August 24, 2018

TURKEY: KRISIS MATAWANG LIRA (Ⱡ) Pengalaman Malaysia Boleh Dijadikan Iktibar

24 Ogos 2018

TURKEY: KRISIS MATAWANG LIRA (Ⱡ)
 Pengalaman Malaysia Boleh Dijadikan Iktibar
DR MUZAHET MASRURI

Turkey menjadi tumpuan dunia ketika ini apabila negara tersebut dikejutkan dengan krisis mata wang yang paling buruk dalam sejarah Turkey.

Bagaimana krisis bermula?

Krisis tersebut bermula pada Mac 2018 apabila Donald Trump mengenakan tindakan (economic sanctions) ke atas Turkey dengan menaikkan cukai import 25% ke atas besi dan keluli dan 10% ke atas aluminium yang diimport dari Turkey. Pada 10 Ogos 2018 Amerika menaikkan lagi cukai import kepada 50% ke atas besi dan keluli dan 20% ke atas aluminium.

Turkey adalah negara ke-8 terbesar dalam pengeluaran keluli dunia dan eksport keluli ke Amerika bernilai $1.1 bilion pada tahun 2017. Turkey juga adalah negara ke-6 terbesar pengeksport keluli ke Amerika dan menyumbang 5.6% daripada keseluruhan jumlah import keluli Amerika (Sumber: Trading Economics).

Dianggarkan kenaikan cukai import akan mengurangkan pendapatan eksport keluli Turkey ke Amerika sebanyak 56% (Sumber: CNBC).

Kenapa Amerika mengenakan ‘economic sanction’ ke atas Turkey?

Puncanya adalah kombinasi pelbagai faktor. Tetapi, faktor utama berpunca daripada perseteruan Amerika terhadap Turkey sejak tahun 2016 berhubung penahanan Andrew Brunson, seorang paderi bangsa Amerika yang terlibat dalam pengintipan dan percubaan menggulingkan kerajaan Turkey pada Oktober 2016. Brunson menghadapi hukuman penjara 35 tahun di Turkey (Sumber BBC News, 16 April 2018). Trump mahukan supaya Brunson dibebaskan

Padri Amerika, Andrew Brunson menjadi tumpuan sengketa antara Washington dan Ankara yang menyebabkan kejatuhan nilai mata wang Lira dan kebimbangan kesannya ke atas kelembapan ekonomi dunia. (Photo: AFP).
Apa kesan tindakan Amerika ke atas Turkey?

Kesan serta-merta ialah kehilangan keyakinan pelabur asing mengenai masa depan sistem kewangan dan ekonomi Turkey berikutan ‘economic sanctions’ yang dikenakan oleh Amerika.

Krisis keyakinan pelabur ini telah menyebabkan berlakunya penarikan keluar modal asing secara besar-besaran daripada pasaran kewangan dan pasaran saham Turkey. Mereka keluar dan beralih melabur ke pasaran saham dan mata wang yang lebih kukuh, terutamanya USD.

Jumaat 10 Oktober 2018, Foto: CNBC


Apa kesan kehilangan keyakinan pelabur ke atas nilai matawang Lira (Ⱡ)?

Kesan serta-merta ialah kejatuhan nilai matawang Lira (Ⱡ) yang menjunam ke paras terendah dalam Foreign Exchange Market (FOREX). 



Lira (Ⱡ) mengalami susut-nilai lebih 40% berbanding dolar Amerika sejak awal tahun 2008. Ia mencecah paras terendah Ⱡ6.82 bagi setiap 1USD pada 13 Ogos 2018 berbanding dengan Ⱡ3.60 pada 16 Oktober 2017 lalu (Rajah 1).




Apa kesan kejatuhan nilai Lira (Ⱡ) ke atas ekonomi Turkey

Dalam analisis ekonomi, kesan yang dijangka daripada kejatuhan nilai matawang ke atas ekonomi sesebuah negara adalah dirumuskn seperti berikut:



(i) kenaikan harga barangan yang diimport (ii) peningkatan inflasi berikutan kenaikan harga barangan import (iii) peningkatan hutang luar negara kerana pinjaman luar bagi membiayai program-program pembangunan adalah disandarkan kepada matawang asing (iv) peningkatan defisit kerana bayaran ke atas barangan import meningkat melebihi pendapatan eksport, dan (v) pengecutan pertumbuhan ekonomi yang sukar dibendung.


Apa langkah-langkah yang telah diambil oleh Turkey?


Kesan krisis matawang lira (Ⱡ) belum dirasai keselurhannya kerana ia hanya bermula 6 bulan lepas.



Setakat ini belum ada langkah-langkah drastik secara menyeluruh yang dilaksanakan oleh Turkey, terutamanya dalam sektor kewangan, bagi membendung penularan kesan negatif krisis matawang. Kecuali, tindakan balas Turkey mengumumkan kenaikan cukai import bagi barangan yang diimport dari Amerika, seperti 120% ke atas kereta penumpang, 140% minuman alkohol dan 60% ke atas tembakau (Sumber: The Washington Post). Turkey mengisytiharkan memboikot barangan Amerika.



Apa langkah proaktif yang Turkey perlu dilakukan?



Turkey perlu mempunyai resipi bagi menyekat kesan negatif kejatuhan nilai Lira (Ⱡ) yang cepat menular ke sektor-sektor lain dalam ekonomi.

