December 06, 2016

SERU 4: Bid'ah


Episod 4
Bid'ah

Selain tugas harian, Zahid aktif dalam aktiviti kebajikan dan persatuan. Dia dilantik sebagai Setiausaha, Kelab Kebajikan dan Sukan, SERU. Penglibatan dan kerjasama yang baik di kalangan ahli-ahli membolehkan kelab tersebut bergiat aktif menjalankan aktiviti-aktiviti sukan dalaman, perlawanan sukan persahabatan dengan agensi-agensi kerajaan serta acara tahunan seperti ‘talentime’ dan ‘Malam SERU’.

Pakarulrzay menerima trophy Juara Sukan Kelab SERU daripada Rommel Josef
(Pengerusi Kelab SERU) diperhati Rahim Zain

Bagi menghadapi persiapan Hari Raya Aidilfitri, dia biasanya aktif dalam mencari sumber-sumber kewangan bagi mengisi tabung kelab melalui jualan kad raya yang dicetak dengan menggunakan nama dan logo Kelab SERU. Jualan kad raya mendapat sambutan di kalangan pegawai dan kakitangan, bukan sahaja bagi pegawai dan kakitangan beragama Islam, bahkan mereka yang bukan-Islam. Ini kerana ia merupakan ‘medium’ utama untuk berkirim berita dan bertanyakan kabar kepada saudara-mara, sahabat-handai dan taulan menjelang sambutan hari raya yang hampir tiba.

Berduet bersama Kak Wan Afifah, diiringi Combo DBKL, Malam SERU, 1988

Semasa mengedarkan kad-kad raya yang dipesan oleh pegawai dan kakitangan di pejabat pada waktu rehat tengahari, dia terdengar suara orang memanggilnya. “Hey! Kamu mari sini!” panggil seorang ustaz, sambil menggamit tangannya yang ketika itu sedang bersembang bersama beberapa orang pegawai lain di dalam biliknya yang berdinding cermin. Penggilan itu membuat hati Zahid gembira kerana dia menjangka ustaz itu pasti akan membeli banyak kad raya yang sedang dijualnya kerana dia seorang pegawai kanan dan bergaji tinggi.

“Kamu asal mana?” tanya ustaz apabila dia melangkah masuk ke dalam bilik melalui pintu yang sedang terbuka. “Dari Johor, ustaz!” katanya, sambil membetulkan beg pelastik berisi kad-kad raya dan memegang senarai nama pegawai dan kakitangan yang telah membuat pesanan.

“Kamu sekolah agama di Johor?” tanya ustaz lagi. “Ya ustaz, saya sekolah agama di Johor,” jawabnya, memberi senyuman pada ustaz dan pegawai-pegawai lain yang berada di dalam bilik.  “Sekolah agama Johor macam ni!” kata ustaz, sambil menggenggam tangan kanan dan menuding ibu jarinya ke bawah.

Zahid terdiam. Dia tidak menyangka seorang ustaz yang menganggap dirinya berpendidikan agama dan dihormati ramai orang, mengeluarkan kata-kata seperti itu. “Kamu buat apa?” tanya ustaz, dengan gaya memperli. Pada mulanya dia tidak mahu menjawab kerana dalam fikirannya ustaz itu tahu dia sedang menjual dan mengedar kad-kad raya. “Saya edar kad raya pada pegawai dan kakitangan yang buat pesanan, ustaz,” jawabnya.

“Kamu tahu tak bid’ah?” tanya ustaz, sambil merenung tepat ke mukanya. Dia merenung muka ustaz dengan penuh tandatanya. “Saya ni jahil agama ustaz! Tapi apa yang saya ingat, ustaz saya dulu kata, bid’ah tu buat sesuatu yang Nabi tak buat!” jawabnya. “Ha! Pandai pun!” kata ustaz, sambil menepuk meja dan membetulkan tempat duduknya. “Kamu tahu tak, apa yang kamu buat tu bid’ah?” tanya ustaz, merenung mukanya dengan menunjukkan memek muka dan gerak-geri tubuhnya yang meminta supaya dia memberi jawapan. Keadaan di dalam bilik senyap seketika manakala pegawai-pegawai yang berada di dalam bilik turut merenung mukanya.

Zahid tidak menjawab. Memandangkan dia terus mendiamkan diri, ustaz terus menanya soalan bertubi-tubi. “Nabi ada buat kad raya? Nabi ada jual kad raya? Nabi ada kirim kad raya?” tanya ustaz. “Kamu kata tadi, buat apa yang Nabi tak buat, bid’ah. Jadi, yang kamu buat tu bukan bid’ah?” tanya ustaz lagi.

Zahid tersentak. Dia merasakan dirinya dihina, walaupun niatnya menjual kad raya adalah untuk mengisi tabung Kelab bagi kebajikan ahli-ahli. Dengan tidak disedari, bulu romanya meremang dan dia menjawab dengan suara yang jelas dan tenang. “Kalau begitu, ustaz pakai ‘bush jacket’ bukan bid’ah? Ustaz pakai cermin mata, bukan bid’ah? Dan ustaz pakai kasut kulit kilat tu, bukan bid’ah? Nabi tak pernah pakai semua itu!” katanya, yang ketika itu masih berdiri di hadapan ustaz dan pegawai-pegawai di sebelahnya.

Zahid melihat ustaz itu mula menggeletar, menahan perasaan marah, geram dan rasa tercabar kerana sebelum ini tidak ada seorang yang pernah berani berbahas dengannya mengenai hal-hal agama. Ustaz itu berdiri seketika, kemudian duduk semula di kerusinya. Dia memalingkan mukanya ke kiri dan ke kanan, dan akhirnya melafazkan sesuatu. “Saya tidak tahu, sama ada sekarang ini saya sedang bercakap dengan seorang Islam atau bukan-Islam!” katanya keras dan memalingkan mukanya lama ke kiri.

Zahid tidak gentar. Dia memandang ke muka ustaz dan melafazkan sesuatu. “Ustaz, seperti yang saya kata tadi, saya ini jahil agama. Tetapi setakat yang saya tahu, seorang Islam yang menuduh seorang Islam lain itu bukan-Islam, itu adalah kufur,” katanya, tenang. “Betulkan saya kalau saya salah!” katanya. Ustaz semakin gelisah, gerak-gerinya tidak keruan menahan rasa marah kerana dicabar di hadapan pegawai-pegawai oleh seorang yang dianggapnya tidak setaraf dengan pengetahuan agamanya. 

Zahid mendiamkan diri seketika, menunggu respons daripada ustaz. Tetapi hati kecilnya berkata, “Tidak ada faedah aku berbahas dengan orang yang bongkak dan menganggap dirinya lebih pandai daripada orang lain.” Dia menggerakkan kakinya dan melangkah keluar meninggalkan ustaz dan pegawai-pegawai lain yang terpinga dan berpandangan antara satu sama lain.