 18.5 trilion dan menyumbang 24.7% daripada keseluruhan ekonomi dunia (Jadual 1).
China, sebelum tahun 1980, di bawah pemerintahan Parti Komunis China mengamalkan dasar ekonomi tertutup (closed economy), iaitu tidak menjalankan perdagangan dengan dunia luar. Sejak awal tahun 1980-an China mula membuka ekonominya kepada dunia luar dan menandatangani beberapa perjanjian perdagangan dengan negara-negara serantau. Pada 11 Disember 2001 China menjadi ahli World Trade Organization (WTO). Kemasukannya sebagai anggota WTO menyaksikan integrasi China yang mendalam dalam perdagangan dan ekonomi dunia.
Sejak itu, perdagangan luar China berkembang dengan pesat. Pada tahun 2011, China telah mengambil alih sebagai kuasa ekonomi ke-2 terbesar dunia yang dimiliki oleh Jepun sebelumnya. Jumlah KDNK China pada tahun 2016 bernilai USD 11.4 trilion dan menyumbang 15.1% kepada ekonomi dunia (Jadual 1).
MENGAPA MEREKA BERSENGKETA?
Ada 2 faktor: (i) defisit dagang (trade deficit), dan (ii) harta intelek (intellectual property).
(I) DEFISIT DAGANG
Faktor utama sengketa dagang Amerika-China adalah berpunca daripada defisit dagang (trade deficit) yang telah sekian lama dialami Amerika. Kemuncak sengketa tersebut bermula apabila Donald Trump mengambil alih kuasa sebagai Presiden Amerika Syarikat pada 20 Januari 2017.
Apa itu defisit dagang? Dalam pengertian yang mudah, defisit dagang adalah petunjuk mengenai imbangan perdagangan antara sebuah negara dengan negara-negara lain. Defisit berlaku apabila nilai bayaran ke atas barangan yang diimport oleh sesebuah negara melebihi nilai pendapatan daripada barangan yang dieksport. Sebaliknya, jika nilai barangan eksport melebihi import, ia dinamakan lebihan dagang (trade surplus).
Mengapa Amerika bimbang defisit dagang dengan China? Perkara yang dibimbangi oleh kebanyakan negara di dunia mengenai defisit yang berterusan ialah kaitannya dengan kesan negatif terhadap kestabilan dan pertumbuhan ekonomi sesebuah negara. Antaranya, bayaran hutang negara yang meningkat, penutupan industri tempatan berikutan persaingan dan permintaan yang meningkat bagi barangan import yang murah, pengangguran dan penurunan nilai mata wang berikutan penurunan barangan eksport.
Berapa defisit dagang Amerika dengan China? Pada tahun 2017, defisit dagang Amerika dengan China berjumlah $375.6 billion. Defisit ini berlaku kerana pendapatan Amerika daripada eksport barangan ke China bernilai $130 bilion manakala bayaran import Amerika kepada China berjumlah $505.5 bilion.
Bagaimana tren imbangan perdagangan Amerika – China sebelum ini? Sejak China mengambil alih status sebagai kuasa ekonomi nombor 2 terbesar di dunia pada tahun 2011, imbangan dagang China dengan Amerika sentiasa berada dalam kedudukan lebihan (surplus), iaitu nilai pendapatan daripada eksport melebihi bayaran import yang menguntungkan China. Misalnya, pada tahun 2011, lebihan dagang (pendapatan eksport ditolak dengan bayaran import) China berjumlah $201.9 bilion dan jumlahnya terus meningkat kepada $250.6 bilion pada tahun 2016 (Jadual 2).
Sebaliknya, imbangan perdagangan Amerika dengan China sentiasa berada dalam kedudukan defisit, iaitu nilai bayaran import melebihi pendapatan daripada eksport, yang merugikan Amerika. Jadual 2 menunjukkan, pada tahun 2010 defisit dagang Amerika dengan China berjumlah $ -273.1 bilion dan jumlahnya terus meningkat kepada $ -375.6 bilion pada 2017.
