July 22, 2017

EPISOD 7 DILAMAR JADI ANAK ANGKAT




EPISOD 7
DILAMAR JADI ANAK ANGKAT
AZZAD MUZAHET

Cerita ‘Budak Punggung Tebal’ tersebar dalam Bilik Guru sekolah. Kisah budak kampung kayuh basikal 24,000 km ulang alik sekolah menarik minat beberapa orang guru untuk mengetahui cerita ini. Ada antara mereka yang menawarkan jalan penyelesaian dari cerita tersebut. Ikuti sembang-santai saya dengan budak kampung berkenaan.

Soalan: Kira-kira Ayah ni memang sorang yang tabah la… Macam-macam jenis susah Ayah kena tanggung nak sekolah masa tu. Sampai dah fikir nak cabut lari sekolah, tapi tak jugak cabut-cabut! Kalaulah jadi pada budak lain, eeeh… dah lama bye-bye sekolah.
Jawapan: Betul, betul, betul… Memang Ayah budak tabah masa tu. Sori, puji diri sendiri…!! Masuk bakul kuih, angkat sendiri pegi sekolah!! Kah, kah, kah ..!! Ayah teringat masa pergi sekolah bawak bakul jual kuih kat sekolah rendah dulu.

Soalan: Mungkin ada tarikan kat sekolah tu yang buat Ayah tak mahu tinggal sekolah? Mungkin ada girl friend, mana tahu..?
Jawapan:  Heh…! Mana ada girl friend nak budak miskin bangsat macam ayah masa tu. Dia orang semua anak orang bandar pulak tu!

Ayah tak mahu tinggal sekolah sebab Ayah tak nak jadi askar, polis atau posmen, macam cita-cita banyak budak kampung masa tu. Lagipun, Ayah nak tunai permintaan Ibu dan janji Ayah pada Ibu, “Emak tak nak engkau berhenti sekolah Nak! Emak nak tengok engkau jadi orang pandai sebelum Emak tak ada lagi kat dunia ni.” Itulah permintaan Ibu.

Dan ini janji diri Ayah pada Ibu, “Engkau tidak pernah putus mendoakan kejayaanku. Berkat doamu, aku jadi pelajar terbaik. Aku janji pada diriku, aku takkan sia-siakan doa dan harapanmu. Aku mesti sambung sekolah. Aku sanggup berkorban walau apa sekalipun.”

Soalan: Tapi Ayah kena fikir, Ayah akan terus hadapi hari-hari yang getir sepanjang persekolahan Ayah?
Jawapan:  Ya betul. Hari-hari yang getir. Yang itu Ayah pasti. Hari itu, ada 2 orang cikgu nak jumpa Ayah di Bilik Guru. Waktu rehat dan selepas waktu sekolah.

Soalan: Kenapa Ayah kena panggil Cikgu hari tu? 2 orang Cikgu pulak tu?
Jawapan:  Itu yang berat otak Ayah nak fikir. Macam-macam tanda tanya dalam kepala otak Ayah. “Kenapa aku kena panggil? Apa lagi salah yang aku dah buat? Apa lagi hukuman yang aku nak terima? Kenapa hari-hari aku harus begini? Sampai bila? Dunia ni tak adil. Kenapa aku yang sering jadi sasaran? Kerana aku anak orang susah? Kerana aku anak orang miskin, tak mampu beli buku teks? Kerana aku anak orang susah, hanya ada basikal buruk untuk kayuh jauh hari-hari ulang alik sekolah? Kenapa aku dilayan macam makhluk asing?” Semuanya ada dalam kepala otak Ayah masa tu.

Soalan: Apa hukuman yang Ayah terima bila jumpa Cikgu waktu rehat?
Jawapan:  Waktu rehat Ayah terus jumpa Cikgu Shukor Md. Dom kat Bilik Guru. 

