December 21, 2017

REVOLUSI INDUSTRI 4.0: APA RESPONS MALAYSIA?

21 Disember 2017
REVOLUSI INDUSTRI 4.0:
APA RESPONS MALAYSIA?
DR MUZAHET MASRURI


Revolusi Industri 4.0 akan menguasai industri pembuatan (manufacturing industries) dunia dalam tempoh terdekat. Bertapak di Jerman, sekumpulan pakar penyelidik teknologi tinggi, atas biaya kerajaan negara Jerman berjumlah €500m telah menjalankan projek penyelidikan ‘high-tech strategy’ sejak hampir sedekad lalu, untuk menjadi pelopor yang akan mengubah rupa masa depan perindustrian dunia. Laporan akhir Kumpulan Kerja pakar Industri 4.0 itu telah diserahkan kepada kerajaan Jerman pada 2014 di Hannover Fair, Jerman untuk pelaksanaan.

Tergerak dengan perkembangan revolusi terbaru ini, negara-negara lain, seperti China, Jepun, Korea Selatan dan Amerika Syarikat sedang melakukan langkah-langkah proaktif bagi mewujudkan sistem dan standard global yang akan menjadikan industri pembuatan mereka berupaya menghadapi persaingan yang bakal dihadapi bagi dekad akan datang.

Apa itu Industri 4.0?

Industri 4.0 adalah suatu revolusi dalam industri pembuatan dunia yang menemukan dua dunia yang terasing selama ini, iaitu Teknologi Maklumat (IT) dan Teknologi Operasional (OT). Antara ciri-cirinya ialah penggabungan industri digital, menghubungkaitkan unsur digital dan fizikal, sistem pengeluaran yang berteraskan fizikal-siber dan Industri IoT (internet of things).

Dalam strategi Industri 4.0, komputer dan jentera akan disepadukan untuk melaksanakan fungsi dan tugas yang baharu dalam kilang pintar (smart factories), di mana robot akan disambungkan dengan sistem komputer dari jarak jauh yang dilengkapi dengan automasi yang berupaya untuk membaca, menginterpretasi sistem dan prosedur, membuat keputusan sendiri dan mengarah robot untuk bertindak, dengan input yang hanya sedikit daripada manusia.

Mengapa dinamakan Revolusi Industri 4.0?

Ia dinamakan sedemikian kerana Industri 4.0 adalah tahap ke-4 dalam sejarah revolusi perindustrian global.

Seperti kita maklum, Revolusi Perindustrian adalah proses perubahan daripada ekonomi pertanian kepada ekonomi yang berasaskan industri dan penggunaan jentera perkilangan. Revolusi Industri 1.0 bermula di Great Britain pada kurun ke-18 dan selepas itu berkembang ke negara-negara lain. Ciri utama Revolusi Industri 1.0 ialah penggunaan jentera berkuasa wap.



Revolusi Industri 2.0 ialah penggunaan tenaga elektrik untuk menggerakkan jentera bagi pengeluaran berskala besar dan automasi di barisan pemasangan.

Revolusi Industri 3.0, lebih dikenali sebagai Revolusi Digital adalah bercirikan penggunaan komputer dan teknologi maklumat (IT) yang secara tidak langsung mengurangkan keperluan tenaga manusia dan digantikan dengan robot dan jentera untuk meningkatkan fungsi automasi di barisan pengeluaran. 

Revolusi Industri 4.0 menggabungkan teknologi maklumat (IT) dan teknologi operasional yang berteraskan sistem fizikal-siber dan Industri IoT (internet of things). Penggunaan tenaga manusia akan digantikan hampir sepenuhnya dengan robot yang dilengkapi dengan sistem dan prosedur yang boleh menginterpretasi dan membuat keputusan sendiri.

Di mana kedudukan Malaysia dalam Revolusi Industri?

Industri pembuatan Malaysia masih berada di tahap Industri 2.0 yang berasaskan intensif-buruh. Malaysia ketinggalan berbanding dengan negara-negara serantau lain, seperti Korea Selatan yang berada di tahap Industri 3.0 sekarang, walaupun pada tahun 1970-an Korea pernah ketinggalan di belakang Malaysia.

Mengapa setelah lebih 50 tahun industri pembuatan Malaysia masih berada di tahap Industri 2.0?

Kerana sejak tahun 1960-an, Malaysia memilih pendekatan menggunakan pelabur asing bagi membangunkan industri tempatan. Maka wujudlah industri-industri tempatan yang sebahagian besarnya milik pelabur asing yang mengekalkan teknologi berintensif-buruh di tahap Industri 2.0, dan kekal keadaannya sehinggalah ke hari ini.

Berbeza dengan Korea Selatan, yang ketika itu sama seperti Malaysia, iaitu mengamalkan dasar export-led development, Korea bertekad untuk mewujudkan pengusaha industri tempatan yang berdaya saing di peringkat global. Maka wjudlah industri berteknologi tinggi dengan jenama besar milik Korea seperti HYUNDAI, KIA, DAEWOO, SSANGYONG dan SAMSUNG.

