December 18, 2016

Episod 8: Panggilan Telefon Pejabat KSN


Episod 8
PANGGILAN TELEFON PEJABAT KSN


Dua bulan selepas menjawat jawatan TKSU, dia mendapat berita yang tidak diduga. Menterinya telah ditukarkan ke kementerian lain berikutan daripada rombakan Kabinet selepas Pilihanraya 2008. 

Sebulan selepas itu, dia menerima panggilan telefon daripada Pejabat Ketua Setiausaha Negara (KSN). “Dr. Muzahid, saya buat panggilan dari Pejabat KSN. Saya nak maklumkan, Tan Sri KSN hendak berjumpa dengan Dr. esok,” kata pegawai dari Pejabat KSN.

Dia terkejut besar apabila menerima panggilan tersebut. Apatah lagi, panggilan daripada orang No. 1 dalam Perkhidmatan Awam. Debaran cepat dirasai melalui degupan jantungnya yang semakin pantas. Hatinya bimbang, fikirannya berkecamuk dan mula bermain teka-teki.

Dia mula berfikir perkara yang tidak baik. Fikirannya tertumpu kepada isu hangat yang menjadi perbincangan dalam perkhidmatan awam ketika ini, iaitu mengasingkan pegawai-pegawai kanan yang berprestasi rendah dalam ‘JPA Pool’. Mereka yang diasingkan ini tidak diberi ‘portfolio’, tugas, pejabat dan kerusi meja, tetapi mereka perlu melapor kedatangan setiap hari di JPA.


Dia mula menginsafi dirinya. “Apalah dosa aku? Apakah kesalahan yang telah aku lakukan selama aku bertugas di KPDNHEP? Apakah hukuman yang akan aku terima? Apa akan jadi dengan kerjaya masa depanku setelah menerima hukuman ini?” kata hatinya dengan bermacam-macam lagi persoalan yang tidak mampu diduga dan dicari jawapan. Dia pasrah menunggu hari esok untuk mengetahui segala-galanya.

“Dr.! Tan Sri sudah bersedia untuk berjumpa dengan Dr.,” kata pegawai yang melayannya dengan baik ketika dia menunggu di luar pajabat KSN pada petang itu. Dia bangun dan memaksa kakinya yang hampir tidak bermaya untuk melangkah masuk ke dalam pejabat KSN.

Setelah mendekati meja KSN, dia memberi salam. “Assalamualaikum Tan Sri,” katanya, perlahan. “Waalaikumussalam!” jawab Tan Sri, menghulurkan tangannya dan berjabat salam. "Tahniah! You sekarang Ketua Setiausaha, Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan!” kata Tan Sri dengan memberi senyuman.

      Menerima Surat Perlantikan sebagai Ketua Setiausaha, Kementerian Perpaduan, Kebudayaan,                         Kesenian dan Warisan (KPKKW) daripada Tan Sri Mohd. Sidek Hassan, Ketua Setiausaha Negara,
      di Pusat Konvensyen Antarabangsa, Putrajaya, April 2008

Kaki yang longlai dan jiwa yang berdebar sebelum ini, tiba-tiba bertukar menjadi segar dan bersemangat. “Terima kasih Tan Sri atas kepercayaan yang diberi kepada saya. InsyaAllah, saya akan menjalankan tugas dan tanggung jawab sebagaimana yang diamanahkan kepada saya,” katanya.

Dia amat bersyukur, hanya 4 bulan menjadi Timbalan Ketua Setiausaha (TKSU), dia sekarang dilantik sebagai Ketua Setiausaha (KSU) di Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, dengan menyandang Gred Jusa A, berkuatkuasa mulai 3 April 2008.

SELESAI