February 08, 2018

MUAR BANDAR PALING BERSIH DI ASEAN



MUAR BANDAR PALING BERSIH DI ASEAN
DR MUZAHET MASRURI

Muar dipilih sebagai bandar paling bersih di ASEAN dalam ‘The ASEAN Tourism Awards 2018’, bersempena Mesyuarat Ke-21 Menteri-Menteri Pelancongan ASEAN yang berlangsung pada 22 hingga 26 Januari 2018 lalu, di Chiang Mai Thailand.

Tahniah kepada warga Bandar Muar atas pengiktirafan yang berprestij ini, khususnya kepada pihak berkuasa tempatan, agensi kerajaan, badan-bukan kerajaan, syarikat korporat dan penduduk yang terlibat untuk menjadikan Muar sebagai sebuah bandar yang bersih, ceria dan selesa untuk dihuni. Lebih istimewa lagi apabila pengiktirafan tersebut dianugerahkan kepada Bandar Muar, sebuah bandar yang kecil di Malaysia. 

Dua buah bandar lain di Malaysia yang menerima pengiktirafan yang sama dalam ‘‘The ASEAN Tourism Awards 2018’ ialah Putrajaya dan Pulau Pinang.

MUAR DULU-DULU

Mungkin ramai anda yang belum pernah sampai ke Bandar Muar (orang Johor sebut 'Bando Muo'). Kalaupun pernah, mungkin dah lama sangat. Jadi, di bawah ini saya cerita sikit-sikit pasal Bandar Muar, dulu dan sekarang, setakat yang saya tahu.

Sejarah Muar bermula pada tahun 1884 apabila Sultan Abu Bakar Johor mengisytiharkan Bandar Muar sebagai Bandar Maharani.  Sejak itu, Muar menjadi bandar kedua terpenting daripada segi pentadbiran, selepas Bandaraya Johor Bahru.

Keretapi Kerajaan Muar

Muar banyak menyimpan sejarah tersendiri. Kita mungkin tidak menyedari bahawa Muar adalah satu-satunya bandar di negara ini yang mempunyai sistem pengangkutan keretapi sendiri di zaman penjajahan British yang ditadbir di bawah Keretapi Kerajaan Muar (Muar State Railways) atau MSR. Ia dibina pada tahun 1889, menghubungkan Jalan Sulaiman di Bandar Muar ke Sungai Pulai sejauh 22.5 km.


Lokomotif dipamerkan di Tanjung Emas yang membuktikan kewujudan Muar State Railways (MSR) di zaman British
Muar State Railways (MSR) penting daripada segi sejarah kerana rangkaian sistem landasan keretapi ini adalah yang kedua dibina di negara ini selepas pembinaan landasan keretapi pertama dari Taiping ke Port Weld pada tahun 1885 oleh Keretapi Tanah Melayu (Arkib Negara).

Perkhidmatan keretapi ini telah dihentikan pada tahun 1918 apabila sistem jalan raya dibina yang menghubungkan Bandar Maharani dan Parit Jawa pada tahun tersebut.

Perkhidmatan Feri Muar

Kita juga mungkin tidak mengetahui bahawa sejak tahun 1884 sehinggalah tahun 1960-an Muar dihubungkan dengan negeri-negeri di bahagian utara Semenanjung melalui perkhidmatan feri untuk menyeberang Sungai Muar, dari Pengkalan Tanjung Agas ke Pengkalan Tangga Batu. Perkhidmatan feri ketika itu diusahakan oleh Syarikat Penambang Muar/Batu Pahat.

Perkhidmatan Feri Muar yang pernah wujud suatu ketika sebelum terbinanya Jambatan Sultan Ismail (Foto: Arkib Negara)
Perkhidmatan Feri Muar yang berusia 83 tahun itu telah ditamatkan apabila siapnya pembinaan Jambatan Sultan Ismail pada tahun 1967. Sebuah lagi jambatan yang panjangnya 632 meter merentasi Sungai Muar telah dibina di lokasi Muar Bypass pada tahun 2004 bagi mengurangkan kesesakan lalu-lintas di Jambatan Sultan Ismail.