Bolehkah kita gunakan pelaburan asing untuk melaksanakan Industri 4.0 di Malaysia?

Kita maklum, pelabur asing dan Multi National Corporations (MNCs) melabur di Malaysia kerana pelbagai kemudahan dan insentif yang disediakan pihak kerajaan bagi pengeluaran berskala besar dengan kos yang rendah. Realitinya, mereka tidak akan membelanjakan modal yang tinggi bagi membangunkan Industri 4.0 di negara ini.

Sebaliknya, selama ini mereka menggunakan strategi mengekalkan pengeluaran industri berteknologi rendah berasaskan pemasangan (assembly-based business) yang berorientasikan intensif-buruh dan buruh tidak mahir, seperti yang kekal keadaannya pada hari ini.

Jadi, kita tidak boleh tarik pelabur asing untuk melaksanakan Industri 4.0 di Malaysia?

Boleh. Kita boleh tarik banyak  mana pelabur asing yang kita mahu. Tetapi seperti disebut di atas, realitinya pelabur asing tidak akan membangunkan Industri 4.0 di Malaysia. 

Sebaliknya, mereka akan mengekalkan strategi pengeluaran berasaskan teknologi sedia ada seperti keadaannya pada hari ini.

Bolehkah Malaysia melompat dari Industri 2.0 kepada Industri 4.O seperti yang disebut oleh pemimpin-pemimpin negara?

Fikir secara logik. Walapun pemimpin-pemimpin politik negara menjerit-jerit untuk meyakinkan orang ramai bahawa kita bersedia untuk melompat dari Industri 2.0 ke Industri 4.0, tetapi realitinya bukan semudah itu.

Rakyat tahu, ia hanya merupakan retorik dan slogan kosong.

Apa strategi Malaysia bagi menghadapi Revolusi Industri 4.0?

Malaysia perlu mempunyai industri yang bertaraf Industri 3.0 sebelum membolehkan kita bergerak ke Industri 4.0.

Pernahkah Malaysia mempunyai Industri 3.0?

Pernah. Malaysia pernah mempunyai industri yang bertaraf Industri 3.0 apabila Malaysia berjaya membangunkan jenama industri milik tempatan berteknologi tinggi, Heavy Industries Corporation of Malaysia Berhad (HICOM). PROTON ditubuhkan pada tahun 1983 sebagai syarikat automotif  dan kereta PROTON SAGA jenama Malaysia mula memasuki pasaran pada tahun 1985.

Malangnya..!! gara-gara tidak mahu melihat Proton berjaya, setelah 34 tahun dibangunkan oleh Tun Mahathir Perdana Menteri ketika itu, mulai Julai 2017, PROTON, industri berteknologi tinggi milik tempatan yang menjadi kebanggaan rakyat Malaysia telah digadaikan kepada syarikat asing Zhejiang Geely, sebuah syarikat negara China. Dari tarikh itu, Proton bukan lagi kereta nasional.

Sejak itu, kembalilah semula Malaysia ke tahap Industri 2.0, teknologi berintensif-buruh dan kekallah keadaannya sehinggalah ke hari ini.

Perlukah universiti merombak kurikulum bagi menyediakan kursus baharu sebagai persediaan melaksanakan Revolusi Industri 4.0?

Agenda ini sedang hangat dibincangkan di peringkat Kementerian Pendidikan Tinggi dan universiti.

Sayugia, kita seharusnya jangan gian sangat untuk rombak kurikulum universiti.

Rombakan boleh dibuat dengan syarat selepas keluar dari universiti, graduan dijamin boleh mendapat kerja dalam industri pembuatan yang bertaraf Industri 4.0. Soalnya, bila Malaysia akan mempunyai industri pembuatan (manufacturing industries) yang bertaraf Industri 4.0? Sudah lebih 50 tahun hingga ke hari ini, industri pembuatan kita masih di tahap Industri 2.0.

Kita tidak mahu isu tahun 1970-an berulang. Apabila kerajaan mengumumkan pembangunan negara akan berteraskan sains dan teknologi, pengambilan pelajar sains ke universiti dilipatgandakan. Selepas keluar universiti, graduan bukan jadi saintis dan bekerja dalam industri pembuatan yang bertaraf Industri 4.0, tetapi berkesudahan jadi cikgu.

Melihat kekangan yang ada sekarang, bolehkah Malaysia menolak Revolusi Industri 4.0?

Boleh. Tetapi kita kena terima hakikat bahawa kita akan ditinggalkan oleh arus kemajuan teknologi tinggi (high-tech) yang bergerak pantas menguasai industri pembuatan dalam dunia tanpa sempadan. Sama keadaannya seperti ketika globalisasi diperkenalkan dahulu. Kita was-was dan mahu melindungi hak-hak kita, tetapi kita tidak mampu menolak dan akhirnya sama-sama berenang dalam arus globalisasi seperti sekarang.

Di rantau Asia, ke manakah tumpuan pelabur-pelabur asing sekarang?

