Episod 6
Tangan Kena Gari
Jualan langsung merupakan industri yang semakin berkembang. Sumbangannya kepada ekonomi negara semakin meningkat melalui pengeluaran produk-produk barangan yang dipasarkan terus kepada pengguna melalui agen-agen yang dilantik. Jualan langsung juga menyumbang dalam mewujudkan peluang-peluang pekerjaan secara sepenuh masa dan sambilan untuk menambah pendapatan bagi mereka yang berkecimpung dalam industri ini.
Bagaimanapun, perniagaan secara jualan lansung ini, sebahagiannya dinodai oleh penipuan yang dilakukan oleh sesetengah mereka yang tidak bertanggung jawab melalui pengeluaran produk yang tidak berkualiti dan membahayakan kesihatan. Selain itu, penipuan juga dilakukan melalui perniagaan ‘gores dan menang’, skim capat kaya dan skim piramid (multi-level marketing) yang melibatkan kerugian puluhan malah ratusan ribu ringgit di kalangan mereka yang terperdaya dalam perniagaan jualan langsung.
Gambar hiasan: Jualan Langsung
Selain penguatkuasaan yang dijalankan oleh Bahagian Penguatkuasa KPDNHEP, pemberentasan aktiviti yang tidak bertanggung jawab ini menjadi sebahagian daripada tugas Bahagian Perdagangan Dalam Negeri (PDN) dengan membuat penapisan yang teliti ke atas syarikat-syarikat yang ingin mendaftar untuk menjalankan perniagaan secara jualan langsung di negara ini. Tapisan ini penting kerana banyak penipuan yang dilakukan oleh syarikat-syarikat tempatan yang bergiat secara usahasama dengan syarikat-syarikat asing yang menjalankan perniagaan di negara ini.
“Dr.! Saya takut dan terkejut,” kata Talal ketika menemuinya di pejabat. Talal adalah pegawai yang membantunya bagi industri jualan langsung. “Takut kenapa?” katanya. “Tadi ada seorang wanita warga Singapura datang jumpa saya di pejabat. Dia tanya status permohonan syarikatnya untuk menjalankan perniagaan jualan langsung dengan sebuah syarikat di negara ini,” kata Talal.
“Lepas tu, apa you kata?” tanya Zahid. “Saya kata, permohonannya telah saya semak dan saya sedang menyediakan laporan untuk saya kemukakan kepada Dr.” jawab Talal. Dia memandang muka Talal, sambil memerhati timbunan laporan dalam fail-fail di hadapannya yang perlu diteliti sebelum menurunkan tandatangan untuk kelulusan.
“Apa masalahnya?” tanya Zahid. “Wanita itu ada meninggalkan sampul surat besar dan meletakkan di atas meja saya. Katanya sampul itu mengandungi dokumen-dokuman tambahan bagi menyokong permohonannya,” kata Talal.
“Setelah wanita itu pulang, saya buka sampul surat itu dan saya dapati bukan dokumen, tetapi duit! Saya tidak sentuh duit itu dan saya tidak tahu berapa jumlahnya!” kata Talal yang menunjukkan muka cemas. “Sebab itulah saya datang jumpa Dr.!” kata Talal lagi.
“Talal! Saya dah banyak kali mengingatkan pegawai-pegawai saya. Kalau nak ambil duit, jangan ambil sikit-sikit. Sebab kalau kena tangkap, kena buang kerja, tak berbaloi! Anak bini nak bagi makan apa?” katanya, merenung muka Talal.
“Saya kata, kalau nak ambil duit, ambil banyak-banyak. RM1 juta, RM2 juta, RM5 juta dan kalau boleh RM10 juta! Kalau kena tangkap dan kena buang kerja tak apa! Sebab, bila dah tak kerja boleh guna duit itu untuk bagi makan anak bini!” katanya lagi, memandang muka Talal dengan memberi senyuman.
“Tapi Dr.! Saya tidak berniat untuk ambil duit itu! Saya takut. Sebab itu saya datang jumpa Dr.!” kata Talal, menunjukkan muka yang semakin cemas. Zahid mendiamkan diri seketika sambil menolak sedikit kerusinya ke belakang. “Saya tahu. Awak seorang pegawai yang jujur. Saya bangga mempunyai pegawai macam awak!” katanya.
Begitulah selalunya cara Zahid menasihati dan menyuntik semangat pegawai-pegawai di bawahnya. Dia tidak pernah marah, apatah lagi menengking pegawai-pegawainya kalaupun mereka melakukan kesalahan. Sebaliknya, dia akan menghormati dan menghargai dayausaha mereka dan pada masa yang sama menunjukkan kelemahan mereka, memberi bimbingan dan menunjuk cara untuk menambah baik kerja yang mereka lakukan.
