September 12, 2016

“KDNK MALAYSIA ANTARA TERBAIK DI ASEAN” Benarkah kenyataan ini?

Ekonomi Malaysia

Pada 3 September 2016 yang lalu, siaran rasmi mengenai fakta ekonomi telah dikeluarkan bagi menjawab ‘fitnah’ berhubung ekonomi Malaysia. Sebagai rakyat biasa, kita berasa lega kerana ‘fitnah’ yang dimaksudkan telah ada jawapannya.

Tetapi soalnya, berapa ramai antara kita yang betul-betul faham maksud sebenar di sebalik fakta-fakta yang dikeluarkan dalam kenyataan rasmi tersebut? Memang benar, fakta tidak berbohong (numbers don’t lie) tetapi takrifan fakta-fakta berkenaan boleh mengelirukan kita dalam membuat penilaian sebenar mengenai kedudukan ekonomi Malaysia.

Dalam tulisan yang lalu, ‘Benarkah Ekonomi Malaysia Stabil dan Kukuh’ saya telah jelaskan fakta-fakta yang sering dirujuk dalam perbincangan mengenai kedudukan sesebuah ekonomi.  Dalam tulisan ini, saya kemukakan fakta-fakta lain yang juga sering dirujuk dalam analisis mengenai kedudukan ekonomi semasa.

Berikut adalah panduan untuk anda menilai sendiri fakta-fakta yang dikeluarkan dalam siaran rasmi baru-baru ini.
Malaysia GDP

 

 “PERTUMBUHAN EKONOMI MALAYSIA ANTARA TERBAIK DI ASEAN”

Pada tahun 2015, pertumbuhan ekonomi di negara-negara ASEAN adalah seperti berikut: Indonesia (5.2%), Malaysia (4.0%), Myanmar (7.0%), Thailand (3.5%), Cambodia (6.9%), Brunei (3.6%), Laos (7.0%), Philippines (7.0%), Vietnam (5.6%)  dan Singapura (2.1%) Sumber: Tradingeconomics. (Catatan: KDNK 4.1% bagi Malaysia dalam ‘The True Facts’ adalah untuk separuh penggal pertama 2016. Tetapi bagi perbandingan antara negara-negara, standard yang digunakan adalah pertumbuhan tahunan).

Berdasarkan perangkaan tersebut anda boleh menilai sendiri prestasi pertumbuhan ekonomi Malaysia, sama ada benar ia adalah antara yang terbaik berbanding negara-negara lain di rantau ASEAN.

Kenyataan rasmi juga membandingkan pertumbuhan ekonomi Malaysia lebih tinggi daripada Singapura. Tetapi, perbandingan tersebut tidak mempunyai asas kerana kedua-dua negara berkenaan berada di tahap pembangunan ekonomi yang berbeza. Singapura adalah ‘a highly develop trade-oriented market economy’ dan menduduki ‘ranking’ ke-9 dalam ‘Top 15 Most Developed Countries in the World’, manakala Malaysia adalah dalam kategori ‘Newly Industrialized Economy’. Pendapatan per kapita penduduk Singapura ialah USD58,000 dan Malaysia ialah USD15,000.

Kita harus maklum, salah satu ciri-ciri umum negara maju ialah pertumbuhan KDNK yang rendah disebabkan oleh faktor-faktor pengeluaran ‘dalam’ negara-negara berkenaan telah digunakan secara efektif dan maksimum. Misalnya, pertumbuhan ekonomi di Amerika Syarikat ialah (1.2%), Jepun (0.1%), Germany (3.1%) dan United Kingdom (2.2%).

Oleh itu, adalah tidak wajar kalau kita membandingkan bahawa pertumbuhan ekonomi Malaysia (4.0%) adalah lebih baik daripada Singapura (2.1%) atau Amerika Syarikat (1.2%).

Bank Negara Reserves

RIZAB BANK NEGARA ADALAH RM400 BILION

Apa Makna  Rizab Bank Negara?

Rizab Bank Negara atau kadangkala disebut Rizab Antarabangsa adalah rizab matawang asing yang disimpan di Bank Negara. Biasanya 65% daripada matawang tersebut adalah dalam USD kerana ia merupakan matawang utama yang digunakan dalam urusan perdagangan antarabangsa.