Tetapi kita berharap Turkey tidak merujuk kepada International Monatery Fund (IMF) bagi menstabilkan nilai matawang dan memulihkan sistem kewangan di negara tersebut. Ini kerana kaedah yang dicadangkan IMF akan lebih memburukkan lagi keadaan ekonomi negara yang sedang mengalami kegawatan.

Dalam hal ini, pengalaman Malaysia dalam menangani krisis kewangan dan matawang boleh dijadikan iktibar.



KRISIS MATAWANG RINGGIT MALAYSIA 1997/98



Malaysia pernah mengalami krisis matawang semasa Krisis Kewangan Asia 1997/98. Berbeza dengan Turkey, krisis di Malaysia berpunca daripada serangan spekulatif matawang oleh pengurus-pengurus dana antarabangsa yang diketuai oleh George Soros.



Apa kesan krisis matawang ke atas ekonomi Malaysia?

Kesan krisis matawang cepat menular. Ringgit mengalami susut nilai 40% berbanding USD, Indeks Komposit Bursa Saham (KLCI) merudum daripada 1,200 mata kepada 297 mata, pasaran modal menguncup 70%, diikuti kadar inflasi, pengangguran dan hutang negara yang tinggi manakala sistem perbankan hampir lumpuh kerana bank-bank tempatan mengalami kekeringan mudah tunai (liquidity) berikutan penarikan keluar modal asing daripada sistem kewangan dan bursa Malaysia. Kesan keseluruhannya, pertumbuhan ekonomi mencecah paras negatif -7.4%.

Tetapi tindakan pantas Malaysia, melalui Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) telah berjaya menyelamatkan ekonomi negara dalam tempoh hanya setahun. Pertumbuhan ekonomi yang menjunam ke paras negatif -7.4 % (1998) telah dapat dipulihkan ke paras positif 6.1% (1999) dan 8.5% (2000).



Apa resipi kejayaan Malaysia?



Ada 3 resipi utama:



(i) Kawalan Modal (capital controls) diperkenalkan pada 1 September 1998. Ia bertujuan untuk menyekat pengaliran keluar ringgit ke luar negara. Kesannya, ringgit yang berada di luar pesisir (luar negara) berjaya dibawa pulang dan sistem perbankan berjaya dipulihkan.





(ii) Pakej Ransangan Fiskal diperkenalkan bagi meransang sektor-sektor ekonomi yang terjejas. Resipi yang dilaksanakan MTEN melalui pakej ransangan ini tidak sama, malah bertentangan dengan teori ekonomi yang diajar di universiti dan yang digunakan oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) serta Bank Dunia dalam mengatasi kegawatan ekonomi (lihat Rajah 2).



Misalnya, mengikut IMF semasa krisis matawang, bank pusat perlu menaikkan kadar faedah bank. Tetapi MTEN berpendirian, jika tindakan ini diambil, ia akan mengurangkan pinjaman bank kerana syarikat-syarikat yang menjalankan perniagaan tidak mampu untuk meminjam dan membayar kadar faedah yang tinggi. Akibatnya, ia akan mengurangkan perniagaan dan aktiviti ekonomi dalam negeri. Melalui kesan rantaian, ia seterusnya akan menjejaskan pertumbuhan ekonomi negara.

(iii) menurunkan Keperluan Rizab Berkanun (Statutory Reserve Requirements - SRR) di Bank Pusat bagi menyediakan mudah tunai yang mencukupi untuk menyokong resipi (ii) di atas (lihat Rajah 3).




Ada pihak yang menyarankan supaya orang ramai membeli matawang Lira (Ⱡ) untuk membantu krisis matawang di Turkey sekarang. Adakah cadangan tersebut baik?

Nilai matawang negara-negara dunia ditentukan dalam Foreign Exchange Market (FOREX) berasaskan penawaran dan permintaan matawang berkenaan di pasaran. Lazimnya, permintaan datangnya daripada peniaga dan spekulator matawang (seperti Soros) serta negara-negara yang berdagang dengan negara berkenaan (misalnya, dengan Turkey).

Bagi peniaga dan spekulator, mereka akan membeli matawang dengan jangkaan nilai matawang tersebut akan meningkat. Tetapi, adakah anda bersedia untuk membeli matawang Lira (Ⱡ) kalau anda menjangkakan nilai matawang tersebut akan terus menurun?

Adakah sekarang masa yang sesuai untuk melancong ke Turkey?

Ya, kerana nilai ringgit lebih tinggi daripada Lira (Ⱡ). Tetapi kita kena memperuntukan sedikit tambahan perbelanjaan bagi membeli barang-barang dan perkhidmatan di sana disebabkan peningkatan harga dan inflasi.

Kesimpulan

Kita bersimpati dengan Turkey yang sedang menghadapi krisis matawang Lira (Ⱡ) yang boleh mengancam kestabilan ekonomi dan sektor kewangan negara tersebut.

Kita berharap, Turkey tidak akan meminta bantuan daripada IMF, yang berpengkalan di Washington D.C.. Ini kerana, selain daripada syarat-syarat lain yang dikenakan, strategi IMF supaya menaikkan kadar faedah bank akan lebih memburukkan lagi keadaan ekonomi negara yang sedang dilanda krisis.

Sebaliknya, Turkey perlu melaksanakan langkah-langkah drastik mengikut acuan tersendiri, seperti yang pernah dilakukan oleh Malaysia bagi menangani krisis ekonomi sebelum ia menular ke sektor-sektor lain yang boleh membawa kesan negatif yang lebih teruk ke atas ekonomi Turkey.

Penulis: Dr Muzahet Masruri.  Ph. D (Economics), University of East Anglia, United Kingdom.