October 16, 2017

EKONOMI DUNIA DIJANGKA TUMBUH 2.7%, 2017


EKONOMI DUNIA DIJANGKA TUMBUH 2.7%, 2017
DR MUZAHET MASRURI

Ekonomi dunia dijangka mencatat pertumbuhan 2.7% pada tahun 2017 setelah berkembang 0.4% berbanding dengan kadar pertumbuhan 2.3% pada tahun sebelumnya. Peningkatan kadar pertumbuhan ini menunjukkan pencapaian dalam pemulihan ekonomi dunia yang berada dalam keadaan lesu pada tahun 2016. Pertumbuhan dijangka meningkat kepada 2.9% pada tahun 2018 dan 2019.

Antara faktor penyumbang kepada peningkatan tersebut ialah pembangunan sektor industri pembuatan yang terus meningkat, perdagangan dunia yang meningkat berikutan permintaan yang kukuh daripada Negara-negara Maju, peningkatan keyakinan pelabur, kedudukan kewangan global yang terkawal dan kestabilan harga barangan komoditi di pasaran.


Pertumbuhan Negara Maju

Bagi Negara-negara Maju (Advanced Economies), pertumbuhan ekonomi juga dijangka meningkat daripada 1.6% (2016) kepada 1.8% (2017) walaupun kadar peningkatannya adalah rendah berbanding dengan peningkatan pertumbuhan di peringkat global.

Pertumbuhan yang rendah dalam kalangan Negara-negara Maju adalah disebabkan hanya Amerika Syarikat sahaja yang menyumbang kepada peningkatan pertumbuhan, iaitu daripada 1.6% (2016) kepada 2.2% (2017), manakala negara-negara lain, iaitu Euro Area, Jepun dan United Kingdom semuanya diramal mencatat pertumbuhan menurun. Misalnya, Euro Area daripada 1.6% (2016) kepada 1.5% (2017) dan United Kingdom daripada 2.0% kepada 1.2%.

‘Emerging Market & Developing Economies’ penyumbang utama pertumbuhan ekonomi dunia.

Laporan Bank Dunia, Jun 2016 menyebut negara-negara Emerging Market & Developing Economies merupakan penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi dunia dan dijangka mencatat pertumbuhan daripada 3.4% (2016) kepada 4.2% (2017). Prestasi yang tinggi ini dijangka berterusan bagi tahun-tahun berikutnya.

Negara-negara dalam kumpulan ini terdiri daripada East Asia & the Pacific, Europe & Central Asia, Latin America & the Caribbean, Middle East & North Africa, South Asia and Sub-Saharan Africa.



Negara-negara ‘East Asia & the Pacific’

Bagi negara-negara ‘East Asia & the Pacific’, Bank Dunia meramalkan pertumbuhan keseluruhan ekonomi negara-negara ini akan berada pada arah aliran menurun daripada 6.3% (2016), 6.2% (2017) dan 6.1% (2018 & 2019).

Penurunan ini djangka berlaku walapunpun pertumbuhan ekonomi bagi sesetengah negara dalam kumpulan ini dijangka meningkat bagi tahun 2017 berbanding tahun sebelumya. Misalnya Indonesia 5.0% kepada 5.2%, Malaysia 4.2% kepada 4.9%, Myanmar 6.5% kepada 6.9% dan Vietnam 6.2% kepada 6.3%.

Penurunan ini dipengaruhi oleh faktor Negara China, iaitu kuasa ekonomi kedua terbesar di dunia yang pertumbuhan ekonominya dijangka mencatat arah aliran menurun daripada 6.7% (2016), 6.5% (2017) dan 6.3% (2018 & 2019)

Bagaimana prospek pertumbuhan ekonomi Malaysia?

Mengambil kira (i) senario ekonomi dunia yang tidak menentu, (ii) kedudukan Malaysia sebagai sebuah ‘free-market economy’ yang sangat terbuka dan bergantung kepada persekitaran global (di mana nilai eksport melebih 140% daripada KDNK), dan (iii) tanpa suntikan ransangan ekonomi domestik yang lebih agresif, Malaysia dijangka tidak berupaya untuk mengembalikan momentum rekod pertumbuhan ekonomi yang tinggi seperti yang pernah dicapai pada tahun-tahun sebelumnya.



Dr.Muzahet Masruri.  Ph.D (Economics), University of East Anglia, United Kingdom