May 22, 2018

SST DIPERKENALKAN KERANA GST TIDAK SEINDAH SEPERTI DIKABARKAN



SST DIPERKENALKAN KERANA GST TIDAK SEINDAH SEPERTI DIKABARKAN
DR MUZAHET MASRURI

SST akan diperkenalkan semula mulai 1 Jun 2018 menggantikan GST yang menjadi rintihan dan keluhan rakyat sejak diperkenalkan pada 1 April 2015. Ini bermakna dengan pengenalan semula SST, cukai GST ditetapkan pada kadar 0% berbanding 6% peratus sebelumnya.

Walaupun rakyat umumnya menyambut baik langkah menghapuskan GST tetapi ada golongan tertentu yang tidak bersetuju dengan pengenalan semula SST kerana ia akan mengurangkan kutipan hasil cukai kerajaan. Mengenai sentimen beban yang ditanggung oleh rakyat akibat kenaikan harga barangan berikutan pelaksanaan GST, golongan ini menghujah bahawa sentimen tersebut adalah bersifat sementara dan lama-kelamaan rakyat akan menerimanya,

 “… consumer sentiments were impacted by the rise in the cost of living in the beginning, sentiments had improved and household spending growth had normalised…” (The New Straits Times, May 3, 2018).

Sebagai rakyat marhaen, kita amat keciwa dengan cara pemikiran pendokong GST seperti ini. Bagi mereka, biarlah rakyat menanggung beban kenaikan harga dan kos sara hidup yang tinggi, asalkan kerajaan boleh mengutip cukai dan mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh untuk membiayai perbelanjaan mengurus.

Berapa banyak hasil kerajaan yang dikutip melalui cukai?

Cukai adalah sumber utama pendapatan kerajaan sejak sekian lama. Pada tahun 2017, jumlah keseluruhan hasil Kerajaan Persekutuan ialah RM225.3 bilion. Daripada jumlah tersebut, RM180.2 bilion (80%) adalah daripada kutipan cukai (lihat Jadual 1).


Berapa beza kutipan cukai SST dan GST?

Sejak diperkenalkan pada tahun 1970-an, SST adalah penyumbang ke-4 terbesar kepada hasil Kerajaan Persekutuan (lihat Jadual 2). Pada tahun 2014, kutipan cukai SST ialah RM17.7 bilion. Apabila GST diperkenalkan pada 1 April 2015, ia adalah penyumbang ke-2 terbesar kepada hasil kerajaan dengan kutipan cukai GST berjumlah RM41.5 bilion pada tahun 2017.


Mengapa kutipan GST lebih besar daripada SST?

Ia disebabkan berbagai faktor:

 i. Skop GST adalah bersifat regresif, iaitu pengenaan cukai yang lebih luas ke atas berbagai jenis barangan pengguna. Minum segelas teh tarik dan makan sekeping roti canai di kedai mamak pun kena caj GST.

ii. Jenis barangan yang dikecualikan daripada GST sangat kecil dan kesannya untuk mengurangkan beban kos sara hidup pengguna adalah tidak signifikan.

iii. Semua pengguna, tanpa mengira kedudukan pendapatan, dikenakan GST 6%.

iv. Pada mata kasar, pengguna hanya dikenakan 6% GST. Tetapi realitinya, pengguna dikenakan caj lebih daripada 6%.

Mengapa pengguna dikenakan caj GST lebih 6%?

Berbagai penyalahgunaan dan penipuan berlaku dalam berbagai peringkat pengeluaran barangan akhir pengguna.

GST adalah cukai yang dikenakan ke atas barangan dan perkhidmatan nilai tambah (value added) yang terlibat dalam ‘rantaian proses pengeluaran’. Dalam peringkat pengeluaran tersebut setiap pengeluar, pemborong dan peruncit dibenarkan mengenakan cukai 6% GST. Tetapi mereka tidak dibenarkan menaikkan harga kerana mereka boleh menuntut semula GST 6% kepada kerajaan dan akan dibayar dalam tempoh 2 minggu hari bekerja.

Realitinya ialah ramai pengeluar, pemborong dan peruncit, sama ada mereka membuat tuntutan atau tidak membuat tuntutan balik 6% GST, harga yang dijual adalah termasuk GST. Sekiranya mereka membuat tuntutan GST, mereka akan memperolehi keuntungan berganda, iaitu keuntungan daripada kenaikan harga barangan dan keuntungan daripada tuntutan GST.

Mengapa pihak yang terlibat menaikkan harga barangan yang tinggi sedangkan mereka boleh menuntut semula 6% cukai GST daripada kerajaan?

Terdapat rungutan di kalangan pengeluar, pemborang dan peruncit yang tidak dibayar tuntutan balik GST 6%. Sesetengahnya melibatkan jumlah terkumpul bernilai puluhan juta ringgit yang menjejaskan pusingan modal mereka sehingga terpaksa membuat pinjaman bank dan membayar faedah.

Dalam situasi seperti ini, tidak hairanlah kalau pengeluar, pemborang dan peruncit menaikkan harga barangan dan perkhidmatan yang tinggi bagi melindungi (hedge) risiko yang mereka hadapi.

Kalau kerajaan bayar balik semua tuntutan GST, adakah jumlah bersih kutipan GST RM41.5 bilion yang direkodkan pada tahun 2017 itu benar?

Secara logik, kalau semua tuntutan GST oleh pengeluar, pemborang dan peruncit dibayar balik oleh kerajaan maka jumlah bersih kutipan cukai dalam sistem GST adalah jauh lebih rendah daripada RM41.5 bilion.

Kutipan bersih GST rendah walaupun pengguna kena bayar GST berlipat ganda. Siapa yang untung?

Hanya pengguna sahaja yang kena bayar GST yang kadarnya melebihi 6%. Sedangkan pengeluar, pemborang dan peruncit tidak dikenakan tetapi mengenakan GST serta menaikkan harga barangan dan perkhidmatan bagi mencari keuntungan dan melindungi risiko yang mereka hadapi sekiranya tuntutan 6% GST tidak dibayar balik oleh kerajaan.

Kesimpulan

Tindakan kerajaan memperkenalkan semula SST amat dialu--alukan kerana GST tidak seindah seperti yang dikabarkan.

Dengan pengenalan semula SST, rakyat mengharapkan beban kenaikan harga dan kos sara hidup yang terpaksa ditanggung selama ini akan dapat diredakan dan mengubah kehidupan masa depan yang lebih baik.

Penulis: Dr Muzahet Masruri.  Ph. D (Economics), University of East Anglia, United Kingdom.