Jambatan Sultan Ismail yang siap pada 1967 menggantikan perkhidmatan Feri Muar yang beroperasi selama 83 tahun 
MUAR DULU LAIN, SEKARANG LAIN

Bandar Muar atau sinonimnya 'Bandar Maharani', telah banyak bertukar wajah. Kalau anda pernah ke Bandar Muar 5 tahun lalu dan berkunjung semula ketika ini, anda pasti dapat menyaksikan perubahan pesat yang berlaku di bandar ini.

Monumen berhadapan Jambatan Sultan Ismail, mengalu-alukan kedatangan pelancong (Foto: Lite)
Pembangunan pesat di bandar ini terutamanya berlaku apabila Bandar Maharani diisytiharkan sebagai ‘Bandar Diraja’ oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada 24 November 2012 lalu, bersempena Sambutan Ulangtahun Hari Keputeraan baginda.

Mercu tanda melambangkan ‘Bandar Diraja’ yang dibina di tengah-tengah Bandar Muar
Bersempena pengisytiharan sebagai ‘Bandar Diraja’, aspek kebersihan dan keceriaan sangat dititkberatkan oleh pihak berkuasan tempatan bagi mewujudkan suasana Bandar Muar yang bersih, tenteram dan harmoni.

Pemandangan di suatu sudut yang mempamerkan kebersihan dan keceriaan Bandar Muar (Foto: skyscraperCity)

PEMELIHARAAN BANGUNAN LAMA

Antara keistimewaan Bandar Muar ialah deretan bangunan yang dibina sebelum Perang Dunia Kedua masih mewarnai seni bina bandar ini. Bangunan-bangunan tersebut dipulihara dengan baik dan masih digunakan bagi menempatkan kedai-kedai perniagaan di sepanjang Jalan Abdullah, Jalan Maharani dan Jalan Sulaiman.

Deretan bangunan lama di Jalan Sulaiman yang masih digunakan bagi menempatkan kedai-kedai perniagaan
Bangunan warisan yang ulung antara lain ialah Bangunan Sultan Abu Bakar yang siap dibina pada tahun 1929 dan menempatkan pejabat-pejabat Pentadbiran Daerah Muar, dan bangunan Kastam yang dibina pada tahun 1909. 

Bangunan Sultan Abu Bakar dibina tahun 1929, menempatkan pejabat-pejabat Pentadbiran Daerah Muar, sehingga ke hari ini.
Bangunan-bangunan ini adalah warisan yang amat berharga yang menggambarkan kemakmuran Muar pada masa lampau dan kekal menjadi tinggalan sejarah yang masih diguna pakai hingga ke hari ini.

MAKANAN POPULAR

Mee Bandung Muar

Muar terkenal dengan makanan ‘Mee Bandung Muar’. Anda mungkin boleh mendapat mee bandung Muar di tempat-tempat lain, malah di negeri-negeri lain di Malaysia. Tetapi itu bukan cita rasa Mee Bandung Muar yang sebenar dan asli, rasanya tidak sama.

Kalau anda mahu menikmati rasa Mee Bandung Muar yang sebenar, anda boleh berkunjung ke 'Restauran Selera Bandung Muar' yang letaknya di Jalan Abdullah. Atau anda boleh menikmatinya di gerai cawangan restauran ini yang letaknya bersebelahan gerai asam pedas di Tanjung Emas.


Sate & Mee Rebus

Muar juga terkenal sebagai salah satu tempat di mana sate dihidangkan sebagai sarapan pagi bersama makanan lain, seperti mee rebus. Anda boleh mencuba bersarapan pagi dengan sate di beberapa buah restauran yang letaknya di Jalan Majidi, berdekatan Balai Polis Muar.

Asam Pedas

Asam pedas boleh kita dapat di mana-mana. Tetapi, kalau anda mahu makan asam pedas yang ada rasa sikit dan sedap, sama ada kepala ikan atau telur ikan, anda boleh berkunjung ke ‘food court’ di Tanjung Emas. Crew TV3 pernah makan di sini dan meletakkan tanda peringatan di salah sebuah gerai asam pedas di sini. Rojak petis (rojak buah) pun sedap di 'food court' ini.

