December 06, 2016

Episod 1 SAM CARI ORANG

.

Episod 1
SAM CARI ORANG
DR MUZAHET MASRURI

“Hello Bro..! Sam ni..!” kata suara yang didengarnya melalui telefon bimbit ketika dia baru sahaja selesai menikmati hidangan makan malam bersama isterinya di rumah. Dia kenal benar suara itu, rakan karibnya, Samsuri Rahmat ketika pernah sama-sama bertugas di SERU dan EPU.  Sekarang ini beliau adalah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) di sebuah syarikat tersenarai di Bursa Malaysia dan pernah bertugas dengan Pengerusi Eksekutif, Puncak Niaga Holdings Bhd. (PNHB) sebelum ini.

“Hai Sam! You kat mana ni?” katanya. “I masih kat ofis,” jawab Sam. “Hai! Teruk benar orang kerja di syarikat swasta! Sampai malam! Orang dah nak tidur, you belum balik rumah!” katanya, bergurau. “Apa nak buat Bro! Cari makan. Macam nilah!” jawab Sam. “Cari makan tak salah. Tapi jangan sampai tak balik rumah!” jawabnya.

“Ala Bro, macam you tak tahu, I bukan lekat duduk rumah!” jawab Sam. “Memang! I tahu benar perangai you. Kalau dah gila golf, anak bini semua lupa,” jawabnya. “Ingat tak masa kita di SERU dulu, mana ada orang perangai macam you, main golf dalam estet kelapa sawit!” katanya bergurau, mengenang kembali kisah mereka ketika berkhidmat di SERU, untuk membuat kajian luar selama dua minggu di salah sebuah estet kelapa sawit di Terengganu.

     Dato’ Sam (kiri) ketika mendaftar untuk menyertai Golf Persahabatan PNSB & UPM, di
     Padang Golf UPM, 9 Jun 2013. Beliau tidak lagi bermain golf di ladang kelapa sawit.

Sam yang sedang giat bermain golf ketika itu tidak tahan dengan keadaan di dalam estet yang tidak mempunyai kemudahan padang golf, lalu melepaskan gian memukul bola-bola golf di bawah pokok kelapa sawit. “Itu dulu Bro! Sekarang I dah tak main golf dalam ladang kelapa sawit! I main dalam kelab golf profesional!” jawab Sam, bergurau sambil ketawa berdekah-dekah. 

“Bro, I dengar you pencen awal. Betul ke?” tanya Sam. “Betul. I dah 5 hari pencen. Sepatutnya I pencen umur 58 tapi I ambil keputusan untuk pencen setahun lebih awal,” jawabnya. “Apa pasal pencen awal?” tanya Sam. “I fikir, dah sampai masanya untuk I pencen,” katanya. “Mana ada orang buat macam tu Bro? Dah sampai jadi KSU pulak tu!” tanya Sam, kehairanan. “Orang lain, nak sambung kerja lepas pencen, lagi ada!” kata Sam lagi. “Itu orang! Janganlah you samakan I dengan orang lain!” jawabnya.

“Habis, you nak buat apa lepas pencen?” tanya Sam. “Tak tahu lagi. Aku belum nak fikir pasal tu!” jawabnya.  “Aku nak berehat dulu. Minggu depan aku nak pergi holiday 2 minggu kat London,” katanya lagi. “Wah! Best tu!” kata Sam. “Holiday free! Kerajaan bagi lepas 30 tahun berkhidmat, bagi belanja free, termasuk tambang kapalterbang kelas satu,” jawabnya, tertawa kecil.

     Bercuti ke London, sempena bersara daripada perkhidmatan Kerajaan, 9 Disember 2009

“Sam, ada apa telefon?” dia bertanya. “I nak jumpa you. Petang esok you free tak?” tanya Sam. “Orang dah pencen. Bila-bila pun free!” jawabnya. “OK, kita jumpa petang esok,” kata Sam, menamatkan perbualan telefon.

Sebagaimana dijanjikan, pada petang itu, dia pergi ke ‘coffee house’ di Hotel Concorde, Kuala Lumpur. Ketika menunggu di ruang ‘lobby’, dia melihat pemandu Mercedes Benz warna putih memberhentikan kereta dan melihat Sam keluar lalu berjalan menuju ke arahnya. “Hai Bro! Dah lama sampai?” sapanya. “Baru sampai,” jawabnya. “Jom!” pelawa Sam, selepas berjabat tangan dan berjalan ke dalam ‘coffee house’ yang telah ramai pelanggan berada di situ.

