January 24, 2018

GST & VAT: APA BEZANYA?


GST & VAT: APA BEZANYA?
DR MUZAHET MASRURI

Goods and Services Tax (GST) telah dilaksanakan di Malaysia pada tahun 2015, menggantikan Cukai Jualan (Sales Tax) dan Cukai Perkhidmatan (Services Tax) yang digunakan sebelumnya.

Walaupun menerima kritikan tetapi kerajaan bertekad melaksanakannya bagi menambah sumber pendapatan negara. Ini kerana cukai adalah penyumbang terbesar kepada pendapatan negara. Pada tahun 2017 pendapatan daripada cukai menyumbang 80% kepada hasil Kerajaan Persekutuan (Bank Negara, 2018)

Adakah semua rakyat di kenakan cukai GST?

Cukai GST ditentukan sebanyak 6%. Bagaimanapun, terdapat barangan keperluan asas yang dikecualikan daripada GST, seperti minyak masak, gula, garam, beras, tepung, roti, semua jenis bahan bacaan dan beberapa jenis perubatan kesihatan.

Daripada segi realitinya, semua orang, tidak kira miskin atau kaya, semua kena bayar cukai GST, selagi mereka menggunakan barangan dan perkhidmatan yang bercukai.

Misalnya, kalau kita orang kampung datang melawat anak yang bekerja dan tinggal di Putrajaya dan bersarapan pagi sekeping roti canai dan segelas teh tarik di kedai mamak. Kita kena bayar cukai GST yang jumlahnya tertulis di bahagian bawah resit pembayaran. Tak kiralah, kita orang susah di kampung yang hanya bekerja sebagai penoreh getah atau pekebun kecil kelapa sawit. GST tetap kena bayar.


Bagaimana praktis di negara lain?

Bagi kebanyakan negara lain di dunia, mereka menggunakan sistem cukai yang dinamakan Value Added Tax (VAT). Misalnya bagi Negara-negara Kesatuan Europah (EU), seperti United Kingdom, Germany, France, Denmark, Italy, Netherlands, Norway dan Sweden. Negara-negara lain di luar EU yang menggunakan VAT adalah seperti Arab Saudi, Korea Selatan, China, Turkey dan Russia (lihat Jadual 1).




Negara-negara yang menggunakan sistem cukai GST adalah seperti Malaysia, Singapore, Kanada, New Zealand dan India (lihat Jadual 2).


Kenapa ada negara guna VAT dan GST? Apa bezanya?

VAT dan GST adalah dua nama bagi sistem percukaian yang sama, tertakluk kepada beberapa perbezaan kecil dalam pelaksanaannya, mengikut peraturan dan undang-undang sedia ada di kalangan negara-negara berkenaan.

Apa takrif VAT?

VAT adalah cukai jualan yang dikenakan bagi barangan dan perkhidmatan nilai tambah (value added) yang digunakan dalam rantaian pengeluaran antara pembekal dan pembeli berikutnya. VAT dikenakan dan dikutip di setiap peringkat barangan itu dijual – daripada pengeluar kepada pemborong, daripada pemborong kepada peruncit dan daripada peruncit kepada pengguna. Di peringkat akhir pengeluaran, hanya pengguna atau pembeli yang membayar VAT kerana peniaga-peniaga (businesses) yang terlibat dalam rantaian pengeluaran boleh membuat tuntutan balik VAT daripada kerajaan dalam proses menjalankan perniagaan.

Apa takrif GST?

GST, seperti juga VAT adalah cukai yang dikenakan kepada pengguna bagi barangan dan perkhidmatan yang terlibat dalam rantaian pengeluaran, daripada peringkat pengeluar hinggalah ke peringkat pengguna atau pembeli.

Seperti disebut di atas, VAT dan GST adalah dua nama bagi sistem percukaian yang sama. Bagaimanapun, sesetengah pihak menyatakan terdapat perbezaan kecil daripada segi pelaksanaannya di kalangan negara-negara yang terlibat. Antaranya, pelaksanaan GST akan mengelakkan pengenaan cukai jualan dua kali (tax on tax) dalam peringkat-peringkat pengeluaran. Ada juga pandangan yang menyebut, VAT mengenakan cukai kepada orang awam, manakala GST kepada pengguna. 

