April 19, 2017

Episod 3: Kenapa Boss Suka Marah dan Tunjuk Garang?


Episod 3:
Kenapa Boss Suka Marah dan Tunjuk Garang?


Punggung tak panas, mesyuarat dah habis!

Sebaik dia bangun dari tempat duduk selepas mempengerusikan mesyuarat, jauh dari barisan sebelah kiri meja mesyuarat, dia terdengar suara berkata sesuatu, tetapi dia tidak pasti siapa. “Sekejap benar mesyuarat! Aku datang dengan ‘traffic jam’, tak panas ponggong, dah habis mesyuarat!” katanya.

Selepas itu, dia terdengar suara Juhari Shaarani menjawab. “Baguslah macam tu! Daripada nak dengar KSU berleter panjang-panjang, campak buku, campak fail dan marah-marah! Nak buat apa? Lepas tu, sembang-sembang dalam mesyuarat! Hey, teman! Mesyuarat bukan tempat sembang! Kalau nak sembang-sembang, pergilah kedai kopi!” katanya. “Wah..! Sekarang kamu dah pandai ikut cara KSU ya..!” kata suara yang tidak dikenalinya.

SESI TAKLIMAT
Dari Kiri: Shamsiah, Juhari Shaarani, Datuk Zuraina, Dato' Norliza. Paling Kanan, Hajjah Fatimah

Ringkas, padat, fokus dan jelas

Belumpun sempat beredar dari bilik mesyuarat, dia dihampiri ramai pegawai yang seolah-olah tidak mahu melepaskannya kembali ke pejabat.

“Dr.! saya suka dengan cara Dr. kendalikan mesyuarat. Ringkas, padat, fokus dan jelas! Saya juga suka cara Dr. beri arahan dan panduan yang sangat berguna bagi kami!” kata Prof. Datuk Zuraina Abd. Majid, Ketua Pengarah, Jabatan Warisan Negara yang bertubuh kecil, lemah lembut dan betutur dengan sopan, layaknya seperti perawakan seorang kakak yang baik.

KSU tak garang dan tak sombong...!

Sedang semakin ramai pegawai yang datang mengerumuninya, tiba-tiba dia terdengar suatu suara yang lantang. “Ha..! Kamu semua, sukalah ya dengan KSU baru ni..! ‘Gentleman’, tak garang dan tak sombong!”, kata Juhari yang banyak mulut dan tiba-tiba menyahut dari belakang.

Perkataan-perkataan yang diucapkan oleh Juhari benar-benar menyentap perasaannya ketika itu. Dia teringat pesan arwah ayahnya kira-kira 2 bulan sebelum beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir. “Ayah tahu, engkau sekarang dah jadi orang besar! Tapi ayah nak berpesan, bila dah jadi orang besar tu jangan sombong..! Ingat orang susah yang perlu dibantu!” kata ayahnya yang sampai sekarang masih tersemat di dalam hatinya. Pesanan itulah yang menjadi sebahagian daripada sandaran sebelum dia melakukan sesuatu tindakan dan membuat keputusan.

Jadi boss kena garang supaya orang takut dan hormat?

“Mungkin orang lain tidak suka dengan cara saya,” katanya menjawab kata-kata Juhari. “Sebab, kata orang kalau jadi boss kena garang supaya orang takut dan hormat. Kalau tidak, nanti pegawai tak takut boss dan tak ‘respect’ boss!” katanya di hadapan pegawai-pegawai yang seolah-olah tidak mahu beredar.

“Tetapi saya berfikir sebaliknya. Kita boleh arah pegawai dengan cara marah dan baling fail. Pegawai itu akan ikut arahan dan buat kerja, tetapi dia pergi dengan hati yang marah, tidak ikhlas!” katanya.

Mendampingi staf bawahan
“Tetapi, kalau kita suruh dengan baik, ‘appreciate’ kerjanya dan minta dia buat penambahbaikan supaya hasil kerjanya akan menjadi lebih baik, suntik kata-kata semangat dan ‘motivate’ dia dengan memberi arahan dan panduan yang betul, saya fikir itu lebih memberi kesan positif kepada pegawai..!” katanya. Dia memerhatikan pegawai-pegawai mula menampakkan wajah ceria. Sesetengahnya menolak bahu rakan dan bersalaman sesama sendiri.


Kerja rasa tertekan, takut buat salah dan kena marah

“Memang betul Dr.! Selama ini kami merasa tertekan. Sentiasa takut buat salah dan takut kena marah. Tapi, apabila saya dengar dan amati kata-kata Dr., hati saya rasa tenang dan fikir nak buat kerja lagi baik!” kata Dato’ Raslin, Ketua Pengarah Perpustakaan Negara. “Ha! Mulalah tu, nak bodek KSU!” kata Juhari, berseloroh dan menimbulkan ketawa pegawai-pagawai.

(kiri) Dato' Raslin, Ketua Pengarah Perputakaan Negara Malaysia. (kanan)  Dato' Sidek, Ketua Pengarah Arkib Negara

Boss mesti lebih pandai daripada pegawai..!

