April 19, 2017

Episod 1: Dilantik Jadi KSU


Episod 1:
Dilantik Jadi KSU

Kedua belah tangannya menggeletar selepas membaca surat yang baharu diterima. Dia dilantik menjadi KSU di Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KPKKW). Kegembiraan pada awalnya mulai pudar dibayangi kegusaran. “Mampukah aku menggalas tanggung jawab yang berat ini?”

Debaran masih dirasai ketika suatu hari dia didatangi seorang pegawai di pejabat yang akan ditinggalkannya, setelah hanya 4 bulan menjadi Timbalan Ketua Setiausaha di Kementerian Perdagangan Dalam negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP). “Selamat Pagi Dr.! Saya Balasingam dari Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KPKKW),” katanya. “Selamat Pagi!” jawabnya, lalu bangun dari tempat duduk dan menghulur tangan, berjabat salam. “Saya ditugaskan untuk menjemput Dr. ke pejabat KPKKW,” katanya lagi. “Kereta pejabat dan pemandu telah sedia menunggu Dr. di bawah,” kata Balasingam.

Dengan memakai jaket warna hitam dan diiringi oleh pegawai tersebut, dia berjalan menuju ke lif Tingkat 10 untuk turun ke lobi bangunan. Dari jauh dia melihat pemandu membuka pintu kereta Proton Perdana Executive warna hitam, lalu tunduk memberi hormat dan mempersilakannya masuk ke tempat duduk bahagian belakang.



Perjalanan dari Putrajaya ke Maju Junction mengambil masa agak lama kerana kesibukan lalu lintas. Ketika sampai dia turun dari kereta dan menuju ke lif yang telah sedia terbuka. Selepas bersalaman dengan beberapa orang pegawai yang menunggunya di lobi, dia masuk ke dalam lif yang membawanya ke Tingkat 34 Menara TH Perdana. Sejurus lif terbuka, dia melihat ramai pegawai yang bebaris panjang menyambut kedatangannya.



Sambil memberi senyuman dan berjabat tangan, dia diiring menuju ke mesin perakam waktu untuk mengetik kad yang akan mencatat sejarah hari pertama dia bertugas di kementerian yang baharu pada 3 April 2008. “Dr.! Pandang sini Dr. Senyum Dr. Steady Dr…” diikuti dengan turutan banyak kali bunyi ‘klik’ kamera dan disertai dengan kerlipan cahaya daripada ‘flash’ kamera jurugambar.


Dia kemudiannya diiring masuk ke dalam pejabatnya untuk acara penyerahan ‘Nota Serah Tugas’ daripada Pengarah Pentadbiran yang telah disediakan oleh bekas KSU yang telah bersara. Sekali lagi, dia mendengar teriakan jurugambar, “Dr.! Pandang sini Dr. Senyum Dr. Steady Dr.…” jerit mereka sambil menggerakkan kamera untuk mendapatkan posisi gambar yang dikehendaki. Dia merasakan dirinya seperti selibriti. Tetapi dia tidak membantah dan hanya menuruti kehendak mereka.


STAF PEJABAT KSU, 2008
BANGUNAN SULTAN ABDUL SAMAD
Selesai acara-acara yang diatur, semua pegawai meninggalkan pejabatnya, kecuali staf yang ditugaskan di pejabat KSU, iaitu Pegawai Khas, Setiausaha Peribadi, Kerani, Pembantu Pejabat dan Pemandu. Setelah memperkenalkan diri masing-masing, dia meminta staf berkenaan beredar ke tempat kerja masing-masing kerana dia perlukan masa untuk meneliti Nota Serah Tugas yang mengandungi maklumat mengenai tugas dan tanggungjawabnya sebagai KSU dan Jabatan-jabatan di bawah jagaannya serta pelaksanaan tugas-tugas semasa yang belum selesai.

Sebelum pulang, dia menemui YB Menteri di pejabatnya di Tingkat 35. “Yang Berhormat Dato’, saya berterima kasih atas usaha YB Dato’ untuk membawa saya ke Kementerian ini,” katanya. “Doc! Saya kenal you semasa saya bertugas di KPDNHEP,” kata YB Menteri yang berperibadi sentiasa menguntum senyum, berhemah tinggi dan baik budi. “Sebab itulah saya mahu you bantu saya di Kementerian ini,” kata YB Menteri yang bertutur loghat Sabah. “InsyaAllah YB Dato’, saya akan beri khidmat yang terbaik, setakat yang saya termampu,” jawabnya.