June 08, 2018

RM 1.1 TRILION HUTANG TERSEMBUNYI? DARI MANA DATANGNYA?



RM 1.1 TRILION HUTANG TERSEMBUNYI?
DARI MANA DATANGNYA?
DR MUZAHET MASRURI

Pusaka yang ditinggalkan oleh kerajaan yang mentadbir negara sebelum Pilihanraya ke-14 (PRU14) ialah hutang dan tanggungan hutang yang dijamin Kerajaan Persekutuan yang jumlahnya mencecah RM 1.1 trilion. 

Cabaran utama yang dihadapi oleh pewaris kerajaan Pakatan Harapan ialah bagaimana mengembalikan momentum pertumbuhan ekonomi yang tinggi selepas tergelincir ke kancah pertumbuhan ekonomi yang lembab sejak hampir 10 tahun lalu, sedangkan pada masa yang sama terpaksa berhadapan dengan beban tanggungan hutang negara yang terlalu tinggi.

Kenapa hutang negara mencecah RM 1.1 trilion?

Hutang dan tanggungan hutang Kerajaan Persekutuan diklasifikasikan kepada 3 komponen, (i) hutang Kerajaan Persekutuan (ii) hutang badan berkanun dan syarikat-syarikat yang dijamin oleh Kerajaan Persekutuan, dan (iii) hutang di bawah program Kerjasama Awam Swasta (PPP).

(i) Hutang Kerajaan Persekutuan

Sebahagian besar hutang Kerajaan Persekutuan adalah bagi menampung perbelanjaan mengurus dan hanya  sebahagian kecil bagi perbelanjaan pembangunan. Antara komponen utama perbelanjaan mengurus ialah emolumen, pencen dan ganjaran, bayaran khidmat hutang, bekalan dan perkhidmatan, dan subsidi.

Hutang rasmi Kerajaan Persekutuan, setakat 31 Disember 2017 ialah RM 687 bilion (lihat Jadual 1 di bawah).

(ii) Hutang badan berkanun dan syarikat yang dijamin oleh Kerajaan Persekutuan

Tanggungan hutang Kerajaan Persekutuan adalah termasuk hutang badan berkanun dan syarikat-syarikat yang dijamin oleh Kerajaan Persekutuan (Government-linked companies, GLCs), iaitu 4 badan berkanun dan 26 syarikat di bawah Minister of Finance Inc. Hutang tersebut adalah bagi membiayai pelaburan ‘high impact strategic projects’, di mana syarikat swasta kurang berminat disebabkan kos pelaburan yang tinggi, seperti pengangkutan awam dan utiliti.

Jumlah hutang yang dijamin oleh Kerajaan Persekutuan adalah berjumlah RM199 bilion.

Antara hutang-hutang dalam klasifikasi ini ialah Danainfra Nasional Bhd (RM 42.2 bilion), Govco Holding Bhd (RM 8.8 bilion), Pasarana Malaysia Bhd (RM 26.6 bilion), Malaysia Rail-Link Sdn Bhd (RM 14.5 bilion), IMDB (RM 38 bilion) dan East Coast Rail Link-ECRL  (RM 65.5 bilion), (Kenyataan akhbar, Kementerian Kewangan, 24 Mei 2018).

(iii) Hutang di bawah projek Kerjasama Awam Swasta (PPP).

Hutang yang dijamin Kerajaan Persekutuan juga termasuk hutang di bawah projek Kerjasama Awam Swasta atau Public Private Partnership (PPP).  Pendekatan PPP adalah bertujuan untuk menggunakan alternatif pelaksanaan pembangunan projek-projek Kerajaan dengan melibatkan pihak swasta serta berkongsi risiko tertentu dalam melaksanakan projek pelbagai sektor seperti pendidikan, kesihatan dan pengangkutan.

Jumlah hutang PPP ialah RM 201 bilion

Jumlah hutang dan liabiliti Kerajaan Persekutuan

Secara keseluruhan, jumlah hutang dan liabiliti Kerajaan Persekutuan, setakat 31 Disember 2017 berjumlah RM 1.087 trilion (lihat Jadual 1).


 Adakah hutang yang dijamin kerajaan dibenarkan?

Hutang yang dijamin kerajaan adalah prosedur yang dibenarkan. Hutang ini akan dibayar oleh badan berkanun dan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (Government-linked companies, GLCs), yang membuat pinjaman. Tetapi jika syarikat-syarikat tersebut tidak mampu membayar balik pinjaman maka adalah menjadi tanggung jawab Kerajaan Persekutuan (sebagai penjamin) untuk membayarnya. 

Manifesatasi sebelum PRU14 menunjukkan penyalahgunaan pinjaman oleh syarikat-syarikat berkaitan kerajaan telah mengakibatkan beban hutang negara meningkat terlalu tinggi yang perlu ditanggung oleh Kerajaan Persekutuan walaupun Kerajaan Pesekutuan tidak meminjamanya secara langsung.

Apa langkah yang perlu dilakukan bagi mengurangkan tanggungan hutang?

Langkah-langkah telah dan sedang diambil oleh kerajaan yang baharu dibentuk bagi mengurangkan beban tanggungan hutang Kerajaan Persekutuan. Langkah-langkah tersebut tertumpu kepada semakan semula perbelanjaan kerajaan meliputi pengecilan, penangguhan serta pemansuhan program dan projek yang bertindih dan tidak mendesak.

Misalnya, Kementerian Kewangan telah mengeluarkan arahan supaya projek Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL) yang dibina oleh China Communications Construction Ltd, sebuah syraikat milik China digantung berkuatkuasa pada 6 Julai 2018 (New Straits Times, 6 Julai 2018).

Kesimpulan

Usaha untuk menyelamatkan negara daripada belenggu hutang yang terlalu tinggi bukanlah suatu tugas yang mudah. Kita berharap kerajaan yang baharu dibentuk akan dapat mengurangkan penaggungan hutang yang tinggi atas kadar segera, sebagaimana terkandung dalam Janji 100 Hari.

Ini kerana tugas yang lebih berat dan lebih penting sedang menunggu malah sedang ditunggu-tunggu oleh rakyat jelata, iaitu mengembalikan semula momentum pertumbuhan ekonomi negara yang lesu sejak hampir 10 tahun yang lalu. Tempoh 10 tahun terlalu lama dan rakyat sudah jemu melalui liku-liku hidup yang menjanjikan kesejahteraan ekonomi dan kehidupan masa depan yang lebih baik tetapi realiti sebenarnya tidak berlaku.

Penulis: Dr Muzahet Masruri.  Ph. D (Economics), University of East Anglia, United Kingdom.