“Doc, saya nak tanya sikit, kalau boleh!” kata Prof. Dr. Najib, Ketua Pengarah, Balai Seni Lukis Negara (BSLN) dengan tersenyum lebar menampakkan gigi hadapannya yang penuh dan misai yang panjang tetapi tidak begitu lebat. “Maknanya, boss mesti lebih pandai daripada pegawai..! Kalau tidak, macam mana pegawai nak ‘respect’ dan ikut arahan boss?” kata Prof. Dr. Najib

“Wah! Ini soalan Profesor. Soalan cepu emas. Susah nak jawab,” katanya, sambil ketawa. “Memang betul, boss kena pandai. Kalau tidak, macam mana nak jadi boss? Tapi realitinya, boss tidak semestinya lebih pandai dalam semua perkara dan lebih tahu semua aspek daripada pegawai. Kalau lagi pandai, lagi bagus!” katanya. “Macam jurulatih bola sepak! Yang penting, dia boleh melatih pemain-pemain, menyuntik semangat supaya berusaha lebih keras, menentukan arah tuju dan merancang strategi sehingga dapat menyumbat bola ke dalam gol!” katanya. “Wah..! Soalan cepu emas. Jawapan pun cepu emas..!” kata Prof. Dr. Najib, sambil memberi isyarat ibu jari. 


“Doktor! Saya memang mulut bising. Tapi saya nak tanya soalan terakhir!” kata Juhari. “Kenapa ada boss yang suka marah dan tunjuk garang?” tanya Juhari dengan muka selamba. “Boss sebok dan selalu kena ‘pressure’ daripada pihak atasan,” katanya. “Tapi, bukan semua boss suka marah dan tunjuk garang. Contohnya, macam saya!” katanya, tertawa diikuti dengan pegawai-pegawai lain yang turut ketawa.

“Memang ada sesetengah boss yang tunjuk garang. Saya tidak pasti kenapa dia begitu? Daripada pengalaman dan pengamatan saya, semua boss mahu supaya dia dihormati, berkuasa, dianggap lebih mengerti dan semua katanya mesti dituruti. Tetapi sebagai manusia biasa, kita mempuyai kelebihan dan kekurangan,” jelasnya.

“Ada sesetengah boss takut kelemahannya diketahui orang lain dan bimbang akan kehilangan ‘respect’. Jadi, dia cuba tutup kelemahannya dengan bersikap garang supaya orang lain tidak berani melawan dan kelemahannya tidak terdedah dan diketahui orang lain,” katanya lagi.

Ada setengah boss bimbang pegwai bawahan lebih menyerlah. Apa komen Dr.?

“Seperti yang saya kata tadi, sebagai boss kita mempuyai kelebihan dan kekurangan. Kita harus anggap pegawai yang lebih menyerlah daripada kita sebagai suatu rahmat, bukan suatu ancaman. Kerana dia adalah aset yang sangat berguna yang kalau digilap dan digembeling akan membawa kecemerlangan kepada agensi dan negara. Rugilah kalau sebagai boss kita anggap mereka ini sebagai ancaman yang menggugat kerana kelemahan kita."

Apa maksud ‘micromanage’?

“Doc, I nak tanya bila you sebut ‘micromanage’ tadi. Apa maksud you?” tanya Prof. Dr. Najib. “Umpama you jadi Ketua Pengarah BSLN, You kontrol, sehingga perkara yang kecil. Dan you buat kerja dan menyemak kerja yang sama dengan kerja yang dibuat oleh pegawai bawahan you. Sudah pasti you akan kata kerja you lebih bagus dan kerja pegawai bawahan you tak bagus, salah sana-sini..! Ini akan menimbulkan hubungan kerja yang tidak baik antara ketua dan pegawai. Sedangkan sebagai ketua, you mempunyai peranan dalam perspektif yang lebih luas. Misalnya, memandu pegawai daripada segi arah tuju, strategi dan pencapaian matlamat bahagian you, supaya semua kerja yang dilakukan oleh pegawai-pegawai bawahan you terarah kepada pencapaian matlamat yang sama!” jawabnya.

Mesyuarat selesai

Pengalaman pendek yang dilalui semasa dan selepas mesyuarat sedikit sebanyak telah mengubah reaksi pegawai-pegawai yang sebelumnya nampak tidak ‘friendly’ dan tidak responsif. Setelah memahami personaliti, pendekatan dan cara bekerja KSU yang baharu, mereka kini mula menampakkan rasa selesa dan berani meluahkan persoalan yang mungkin terpendam selama ini.

“OK, saya nak balik ke pejabat sekarang. Kita jumpa minggu depan. Ingat! Dalam mesyuarat jangan banyak sembang. Tadi saya dengar Juhari kata, kalau nak sembang pergi kedai kopi!” katanya, bergurau sambil bersalaman dengan pegawai-pegawai yang berhampiran dengannya, lalu meninggalkan Bilik Mesyuarat.