January 09, 2017

‘FIXED EXCHANGE RATE’: BAGAIMANA NILAI MATAWANG DITENTUKAN?


9 Januari 2017, kemaskini 16 Julai 2018

 ‘FIXED EXCHANGE RATE’
BAGAIMANA NILAI MATAWANG DITENTUKAN?
DR MUZAHET MASRURI

‘Penetapan kadar tukaran matawang’ (fixed exchange rate) atau kadangkala disebut ‘tambatan kadar tukaran matawang’ (pegged exchange rate) adalah sistem di mana kerajaan atau bank pusat sebuah negara mengikat kadar tukaran matawang dengan matawang sebuah negara lain (misalnya Amerika Syarikat, United Kingdom, Jerman atau Peranchis).

Apa tujuannya?

Tujuan penetapan kadar tukaran matawang ialah untuk menstabilkan nilai matawang daripada keadaan turun-naik yang tidak menentu yang menyukarkan urusniaga perdagangan dan pelaburan. Ini kerana kestabilan nilai matawang adalah penting bagi sesebuah negara, terutama jika perdagangan luar menyumbang bahagian yang besar dalam pendapatan negara dan keluaran dalam negara kasar (KDNK).

Bila fixed exchange rate diperkenalkan?

Selepas Perang Dunia Ke-2, kebanyakan negara di dunia menggunakan kaedah penetapan kadar tukaran matawang dengan dollar manakala dollar ditetapkan (pegged) kepada emas. Kaedah ini dinamakan Bretton Woods Fixed Exchange System. Tetapi pada awal tahun 1970an, apabila sistem tersebut mengalami keruntuhan, kebanyakan negara mula menggunakan ‘sistem apungan’ (floating system) dalam pasaran matawang bagi menentukan nilai matawang mereka.

Bagaimanapun, pada hari ini, terdapat beberapa buah negara yang masih menggunakan 'fixed exchange rate'. 

Bagaimana mekanismenya?

Apabila nilai tambatan matawang ditentukan dengan matawang negara lain, bank pusat perlu mengekalkan kadar tambatan nilai matawang tersebut dalam pasaran matawang asing (FOREX). Misalnya sejak tahun 1997, nilai dirham (matawang United Arab Emirates) ditambat dengan USD = 3.6725 dirhams. Tetapi daripada segi realiti, kedua-dua nilai matawang tersebut sentiasa turun-naik dalam pasaran matawang.


Oleh itu, bagi menentukan keseimbangan nilai matawang dirham, bank pusat United Arab Emirates perlu mempunyai rizab matawang asing yang mencukupi untuk campur tangan dalam FOREX. Ini dilakukan dengan membeli matawang dirham apabila nilainya turun dan menjual matawang dirhan apabila nilainya meningkat berbanding dengan nilai USD di pasaran.

Berapa banyak negara di dunia menggunkan sistem ini?

Ketika ini terdapat 34 buah negara di dunia yang masih menggunakan sistem tambatan kadar tukaran matawang. Negara-negara tersebut mengikut benua adalah seperti berikut:


Daripada jumlah tersebut, 17 buah negara menambat kadar pertukaran matawang dengan EURO, 13 buah negara dengan USD, 3 buah negara dengan South African Rand (ZAR) dan sebuah negara dengan Indian rupee.


Pernahkan Malaysia menggunakan fixed exchange rate?

Malaysia pernah menggunakan kaedah ‘tambatan kadar tukaran matawang’ (fixed exchange rate) di mana ringgit ditetapkan kepada USD=RM3.80 mulai 1 September 1998 (semasa Krisis Kewangan Asia 1997/98). Pada 21 Julai 2005 penggunaan kaedah ini telah dimansuhkan dan sehingga sekarang Malaysia menggunakan sistem apungan (floating system) dalam penentuan nilai ringgit.

Mengapa matawang ditambat dengan matawang negara tertentu

Negara mempunyai sebab untuk menambat matawang mereka dengan matawang negara tertentu. Kebanyakannya adalah atas sebab perdagangan dan pelaburan dengan negara-negara berkenaan.

Misalnya, negara di Timur Tengah (Jordan, Oman, Qatar, Saudi Arabia, dan United Arab Emirates) menambat matawang mereka dengan USD kerana negara-negara berkenaan memerlukan Amerika Syarikat sebagai rakan dagang bagi perdagangan minyak.

Negara di Kepuluan Caribbean (Aruba, Bahamas, Barbados dan Bermuda) menambat dengan USD kerana sumber utama pendapatan mereka adalah daripada pelancongan yang dibayar dengan USD.

Di Afrika kebanyakan negara menambat matawang mereka dengan euro kerana wang euro adalah stabil dan dapat melindungi matawang mereka daripada kejatuhan nilai secara mendadak.

Apa kebaikan fixed exchange rate’?

i. Menstabilkan matawang daripada keadaan turun-naik nilainya di pasaran
ii. Memudahkan urusan perdagangan antarabangsa dan kemasukan pelaburan asing ke dalam negara
iii. Mengurangkan ketidaktentuan dan turun naik harga barangan eksport dan import
iv. Mengurangkan ketakstabilan aktiviti ekonomi dalam negara
v. Mengurangkan spekulasi matawang dalam pasaran kewangan kerana nilai wang yang stabil tidak menarik peniaga matawang di pasaran.

Apa kelemahannya?

i. Bank pusat perlu memegang rizab matawang asing yang tinggi untuk mempertahankan kadar tukaran, iaitu membeli matawang ringgit dalam  FOREX  jika nilai ringgit turun terlalu rendah dan menjual matawang ringgit jika nilainya terlalu tinggi.

ii. Negara akan kehilangan kawalan ke atas dasar kewangan domestik kerana perlu mematuhi dasar-dasar di negara yang matawangnya disandar.

iii. Kaedah ini tidak sesuai bagi negara yang mempunyai perbezaan yang ketara daripada segi tahap dan dasar-dasar ekonomi dengan negara yang terlibat.

Penulis: Dr Muzahet Masruri.  Ph. D (Economics), University of East Anglia, United Kingdom.