Sebaliknya, imbangan perdagangan Amerika dengan China sentiasa berada dalam kedudukan defisit, iaitu nilai bayaran import melebihi pendapatan daripada eksport, yang merugikan Amerika. Jadual 2 menunjukkan, pada tahun 2010 defisit dagang Amerika dengan China berjumlah $ -273.1 bilion dan jumlahnya terus meningkat kepada $ -375.6 bilion pada 2017.
(II) HARTA INTELEK
Amerika menuduh China mencuri harta intelek dengan memaksa syarikat-syarikat milik Amerika yang ingin menjalankan perniagaan di China memindahkan rahsia teknologi dan perniagaan kepada syarikat-syarikat, terutamnaya milik kerajaan, sebelum diberikan akses kos pengeluaran yang rendah dan pasaran yang luas di China.
Hari ini hampir semua barangan jenama Amerika diperbuat di China. Ia merangkumi daripada barangan elektronik, jentera, aksesori, alat ganti sehinggalah pakaian dan peralatan perubatan. Barangan siap akan dieksport ke Amerika yang dikategorikan sebagai barangan import.
Suruhanjaya the Theft of American Intellectual Property menganggarkan Amerika kerugian antara $225 - $600 bilion setahun daripada kecurian harta intelek.
APA RESPON AMERIKA?
Sengketa dagang antara Amerika Syarikat dengan China meletus mulai Mei 2018 apabila Amerika mengancam mengenakan kenaikan cukai ke atas barangan import China.
Pada Jun 2018 pentadbiran Trump mengistiharkan mengenakan 25% cukai import ke atas barangan yang diimport dari China. Tambahan 10% cukai impot akan dikenakan sekiranya China mengambil tindakan balas menaikkan cukai import barangan Amerika. China bertindak balas dengan mengenakan 25% cukai import ke atas barangan pertanian dan ternakan yang diimport dari Amerika.
Sejak dari tarikh tersebut, kedua-dua buah negara saling bertimbal balas mengenai kenaikan tarif ke atas senarai barangan import ke negara masing-masing.
APA IMPLIKASI SENGKETA DAGANG AMERIKA – CHINA?
(i) Pertumbuhan ekonomi dunia
Sengketa dagang Amerika-China dilihat akan meningkatkan harga barangan pengguna di peringkat global. Ini kerana China adalah pengeksport No.1 dunia dengan nilai eksport $2.2 trilion dan Amerika Syarikat No.3 dengan nilai eksport $1.6 trilion (The World Facts Book, 2017).
Pengguna akan terjejas kerana terpaksa membayar harga barangan yang lebih mahal. Ia juga akan menjejaskan syarikat dan industri pengeluar yang terpaksa mengenakan harga barangan yang lebih tinggi kepada pengguna. Bagi negara pula, kenaikan tarif di Amerika dan China akan meningkatkan bayaran ke atas barangan import, meningkatkan defisit fiskal dan hutang negara.
Secara keseluruhan, kenaikan harga akan mengurangkan permintaan dan menjejaskan pertumbuhan ekonomi dunia dalam tempoh terdekat.
(ii) Asia pusat pertumbuhan dunia
Sengketa dagang Amerika-China juga dilihat akan memperkukuhkan kedudukan Asia sebagai pusat pertumbuhan dunia. Negara-negara di luar Asia, seperti Negara-negara Kesatuan Eropah (EU) yang terdiri daripada 28 buah negara anggota melihat Asia lebih penting daripada Amerika daripada segi pasaran (Independent Megazine, 6 Julai 2018). China mempunyai penduduk 1.4 bilion, India (1.3 bilion), ASEAN (600 juta) manakala Amerika Syarikat hanya 324 juta.
Kecenderungan EU lebih memberi fokus kepada negara-negara Asia ditunjukkan daripada jumlah eksport EU ke negara-negara Asia pada tahun 2017 adalah lebih tinggi daripada Amerika Syarikat. Pertumbuhan eksport ke Asia juga meningkat dua kali ganda lebih tinggi daripada eksport ke Amerika (Independent Megazine, 6 Julai 2018).
APA IMPLIKASINYA KE ATAS MALAYSIA?