Dalam kertas kerja bertajuk International VAT/GST Guidelines, the Organisation for Economic Cooperation and Development (OECD) menyebut bahawa VAT juga dinamakan sebagai Goods and Services Tax (GST).


Adakah semua negara mengenakan kadar VAT/GST yang sama?

Kadar cukai VAT/GST adalah berbeza antara sebuah negara dengan negara lain di dunia. Umumnya, kadar yang dikenakan adalah antara 5% - 20% (lihat Jadual 1 dan 2). Setiap negara boleh menentukan sendiri kadar cukai, barangan yang dikenakan VAT/GST dan barangan yang dikecualikan daripada VAT/GST.

Walaupun sesetengah negara mengenakan kadar cukai yang tinggi, misalnya 20% di United Kingdom tetapi banyak kategori barangan di negara tersebut yang dikecualikan daripada VAT, seperti kelengkapan dan bekalan perubatan, pengangkutan awam, pakaian kanak-kanak, buku, suratkhabar, bahan-bahan binaan bangunan baharu dan lain-lain (lihat Jadual 1).

Bolehkah kita tuntut semula cukai VAT/GST?

Ini cerita bagus bagi mereka yang gemar melancong ke luar negara. Kalau kita berkesempatan berjalan sepanjang Oxford Street di London pada musim Winter Sale, pasti kita akan jumpa ramai orang Malaysia berselisih jalan, menjinjing beg-beg plastik berjenama di situ. Kalau barangnya berjenama, harganya pasti mahal dan VATnya pun banyak.

Sebagai pelancong, anda layak tuntut VAT yang anda bayar ketika membeli-belah, dengan syarat barang-barang tersebut dibeli tidak melebihi tempoh 3 bulan dari tarikh anda berangkat pulang ke Malaysia. Tuntutan balik cukai bukan sahaja boleh dilakukan di London, tetapi di mana mana negara yang melaksanakan sistem cukai VAT/GST.

Bagaimana menuntut VAT/GST daripada barangan yang anda beli?

Kalau anda di London, anda boleh tuntut di kaunter kastam di Lapangan Terbang Heathrow. Prosedur tuntutan VAT/GST antara sebuah negara dengan negara lain mungkin berbeza. Tetapi biasanya, langkah-langkah yang perlu anda ambil adalah seperti berikut:

1. Sebelum pergi ke airport, kumpulkan semua resit pembelian yang ada VAT.
2. Masukkan dalam sebuah beg khas, semua barang yang hendak dituntut VAT seperti tersenarai dalam resit pembelian (pegawai kastam mungkin minta anda tunjukkan bukti barangan yang dibeli).
3. Ingat..! Manusia di airport ramai dan proses tuntutan mungkin mengambil sedikit masa. Datang awal.
4. Semasa di kaunter kastam di airport, isi borang-borang perlu dan serahkan bersama passport dan boarding pass.
5. Setelah semua dokumen disahkan, tuntut VAT anda di kaunter bayaran.


‘Selamat menuntut VAT/GST’
Kesimpulan

Kita tidak pernah kira berapa banyak kita bayar GST setiap bulan atau setiap tahun. Kalau dikumpulkan tentunya banyak. Sebagai rakyat, kita harap wang GST yang kita sumbang kepada Kerajaan Persekutuan dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya. Janganlah guna semua duit GST untuk bayar hutang dan mengurangkan defisit fiskal negara. Peruntukanlah sedikit bagi membangunkan ekonomi negara dan membangunkan ekonomi rakyat, seperti janji yang dijerit-jerit oleh pemimpin negara, yang selalu kita lihat dan dengar dalam kaca TV.

Dr. Muzahet Masruri, Ph.D (Economics),  University of East Anglia, United Kingdom