Kenapa Bank Negara perlu ada rizab matawang asing?

Rizab matawang asing perlu bagi urusan pembayaran yang melibatkan urusniaga luar negara, seperti bayaran hutang luar negara dan bayaran import daripada perdagangan luar. Rizab juga perlu untuk menentukan menstabilkan nilai pertukaran ringgit (exchange rate) dengan nilai matawang utama dunia yang lain. Ini dilakukan oleh Bank Negara dengan menggunakan rizab matawang asing bagi membeli matawang ringgit di pasaran matawang antarabangsa, sekiranya nilai ringgit jatuh dengan ketara berbanding USD dan mata wang utama yang lain.
Misalnya, melalui langkah ‘Kawalan Matawang’ semasa Krisis Kewangan Asia 1997/98 yang lalu, BNM telah campurtangan dalam pasaran matawang antarabangsa dengan membeli matawang ringgit dalam jumlah yang banyak bagi mengekalkan nilai pertukaran ringgit yang disandarkan RM3.80/USD. Bagaimanapun, jumlah Rizab Bank Negara yang digunakan terlalu banyak sedangkan kesannya tidak seberapa kerana saiz pasaran matawang antarabangsa adalah sangat besar. Sebab itu, Kawalan Matawang telah ditarik balik pada 21 Julai 2005.


Adakah Rizab Bank Negara semasa RM400 bilion dianggap stabil?

Rizab akan berubah bergantung kepada keperluan penyelesaian hutang, import dan campur tangan di pasaran matawang antarabangsa. Jumlahnya mungkin stabil sekarang tetapi ia akan berubah bergantung kepada persekitaran ekonomi dunia. Bagi sesetengah negara, rizab matawang asing mereka adalah tinggi, misalnya Singapura mempunyai rizab USD247.7 bilion (RM1,015 bilion) walaupun matawang negara tersebut adalah stabil.
Debt to GDP Ratio

 

Hutang kita kepada KDNK hanya 54.5% berbanding dengan Singapura, iaitu 89% daripada KDNK.

Purata hutang negara kepada KDNK bagi Singapura bagi tempoh 1993-2015 ialah 89.6%. Malah bagi tahun 2015 sahaja peratusannya ialah 104.7% sedangkan Malaysia hanya 54.0%. Sumber: Tradingeconomics.

Ramai orang tertanya, mengapa Singapura mempunyai hutang yang tinggi sedangkan negara tersebut mempunyai kurangan bajet (fiscal deficit) -1.2% daripada KDNK berbanding dengan Malaysia -3.2% daripada KDNK?

Berhutang bermakna negara berkenaan mempunyai tanggungan (liabilities). Tetapi kalau kita hanya melihat daripada segi tanggungan sahaja (hutang kasar), kita tidak dapat membezakan antara dua buah negara yang mempunyai jumlah hutang yang sama tetapi mempunyai jumlah aset yang berbeza.
 
Dalam kes Singapura, negara tersebut tidak meminjam bagi perbelanjaan  mengurus (operating expenditure), seperti bayaran gaji, elaun perjalanan, baikpulih, bekalan bahan-bahan, bayaran kadar faedah dan subsidi. Sebaliknya, pinjaman digunakan untuk pelaburan, iaitu pinjaman adalah disandarkan kepada asset.

Memang benar Singapura mempunyai peratusan hutang yang tinggi daripada KDNK. Tetapi negara tersebut mempunyai ‘balance sheet’ yang stabil di mana nilai aset melebihi jumlah tanggungan (liabilities). Pulangan pelaburan daripada aset adalah lebih daripada mencukupi untuk membayar hutang di negara tersebut.

KESIMPULAN

Tulisan ini bukan bertujuan untuk mengkritik tetapi sekadar mengingatkan pihak yang bertanggung jawab dalam menyediakan fakta-fakta rasmi untuk siaran, supaya berhati-hati dalam membuat penganalisisan dan perbandingan. Fakta-fakta sebenar (THE TRUE FACTS) memang benar tetapi penggunaan fakta-fakta tersebut harus dilakukan secara profesional supaya ia tidak menimbulkan kekeliruan di kalangan rakyat.

Baca: Benarkah Ekonomi Malaysia Stabil dan Kukuh?