“Selamat Pagi Cikgu!” Ayah kata. “Duduk!” arah Cikgu. Ayah duduk, tunggu hukuman yang akan Ayah terima. “Kamu dah makan?” tanya Cikgu. Ayah tak jawab, cuma geleng kepala. “Kenapa tak makan?” tanya Cikgu. Ayah diam tapi dalam hati berkata, “Kenapa tanya soalan bodoh? Kamu tahu tak, sepanjang aku sekolah aku tak pernah bawa duit untuk makan waktu rehat kat kantin?”

”Kamu pergi sekolah naik basikal?” Kata Cikgu. Ayah diam diri, pandang tempat lain. Ayah syak, Cikgu yang kata ‘Budak Punggung Tebal’ bagi tau. “Hey, apa masalah kau? Kau pun nak jadi macam Cikgu yang kata aku punggung tebal?” Jerit hati Ayah. “Saya tahu kamu murid yang gigih. Tak ada murid sekolah ini yang kayuh basikal sejauh yang kamu kayuh setiap hari ke sekolah,” kata Cikgu.

“Bukan setakat budak sekolah ini jer, satu kampung aku pun tak ada budak yang sanggup buat kerja gila macam aku…!!! Kayuh basikal pagi buta, gelap, redah segala halangan, hujan, ribut, petir, basah, kuyup, penat, letih, dahaga, minum air paip dalam tandas sekolah. Balik sekolah, kayuh basikal dalam bahang tengahari perit membakar, lapar, dahaga, hanya minum air paip tepi jalanraya,” jawab hati Ayah, menambah banyak lagi senarai yang Cikgu tak sebut.

“Saya nak ambil kamu jadi anak angkat saya,” kata Cikgu, pandang Ayah. “Anak angkat..!! Anak angkat tu macam mana Cikgu?” Cikgu diam, tak jawab. Tangannya meraba beberapa buah buku dan susun di depannya. “Ini buku-buku teks yang saya beli untuk kamu,” kata Cikgu, menyorong buku-buku tu depan murid yang bakal jadi anak angkatnya.

Ayah tenung buku-buku tu. Itulah buku-buku yang Ayah impikan selama ini. “Terima kasih Cikgu!” kata Ayah. “Sesungguhnya hati Cikgu ini sangat mulia. Semoga Allah melindunginya dan memberinya lebih rezeki,” doa lahir dari hati Ayah.

“Saya akan ambil kamu tinggal rumah saya bersama ibu saya. Saya akan tanggung segala belanja kamu, makan, minum dan belanja sekolah kamu,” kata Cikgu lagi. “Balik sekolah nanti bagi tahu Mak Ayah. Kalau setuju, saya akan pergi ke rumah dan ambil kamu hujung minggu ini,” kata Cikgu.

Ayah tergamam. Fikiran Ayah kosong. Ayah tak tau apa yang nak ucap dan nak cakap. Ayah terbayang Cikgu Shukor naik Vespa datang rumah ambik Ayah hujung minggu ini.



Ayah riba semua buku, keluar Bilik Guru. Bau buku-buku baru tu sangat meransang hidung dan meniup semangat Ayah belajar lebih gigih. “Baru aku dapat rasa macam mana seronok belajar ada buku,” kata Ayah, senyum sendirian.

Soalan: Masa jumpa sorang lagi Cikgu lepas waktu sekolah tu pulak, apa ceritanya?
Jawapan:  Bila tamat sesi sekolah, Ayah terus jumpa Cikgu Abd. Rahman Naji kat Bilik Guru. Raut muka Cikgu ni mirip muka orang Arab. 
“Macam ni lah dipendek cerita. Saya dengar awak murid gigih dan rajin. Awak tak pernah ponteng sekolah walaupun awak kayuh basikal jauh dari sekolah. Saya faham masalah awak. Sebab itu saya nak tolong awak. Saya duduk dengan isteri dan seorang anak perempuan, di Lorong Isnin, kira-kira 1 km dari sekolah.” kata Cikgu.

