August 18, 2016

Putrajaya Dibanjiri Pekerja Asing

Persiaran Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Putrajaya
Prang Besar yang dahulunya kawasan ladang getah dan kelapa sawit, kini telah bertukar wajah menjadi Putrajaya, bandaraya bestari yang menjadi Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan dan tempat tinggal yang selesa dengan kemudahan serba moden. Dianggarkan 90,000 orang penduduk yang tinggal menetap di bandar bestari ini dan 150,000 orang yang masuk dan keluar setiap hari untuk bekerja dan menjalankan urusan-urusan lain.

President Persatuan Penduduk Superlink Presint 16, Putrajaya
Pembangunan pesat Putrajaya bukan sahaja menarik kemasukan ramai pelabur tetapi pada masa yang sama menjadi daya tarikan pekerja asing untuk mengisi peluang-peluang pekerjaan dan tinggal di perumahan yang selesa dan moden.

Saya berpeluang menemubual Presiden Persatuan Penduduk Presint 16, Putrajaya, Datuk Dr Muzahet Masruri mengenai pekerja asing di Putrajaya:
Soalan: Apa pandangan Datuk mengenai pekerja asing yang semakin ramai membanjiri Putrajaya?
Jawapan: Kita bukan menghalang pekerja asing bekerja di Putrajaya kerana khidmat mereka diperlukan dalam sektor-sektor yang dibenarkan oleh Kementerian Dalam Negeri, seperti sub-sektor restoran, pencucian, pembersihan, pembinaan, sekuriti dan perkilangan. Sektor-sektor inilah yang menjadi tumpuan mereka bekerja, terutamanya di Pusat Membeli-belah Alamanda, IOI City Mall, kawasan pembinaan dan sektor-sektor perkhidmatan yang lain.

Alamanda Putrajaya
Pusat Membeli-belah Alamanda
Soalan: Di mana tumpuan utama tempat tinggal pekerja asing di Putrajaya?
Jawapan: Tumpuan utama mereka ialah di Pangsapuri Putra Harmoni, Presint 9. Pada masa ini, dianggarkan lebih 70% rumah di pangsapuri ini dihuni oleh pekerja asing. Selain itu, tumpuan tempat tinggal mereka ialah di perumahan Town House dan Superlink Presint 16. Rumah-rumah di sini dijadikan seperti hostel yang disewakan kepada kontraktor yang membekalkan perkhidmatan pekerja asing.

Putra Harmoni Presint 9, Putrajaya
Putra Harmoni Presint 9, Putrajaya
Soalan: Apa pandangan Datuk mengenai pekerja asing yang bekerja dan tinggal di Putrajaya?
Jawapan: Mereka boleh bekerja dan tinggal di Putrajaya asalkan mereka mematuhi peraturan-peraturan sedia ada, menghormati budaya dan cara hidup penduduk di sini dan tidak melakukan perkara-perkara yang mengganggu dan tidak disenangi penduduk setempat.

Pangsapuri Putra Harmoni Presint 9, Putrajaya
Pangsapuri Putra Harmoni Presint 9, Putrajaya (Juga dikenali sebagai "Flat Hijau")
Soalan: Setakat ini bagaimana reaksi penduduk setempat mengenai tempat tinggal mereka?
Jawapan: Bilangan mereka yang terlalu ramai mendiami sesebuah rumah menimbulkan rasa ketidakselesaan di kalangan penduduk setempat yang tinggal berjiran dan berdekatan dengan tempat tinggal mereka. Keadaan petempatan yang tidak terurus dan pemandangan pakaian yang bergantungan di sana-sini sangat mengaibkan imej Putrajaya sebagai bandar bestari. Sebahagian mereka, terutamanya bangsa Nepal dan Bangladesh masih mengamalkan budaya yang dibawa dari negara mereka di sini, seperti berkahak dan meludah di merata tempat, membuat bising dan berlonggok di persimpangan jalan di waktu malam.

Townhouse Presint 16 Putrajaya
Rumah Townhouse Presint 16 Putrajaya yang dihuni pekerja asing
Soalan: Apa cadangan Datuk untuk memperbaiki keadaan sekarang?
Jawapan: Saya fikir petempatan secara hostel bagi pekerja asing tidak sepatutnya dibenarkan di kawasan perumahan di Putrajaya. Bagi yang tinggal di premis kediaman, perlu ada peraturan mengenai had maksimum bilangan penghuni dalam sesebuah rumah yang dibenarkan bagi pekerja asing.

Selain itu, kita perlu ada perancangan jangka panjang untuk mewujudkan petempatan khas bagi pekerja asing dan bukan dengan cara mengadakan hostel di semua kawasan perumahan di sini. Saya fikir petempatan khas ini boleh diletakkan di bawah pengurusan Perbadanan Putrajaya.

Troley di bawa dari Alamanda dan ditinggalkan merata-rata di Presint 16 Putrajaya
Troley di bawa dari Alamanda dan ditinggalkan merata-rata di Presint 16 Putrajaya
Soalan: Dengarnya ada warga asing yang memiliki rumah di Putrajaya? Apa respon Datuk?
Jawapan: Saya tidak pasti di Presint lain, tetapi di Presint 16 ada warga asing yang memiliki banyak rumah. Mereka membeli rumah dan menyewakannya kepada penduduk tempatan. Biasanya rumah-rumah tersebut didaftar atas nama isteri (penduduk tempatan). Kegiatan ini menyumbang kepada faktor kadar sewa rumah di Presint 16 terlalu mahal.
No Aduan Pekerja Asing Putrajaya
Sila Hubungi No. di Atas Jika Ada Sebarang Aduan Mengenai Pekerja Asing di Putrajaya
Soalan: Bagaimana Datuk fikir cara untuk mengawal kegiatan seperti ini?
Jawapan: Saya fikir, pemilikan rumah warga asing perlu dihalusi bagi mengelakkan aktiviti spekulasi. Misalnya, Pejabat Tanah dan Galian Putrajaya boleh menyemak status pemilikan rumah warga asing dengan membuat ‘due diligent’ dan mengenalpasti ‘source of fund’ bagi setiap pemilikan mereka yang bukan dari negara ‘US sanction country’. Kita tidak mahu hartanah Putrajaya dijadikan alat untuk ‘money laundering activities’.