Pelabur-pelabur asing sekarang lebih bertumpu ke negara-negara di Asia yang baharu muncul, seperti Vietnam, Myanmar, Laos dan Kemboja.  Tumpuan mereka ke negara-negara ini bukan lagi kerana upah buruh yang murah tetapi meletakkan asas bagi pembangunan industri pembuatan yang lebih maju di negara tersebut.

Industri pembuatan Malaysia adalah kukuh dan penyumbang kedua terbesar kepada KDNK negara. Mengapa perlu diubah?

Memang benar, industri pembuatan adalah penyumbang kedua terbesar (23.0%) selepas sektor perkhidmatan (54.5%) kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2016.

Memang benar bahawa jumlah eksport industri pembuatan adalah tinggi, iaitu RM645,768 juta pada tahun 2016 (Laporan Bank Negara), terutama barangan elektrik dan elektronik yang menyumbang 36% daripada keseluruhan jumlah eksport.

Tetapi kita perlu terima realiti, bukan semua RM645,768 juta nilai eksport yang selalu diwar-warkan oleh pemimpin negara untuk menunjukkan asas-asas ekonomi negara yang kukuh itu adalah hasil kerajaan. Hanya 25% yang dikutip melalui cukai korporat.

Bukankah pelaburan asing menyediakan peluang pekerjaan dalam sektor industri pembuatan?

Benar. Tetapi sebahagian besar pekerjaan untuk siapa?  

Tahap teknologi dalam industri pembuatan yang telah sekian lama tidak berubah dan kekal berada di tahap Industri 2.0 dan berintensif-buruh adalah antara punca yang menyebabkan Malaysia pada hari ini perlu mengimport berjuta buruh asing.

Mengapa Malaysia perlu mengimport berjuta buruh asing

Pengimportan buruh asing ke negara ini telah jauh menyimpang daripada matlamat asal bagi mengatasi kekurangan tenaga kerja dalam tiga sektor, iaitu perladangan, pembinaan dan pembantu rumah.

Pengimportan 2 juta buruh asing ke negara ini telah jauh menyimpang daripada matlamat asal 

Sebaliknya pada hari ini, pekerja asing dimport bukan untuk bekerja di sektor-sektor yang disebut di atas. Tetapi pekerja-pekerja asing yang diimport dikehendaki bekerja di sektor industri pembuatan dan perkhidmatan.

Benarkah pengimportan buruh asing telah mewujudkan ‘crowding out effect'?

Pengimportan buruh asing ketika ini telah mewujudkan ‘kesan kesesakan’ (crowding out effects), bukan sahaja dalam pasaran tenaga kerja, kawasan perumahan dan petempatan penduduk, bahkan peluang-peluang perniagaan di bandar besar dan bandar-bandar kecil di Malaysia, yang secara logik tidak sepatutnya berlaku.

Wajah-wajah gembira sekumpulan buruh asing sebaik menjejak kaki di KLIA
Benarkah pengimportan buruh asing telah mewujudkan kebocoran dalam ekonomi Malaysia?

Kebocoran dalam ekonomi negara berlaku dalam bentuk bayaran pindahan (transfer payment) oleh hampir 2 juta buruh asing yang bekerja di negara ini.

Saya pernah menemubual pekerja-pekerja asing yang bekerja di sektor industri pembuatan dan perkhidmatan. Purata pendapatan mereka RM1,100 sebulan. Hampir semua yang ditemubual menghantar wang antara RM500 hingga RM800 kepada keluarga atau ibu bapa ke negara asal mereka.

Cuba bayangkan, berapa jumlahnya kalau ada 2 juta buruh asing dan setiap mereka menghantar pulang purata RM600 sebulan ke negara asal mereka?  


Duit yang mengalir keluar tersebut terlalu besar jumlahnya yang sepatutnya dibelanjakan dalam negara bagi meningkatkan penggunaan swasta (private consumption) kerana penggunaan swasta menjadi penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi negara (KDNK) Malaysia.

Kesimpulan

Kita tidak menolak kemasukan pelaburan asing ke negara ini kerana ia penting. Tetapi apa yang kita 'highlight'kan ialah kita tidak boleh mengekalkan dasar pergantungan kepada pelabur asing untuk berganjak ke Industri 4.0. Ini kerana pelabur asing menggunakan strategi mengekalkan teknologi berintensif-buruh di tahap Industri 2.0 dalam industri pengeluaran mereka seperti yang dipertahankan sejak 50 tahun yang lalu.

Industri pembuatan Malaysia perlu berubah fokus kepada Industri 3.0 berasaskan intensif-modal berteknologi tinggi, seperti yang dicapai oleh PROTON melalui HICOM pada tahun 1983 apabila kereta PROTON SAGA mula memasuki pasaran pada tahun 1985. Setelah kita mempunyai Industri 3.0, baharulah sesuai kita bercakap dan berfikir strategi bagi menghadapi Revolusi Industri 4.0. Tetapi malang, Proton telah digadai dan ia bukan lagi milik Malaysia. 


Penulis: Dr Muzahet Masruri.  Ph. D (Economics), University of East Anglia, United Kingdom.