Peningkatan defisit dagang
Peningkatan defisit dagang
Sebagai sebuah negara kecil, Malaysia tidak akan terlepas daripada tempias sengketa ini. Seperti kata pepatah Melayu ‘gajah sama gajah bertarung, pelanduk mati di tengah-tengah’.
China dan Amerika adalah rakan dagang ke-2 dan ke-3 terpenting bagi Malaysia (Rajah 1).
Pada tahun 2016, Malaysia mengalami defisit perdagangan dengan China. Eksport Malaysia ke China berjumlah RM58.9 bilion manakala imprt berjumlah RM90.4 bilion menjadikan defisit berjumlah RM31.5 bilion. Perdagangan dengan Amerika berada dalam keadaan lebihan (surplus) sebanyak RM15.4 bilion, iaitu eksport RM52.4 bilion dan import RM37.0 bilion (Jabatan Perangkaan Malaysia: Perdagangan Malaysia dengan Rakan Dagang Utama, 2017).
Peningkatan tarif di kedua-dua negara rakan dagang utama tersebut dijangka akan menjejaskan imbangan perdagangan Malaysia dengan peningkatan defisit dagang. Pengurangan eksport berikutan peningkatan tarif akan mengurangkan pendapatan eksport dan ia dijangka menjadi antara faktor penyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia yang perlahan bagi tempoh terdekat.
.
APA PERLU MALAYSIA LAKUKAN?
Malaysia perlu meneruskan dan memperkukuhkan hubungan perjanjian perdagangan dua-hala yang ditandatangani dengan negara-negara, seperti China, Jepun, United Kingdom, Australia, Sweden dan Singapura.
Lawatan rasmi Tun Mahathir ke Jepun dan China baru-baru ini merupakan langkah proaktif bagi mengurangkan tempias sengketa Amerika-China ke atas Malaysia.
Perjanjian dua-hala adalah penting untuk mengurangkan atau manghapuskan tarif, kuota import, halangan eksport dan sekatan-sekatan dagang yang lain bagi meningkatkan perdagangan dan pelaburan dengan negara-negara berkenaan
KESIMPULAN
Sengketa dagang Amerika-China tidak menguntungkan mana-mana pihak. Malah, ia dilihat akan menjejaskan pertumbuhan ekonomi dunia bagi tempoh terdekat.
Sengketa tersebut juga dilihat akan mengubah senario perdagangan global dan membuka lebih banyak perjanjian dua-hala di kalangan negara-negara serantau di Asia, yang akhirnya akan lebih memihak kepada China daripada Amerika Syarikat dalam persengketaan tersebut. Ini kerana Asia mempunyai kelebihan dan berpotensi menjadi pusat pertumbuhan dunia, terutamanya dengan kehadiran China di rantau ini.
Malaysia perlu meneruskan dan memperkukuhkan hubungan perjanjian perdagangan dua-hala yang ditandatangani dengan negara-negara, seperti China, Jepun, United Kingdom, Australia, Sweden dan Singapura.
Lawatan rasmi Tun Mahathir ke Jepun dan China baru-baru ini merupakan langkah proaktif bagi mengurangkan tempias sengketa Amerika-China ke atas Malaysia.
Perjanjian dua-hala adalah penting untuk mengurangkan atau manghapuskan tarif, kuota import, halangan eksport dan sekatan-sekatan dagang yang lain bagi meningkatkan perdagangan dan pelaburan dengan negara-negara berkenaan
KESIMPULAN
Sengketa dagang Amerika-China tidak menguntungkan mana-mana pihak. Malah, ia dilihat akan menjejaskan pertumbuhan ekonomi dunia bagi tempoh terdekat.
Sengketa tersebut juga dilihat akan mengubah senario perdagangan global dan membuka lebih banyak perjanjian dua-hala di kalangan negara-negara serantau di Asia, yang akhirnya akan lebih memihak kepada China daripada Amerika Syarikat dalam persengketaan tersebut. Ini kerana Asia mempunyai kelebihan dan berpotensi menjadi pusat pertumbuhan dunia, terutamanya dengan kehadiran China di rantau ini.
Penulis: Dr Muzahet Masruri. Ph. D (Economics), University of East Anglia, United Kingdom.