‘Food court’ menjual asam pedas dan Mee Bandung Muar di Tanjung Emas
Kopi Cap 434

Bagi peminat minuman kopi, anda pasti tidak mahu terlepas peluang untuk menikmati rasa kopi asli buatan sendiri yang sangat popular di Bandar Muar. ‘Kopi Cap 434’ telah diperkenalkan sejak tahun 1953 dan sehingga sekarang masih kekal sebagai miuman yang digemari di kalangan penggemar kopi. Anda boleh singgah di kedai kopi ini yang terletak di jalan utama selepas Jambatan Sultan Ismail, berhadpan stesen bas Bentayan. Di hadapan kedai yang berwarna kuning tersebut terdapat papan tanda kepala gajah dan nombor 434.




Pusat Rekreasi

Biasanya kalau anda pergi bercuti, ‘holiday’ kata orang putih, anda selalunya akan bawa keluarga bersama. Kalau anak-anak anda bertanya, “Kita orang nak main-main kat mana ayah..?” Anda boleh kata, “Kita pergi Tanjung Emas”.


Tanjung Emas adalah kawasan rekreasi yang letaknya di muara Sungai Muar, yang menemukan kuala Sungai Muar dengan Laut China Selatan.

Di samping menyaksikan pemandangan menarik alunan gelombang-gelombang kecil ketika air sungai dan air laut bertemu, anda boleh bersiar-siar dan berekreasi bersama keluarga yang disediakan di sini. Antaranya, taman permainan, river cruise, ‘food court’ dan padang golf.

Muar River Cruise

Kalau anda pergi ke Tanjung Emas, jangan terlepas peluang untuk menaiki ‘Muar River Cruise’ yang akan membawa anda menyusuri Sungai Muar dari Tanjung Emas ke Jambatan Kedua Sungai Muar. Anda pasti teruja dengan pemandangan menarik di sepanjang perjalanan menaiki cruise. Perjalanan pergi dan balik mengambil masa lebih kurang 40 minit dan tiket RM10 bagi dewasa dan RM5 bagi kanak-kanak.


Melihat matahari terbenam

Kalau anda seorang yang romantis, anda boleh bawa teman atau keluarga pun boleh, seketika di waktu senja, untuk menyaksikan saat matahari terbenam. Lokasinya berdekatan dengan Tanjung Emas.


Anda kaki golf?

Ada padang golf 9-lubang berhampran Taman Rekreasi Tanjung Emas Muar. Anda boleh main golf dan selepas menyumbat bola golf dalam semua 9 lubang, anda boleh pandu kereta anda ke ‘food court’ berhampiran untuk berehat dan menikmati rojak petis dan teh tarik.



Hot spring

Di Muar ada kolam air panas (hot spring) yang suhunya mencecah 46 darjah celsius (suhu air mendidih 100 darjah celsius). Ia terletak di Kampung Sungai Gersik, kira-kira setengah jam perjalanan dari bandar Muar menghala ke bandar Batu Pahat. Anda boleh merendam kaki atau merendam badan pun boleh di pusat rekreasi ini yang menjadi salah satu destinasi pelancongan popular di Johor.

Hot Spring di Kampung Sungai Gersik, Muar yang suhunya mencecah 46 darjah celcius.


ULASAN

Setelah mendapat pengiktirafan, apa langkah berikutnya?

Kita ucap tahniah kepada pelbagai pihak yang terlibat dalam merealisasikan Muar mendapat pengiktiraan ‘Bandar Paling Bersih di ASEAN’. Kita berharap Bandar Muar dapat mengekalkan gelaran yang berprestij ini kerana kebersihan, keceriaan dan ‘beautification’ adalah antara daya tarikan utama pelancong yang pastinya akan membuka mata selepas ini untuk datang berkunjung ke Bandar Muar.

Bagaimanapun, kita sedia maklum bahawa pelancong yang datang bukan semata-semata bertujuan untuk melihat kebersihan Bandar Muar. Mereka mahu lebih daripada itu, khususnya ‘produk-produk pelancongan’ yang boleh mereka perolehi daripada lawatan ke destinasi ini. Persoalannya, adakah produk pelancongan yang sedia ada di Bandar Muar dan kawasan di sekitarnya sudah cukup untuk memenuhi ekspektasi mereka?

Inilah perkara yang perlu difikir, dirancang dan dilaksanakan oleh pihak berkuasa tempatan dan agensi-agensi di bawahnya bagi menjadikan Bandar Muar antara destinasi pelancongan yang menarik di Malaysia.