“Sekarang wanita itu di mana?” dia bertanya. “Katanya, dia akan ke KLIA dengan menaiki teksi yang menunggu di luar bangunan pejabat untuk pulang ke negaranya kerana esok dia akan menyambut perayaan Tahun Baharu Cina bersama keluarganya,” jawab Talal. “Dah berapa lama dia keluar dari pejabat you?” tanya Zahid. “Lebih kurang setengah jam,” jawab Talal, memandang mukanya dan tertanya-tanya apa tindakan yang akan diambil oleh ketuanya.
Zahid berhadapan dengan konflik. Mana satu yang harus diutamakan – antara tugas atau kemanusiaan? Dia mendiamkan diri dan termenung seketika untuk mencari jalan penyelesaian. “Talal. I mahu you hubungi wanita itu sekarang. Katakan, borang permohonannya tidak lengkap dan you perlu berjumpa segera dengannya sekarang,” arahnya. Talal merenung wajah ketuanya dengan penuh tanda tanya. “Saya akan hubungi Badan Pencegah Rasuah sekarang!” katanya.
Talal tergamam. Sejak bertugas di KPDNHEP, dia belum pernah mendapat arahan seperti ini. “Saya tidak menyukai tindakan ini. Tetapi, kita telah diberi amanah dan adalah menjadi kewajipan kita untuk melaksanakan amanah yang diberi kepada kita,” katanya. “Masa terlalu singkat untuk kita dan kita perlu bertindak segera,” katanya lagi.
Kira-kira setengah jam selepas itu, Russ, Setiausaha Peribadinya, masuk ke dalam pejabatnya. “Boss! BPR dah datang. Dia orang ada 8 orang semuanya,” kata Russ. “Minta dia orang masuk pejabat saya!” arahnya. Setelah memperkenalkan diri, mereka berbincang mengenai straregi yang akan mereka lakukan. “Dr. jangan bimbang. Ini kerja kami. Serahkan pada kami dan kami akan uruskan!” kata salah seorang anggota BPR. “Terima kasih kerana bantu kami. Dan kalau perlu apa-apa bantuan, saya akan berada di pejabat saya sehingga perkara ini selesai,” jawabnya.
Kehadiran pihak BPR tidak disedari oleh pegawai-pegawai di Bahagian PDN yang masih belum pulang selepas waktu pejabat pada petang itu. Mereka berpecah dan bersedia di lokasi masing-masing seperti dirancang. “Ting…!” loceng lif di Tingkat 6 berbunyi dan apabila lif terbuka, seorang wanita keluar daripada lif. Dia berjalan dan menyentuh kad pas lawatan ke mesin keselamatan yang tidak jauh dari situ lalu menolak pintu dan bergegas ke pejabat Talal.
“Encik! Apa problem saya punya ‘application’? Saya mahu cepat pergi KLIA, angkat itu flight pukul 8.30,” kata wanita itu sebaik sahaja masuk ke pejabat Talal yang pintunya sengaja dibuka. “You bilang ada ‘supporting documents’! Mana dia?” tanya Talal.
“Hai ya! Itu envelope ka?” tanya wanita itu, sambil mengambil sampul surat besar yang diletakkan di atas meja sebelum dia meninggalkan pejabat Talal petang tadi. “Ini envelope ha! Ini bukan dokumen! Tapi ada sikit wang untuk itu Gong Xi Fa Cai!” kata wanita itu sambil memegang sampul surat tersebut untuk membukanya.
Bertindak pantas, seorang pegawai wanita BPR masuk ke pejabat dan memegang tangan wanita Cina tersebut manakala seorang pegawai lelaki menghampirinya dengan membawa sebuah gari. Wanita Cina tersebut terkejut dan cuba meronta untuk melepaskan tangannya tetapi pegawai BPR cepat bertindak mengenakan gari di kedua-dua belah tangan wanita itu. Dia meronta dan menjerit untuk dilepaskan tetapi pegawai wanita BPR memujuknya dan membawanya ke tingkat 1, ke bilik lokap KPDNHEP di mana beberapa pegawai BPR sedang menunggu di situ.
Gambar hiasan
“Selepas itu, apa terjadi pada wanita Cina itu?” tanya Zahid pada dua orang pegawai BPR yang sedang mengambil kenyataan bertulis daripadanya pada malam itu di pejabatnya. Dia tidak menyaksikan apa yang berlaku selepas wanita itu di bawa ke bilik lokap.
”Wanita itu terus meraung dan menangis. Dia meminta supaya dia dilepaskan kerana esok dia akan merayakan Tahun Baharu Cina. Kami berbincang dan mengambil keputusan untuk memindahkan wanita itu ke lokap kami di BPR untuk siasatan lanjut,” kata pegawai BPR.
Sebelum pulang ke rumah pada malam itu, Zahid bertafakur sebentar di pejabatnya. “Aku berhadapan dengan konflik – antara ‘tugas’ dan ‘kemanusiaan’. Aku sedih atas apa yang telah berlaku. Aku tidak menyukai tindakan ini. Tetapi aku melaksanakan ini semua kerana amanah yang diberikan padaku sebagai Pengarah Kanan PDN,”
| Laman Utama | Episod Seterusnya |