December 18, 2016

Episod 7: TKSU KPDNHEP


Episod 7
TKSU KPDNHEP

Ketika melangkah masuk ke pejabat, Russ sedang bercakap melalui telefon. Sejurus kemudian, dia masuk ke pejabat dengan membawa secawan kopi panas. “Boss! Saya baru terima panggilan telefon dari Pejabat Menteri, minta Boss ke pejabatnya sekarang,” kata Russ sambil menolak perlahan cawan kopi ke hadapannya. “Minumlah dulu Boss!” kata Russ. “Terima kasih,” jawabnya.

Selepas menghirup separuh daripada kopi panas di dalam cawan di hadapannya, dia menyarung jaket, lalu bergegas keluar pejabat. Russ tidak menegurnya tetapi hanya memerhatikan langkah ketuanya daripada tempat duduknya.

Jauh di lubuk hatinya, dia sangat menyanjungi peribadi ketuanya yang tidak pernah bersungut dengan tugas harian di pejabat yang hampir tidak mempunyai waktu rehat. Maklumlah, sebagai Pengarah Kanan, Bahagian Perdagangan Dalam Negeri, ketuanya memikul tanggung jawab berat dan terlibat dalam pengurusan banyak peranan dan fungsi KPDNHEP. 



Dia merasai dirinya bertuah kerana mempunyai seorang ketua yang sentiasa memahami dan menghormati orang lain serta tidak pernah marah atau meninggikan suaranya, walaupun dia sendiri kadangkala pernah melakukan kesalahan. Sebaliknya, ketuanya akan menunjukkan kesalahannya dengan cara yang berhemah dan menyuntik kata-kata semangat untuk memperbaiki keadaan. Sifat dan peribadi ketuanya ini menjadikan dia semakin menyukai kerjayanya dan benar-benar meransang dirinya untuk bekerja dengan lebih rajin tanpa dipaksa.

Semasa waktu rehat tengahari, Zahid kembali ke pejabat. Ketika melangkah masuk, Russ menegurnya. “Hai Boss! Nampak senyum selepas jumpa Menteri! Ada apa-apa ke Boss?” tanya Russ yang bingkas bangun dan mengekorinya dari belakang. “Duduk Russ!” katanya ketika menghampiri mejanya, membuka jaket dan menyangkutkan di kerusi.

“Tadi Menteri tanya saya, dah berapa lama saya bertugas di KPDNHEP!” katanya memulakan perbualan. “Baharu setahun lebih, Boss!” kata Russ yang pantas menjawab. “Ya, saya tahu!” jawabnya. “Menteri kata, TKSU akan bersara akhir tahun ini, kira-kira 2 bulan lagi,” katanya. Russ merenung mukanya dengan tandatanya. “Habis! Apa Menteri kata Boss?” tanya Russ.

Zahid tidak menjawab. Dia hanya mendiamkan diri dan memikir sesuatu. “Menteri minta Boss ganti jadi TKSU ke?” tanya Russ, meminta jawapan. Zahid hanya mendiamkan diri. Dia bangun dari kerusi. “Russ, saya nak pergi makan di kantin sekejap,” katanya. “Boss! Nak saya pesan makanan dari kantin ke?” tanya Russ. “Tak apalah Russ, saya pergi sendiri,” jawabnya, berjalan keluar pejabat, meninggalkan Russ dengan persoalan yang belum terjawab.

Pada pagi, dua minggu selepas itu, Russ masuk ke pejabat dengan membawa sebuah fail. “Boss surat daripada JPA. Saya kepilkan surat itu dalam fail peribadi Boss,” kata Russ, meletakkan fail di atas meja, lalu keluar menuju ke tempat duduknya. Dia membuka fail, lalu meneliti kandungan surat bertarikh 25 Oktober 2007 yang menyatakan perlantikannnya sebagai Timbalan Ketua Setiausaha di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, memangku Gred Jusa B, berkuatkuasa mulai 25 Disember 2007.

Dia tersenyum sendirian apabila selesai membaca surat yang masih dipegang di tangannya. “Aku bersyukur atas rezeki yang aku terima. Dan aku berterima kasih kepada YB Menteri kerana memberi kepercayaan dan menempah aku untuk menjawat jawatan TKSU di Kementerian ini, apabila TKSU yang sedia ada akan bersara 2 bulan lagi,” bisik hati kecilnya. 

Awal pagi, keesokan hari, Russ menemuinya di pejabat. “Boss! Malam tadi saya tidak boleh lena tidur!” katanya, ketika berdiri. “Duduk dahulu!” arahnya, apabila dia memerhati muka Russ yang kelihatan bermasalah. “Kenapa?” katanya. “Boss! Saya sedih akan kehilangan seorang Boss yang saya sanjungi selama ini!” kata Russ, menundukkan mukanya. “Russ! Saya hanya seorang manusia biasa. Saya berdoa, you akan dapat pengganti Boss yang lebih baik daripada saya!” katanya, memandang muka Russ yang kedua-dua belah matanya mula kemerahan.

Russ mendiamkan diri. Tidak lama selepas itu dia mengangkat mukanya. “Boss! Boleh tak saya buat satu permintaan?” katanya dengan nada perlahan. Zahid mendiamkan diri untuk memberi ruang padanya meneruskan katanya.

“Boleh tak saya jadi PA Boss apabila Boss jadi TKSU nanti?” katanya, lalu tunduk menunggu jawapan dengan penuh debaran. “Russ! Saya tidak ada masalah kalau itu permintaan you. Nanti saya akan bincang dengan Bahagian Pentadbiran,” jawabnya. “Terima kasih Boss!” kata Russ, lalu bangun dan berjalan menuju ke tempat duduknya.

Sebagaimana tarikh yang ditentukan, dia berpindah pejabat dari Tingkat 6 ke Tingkat 11. Tidak banyak barang yang dibawa semasa berpindah kerana semua kerja telah diselesaikan sebelum dia menamatkan tugas sebagai Pengarah Kanan PDN. Dia berazam untuk menjalankan tugas dengan baik, ikhlas dan jujur sebagai TKSU yang baharu sebagaimana yang dilakukannya semasa menjadi Pegarah Kanan PDN sebelum ini.