“Bro! Order makan. I belanja you hari ini,” kata Sam, sambil membetulkan tempat duduknya. “Memang patutlah, orang besar kena belanja orang pencen!” jawabnya, sambil tersenyum. “Janganlah cakap macam tu Bro! Kita kan dah kawan lama!” jawab Sam.  

“Bro! aku sebenarnya tengah cari orang!” kata Sam, memulakan perbualan mengenai tujuan dia menemuinya. “Lelaki ke perempuan?” dia bertanya, sambil menghirup kopi panas yang dipesannya. “Bro, janganlah nak melawak! Aku serius ni!” kata Sam, sambil melilit mee goreng yang dipesannya dengan garfu. 

“I punya bekas Boss, you kenal kan Pengerusi Eksekutif PNHB?” tanya Sam. “Apa pulak tak kenal, seorang usahawan Melayu yang berjaya,” jawabnya. “Macam mana you tahu?” tanya Sam lagi. “Ala, masa I di EPU, bila sebut Dasar Penswastaan, nama Puncak Niaga dan Syabas selalu disebut sebagai contoh program penswastaan yang berjaya dalam membekalkan air bersih di Selangor, KL dan Putrajaya,” jawabnya.

“Bekas Boss I tu minta I tolong carikan bekas rakan-rakan PTD yang berkebolehan untuk ‘talent scouting’ dan diserap di Puncak Niaga,” kata Sam. Dia hanya mendiamkan diri sambil mencucuk ‘grilled salmon’, menyuapkannya ke mulut dan mengunyah, memerhatikan Sam. “I bila dia sebut calon yang berkebolehan, orang lain I tak nampak dah! Kecuali you!” kata Sam, memerhatikannya yang masih mendiamkan diri dan memikir sesuatu.

“Kerja di syarikat swasta tu macam mana?” dia bertanya. “Apa maksud you?” tanya Sam. “Yalah! Dulu you pernah bekerja di sektor awam. Sekarang di sektor swasta. Apa bezanya?” dia bertanya, sambil menyuap hirisan salmon terakhir ke mulutnya. “Tak ada beza Bro!” jawab Sam. “Lagipun, orang macam you, pernah jadi TKP di EPU TKSU dan KSU, kalau setakat nak berkerja di Puncak Niaga tu, I tak nampak ada masalah,” jelas Sam, cuba meyakinkan rakannya yang belum menampakkan reaksi positif.

“Macam mana? Setuju?” tanya Sam. “Kalau setuju, nanti I boleh ‘arrange’ jumpa I punya Ex-Boss!” kata Sam lagi. “Entahlah Sam! Lepas lebih 30 tahun berkhidmat dengan Kerajaan, I rasa I punya letih masih belum hilang,” katanya. “Dulu masa jadi KSU, I pun macam you. Jarang balik siang hari. Selalunya tengah malam. Jumpa orang besar sana, orang besar sini. ‘Entertain’ VIP sana, VIP sini. ’Meeting sana, ‘meeting’ sini.  ‘Function’ sana, ‘function’ sini!” katanya, sambil menyandarkan badannya ke kerusi.

“Lagipun, I dah pencen. Orang kata, kalau dah pencen tu orang tua!” katanya, sambil ketawa kecil. “Cari orang tua nak buat apa? Bagilah peluang orang muda-muda kerja di syarikat swasta!” katanya lagi.

“Bro, you kena ingat! You belum pencen tau! Cuma you saja yang gatal, nak pencen awal,” jawab Sam. “Lagipun, kita kerja di syarikat swasta ni perlu ‘contact’. Macam you, banyak ‘contact’. Kalau nak harap orang muda, ada ‘contact’ apa? ‘Contact’ perempuan?” jawab Sam, sambil ketawa berdekah-dekah. “Jangan cakap macam tu, nanti marah orang muda!” katanya, tersenyum.

“Macam inilah Sam! I tak dapat nak buat keputusan sekarang. Bagi peluang untuk I berehat dan memikirkan perkara ini. Nanti bila balik dari London, I akan hubungi you,” katanya. “Nanti kat London, jangan mengorat mek saleh pulak!” kata Sam, bergurau. “Jangan merepek, I pergi bawa Mem!” katanya, menamatkan perbincang dan beredar pulang.