Kepala Ayah mula merayau, “Kenapa Cikgu ni sebut anak perempuan? Agaknya dia nak ambik aku jadi menantu bila kami dewasa nanti! Eh, tak mungkin. Tapi kalau betul aku tak ada masalah sebab anak perempuannya mesti cantik sebab ayahnya ‘handsome’ macam Arab!” Bisik hati Ayah. “Berapa umur anak perempuan Cikgu?” Tak semena-mena terkeluar perkataan tu dari mulut Ayah. “Baru setahun sebab saya lambat kahwin,” jawab Cikgu. Ayah tersipu sendirian.

“Beginilah. Saya nak ambil awak jadi anak angkat saya,” kata Cikgu. Ayah tergamam dan diam diri. “Murah rezeki aku hari ini. Sampai dua orang Cikgu nak ambik aku jadi anak angkat,” bisik hati Ayah. “Awak boleh tinggal rumah saya. Dekat saja. Nak pergi sekolah pun mudah, tak payah kayuh basikal jauh-jauh,” pujuk Cikgu.

“Saya tak mahu awak beri jawapan sekarang. Balik rumah dulu dan bincang dengan ibu dan ayah,” kata Cikgu. “Baiklah Cikgu! Terima kasih Cikgu!” 

Soalan: Wah..!! Rezeki Ayah murah betul. Tiba-tiba jer ada cikgu nak ambik Ayah jadi anak angkat. Bukan sorang! 2 orang pulak tu! Rasanya Cikgu yang kata Ayah punggung tebal tu cerita dengan cikgu-cikgu lain dalam Bilik Guru pasal Ayah. Kalau tak mana cikgu tahu Ayah anak orang susah dan kayuh basikal jauh-jauh ulang-alik sekolah?
Jawapan:  Ayah pun rasa macam tu. Kalau betul la, Ayah terima kasih kat Cikgu tu. Kalau tak pasal punggung tebal, pasal kayuh basikal 24,000 km ulang-alik sekolah, pasal kayuh basikal boleh pergi dan balik London, jadi bahan tawa, bahan ejekan murid-murid dalam kelas, nasib Ayah mungkin tak berubah.

Soalan: Lepas tu Ayah balik rumah la ya bagi tahu berita gembira pada Nenek dan Atuk?
Jawapan:  Ayah terus capai basikal togel Ayah tu kat tempat letak basikal dan kayuh basikal balik rumah. Masa keluar kawasan sekolah, Ayah nampak Cikgu Rahman Naji pintas Ayah dengan kereta Morris Minor. Ayah ikut kereta tu dengan mata sampailah kereta tu hilang, tak nampak lagi.


Cuaca tengahari kat jalanraya masa tu panas terik, terasa membakar muka dan tangan. Walaupun cuaca terlalu panas tetapi hati Ayah terasa sejuk dengan berita gembira yang tak diduga dan tak pernah Ayah mimpi dalam hidup. “Aku tak sangka ada manusia hati mulia, perihatin dan ingin membantu anak orang miskin macam aku,” Ayah berangan sambil kayuh basikal.

Lebih sejam kayuh basikal tak henti, Ayah rasa sangat dahaga dan berhenti di paip awam tepi jalanraya, tempat yang jadi ‘stesen perhentian’ setiap kali balik sekolah. Setelah puas hirup air, basuh muka dan kepala, Ayah teruskan perjalanan. 

Soalan: Ayah tak rasa letih ke kayuh basikal masa tu?
Jawapan:  Ayah tak rasa letih pun. Sebab fikiran Ayah mula berangan-angan masa depan yang indah. “Yang mana aku nak pilih, Cikgu Shukor ke Cikgu Abd. Rahman? Kalau duduk rumah Cikgu Shukor, dia tu garang sikit. Nanti rasa tak bebas. Tapi elok juga, sebab aku akan lebih disiplin dan bahagi masa belajar dengan lebih teratur. Pergi sekolah pun naik motorsikal Vespa!” kepala Ayah mula berangan.

“Kalau duduk rumah Cikgu Abd. Rahman rasa selesa sebab dia tu tak garang dan lemah lembut. Tapi aku takut aku lebih firkir nak seronok, naik kereta sana sini, tak tumpu pelajaran.” Ayah terus berangan.

“Tapi nantilah aku tanya Ibu dan Ayah bila sampai rumah nanti!”