September 05, 2016

‘RESIPI’ PEMULIHAN KRISIS EKONOMI 1997/98
Mengapa Tidak Diguna Bagi Mengatasi Kelembapan Ekonomi Yang Berpanjangan Sekarang?

Tun Dr Mahathir Mohamad dan George Soros

RESIPI PEMULIHAN KRISIS EKONOMI 1997/98: MENGAPA TIDAK DIGUNA BAGI MENGATASI KELEMBAPAN EKONOMI YANG BERPANJANGAN SEKARANG?
DR MUZAHET MASRURI

Lapan belas tahun yang lalu, kita pernah mengalami krisis ekonomi yang terburuk dalam sejarah Malaysia apabila ekonomi negara dilanda Krisis Kewangan Asia 1997/98. Krisis tersebut berpunca daripada serangan spekulatif matawang oleh pengurus-pengurus dana antarabangsa yang diketuai oleh George Soros.

Krisis Kewangan

Saya masih ingat ketika berkhidmat di Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) pada 1998 bahawa keadaan ekonomi negara sangat buruk akibat daripada krisis tersebut. Pertumbuhan ekonomi menjadi negatif 7.4%, ringgit mengalami susut nilai 40% berbanding USD, Indeks Komposit Bursa Saham (KLCI) merudum daripada 1,200 mata kepada 297 mata, pasaran modal menguncup 70%, diikuti kadar inflasi, pengangguran dan hutang negara yang tinggi manakala sistem perbankan hampir lumpuh kerana bank-bank tempatan mengalami kekeringan mudah tunai.

Masyarakat umum terkejut dan panik! Tetapi kerajaan melalui MTEN telah bertindak pantas dan berjaya menyelamatkan ekonomi negara dalam tempoh hanya setahun.


Langkah Bukan-Ortodox Krisis Kewangan, September 1998

Langkah yang dilaksanakan MTEN adalah bercanggah dengan conventional wisdom dalam teori ekonomi dan doktrin. Sesetengah penganalisis menyebutnya sebagai Langkah Bukan-Ortodox Krisis Kewangan, September 1998.

Apa ‘Resipi’ yang digunakan?


Resipi 1. Kawalan Mata Wang diperkenalkan pada 1 September 1998 bertujuan untuk menghapuskan dana ringgit di luar negara bagi aktiviti spekulatif. Ringgit disandarkan RM3.80/USD, menyekat perniagaan ringgit di luar negara, dan penduduk tempatan yang pergi ke luar negara hanya dibenarkan membawa cek kembara dan matawang asing tidak melebihi RM10,000. Kesannya, pengaliran keluar ringgit berjaya disekat dan sistem perbankan telah dapat dipulihkan.


Kawalan Matawang

Resipi 2. Pakej Ransangan diperkenalkan bagi meransang sektor-sektor ekonomi yang terjejas. Langkah ini mendapat reaksi banyak pihak, terutamanya Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia kerana pendekatan yang digunakan bercanggah dengan teori ekonomi dan doktrin konvensyenal.

Pakej Rangsangan

Daripada segi teori ekonomi, kerajaan perlu mengambil langkah berjimat cermat dan mengurangkan perbelanjaan semasa krisis bagi mengawal defisit. Tetapi MTEN mengambil pendirian yang berbeza iaitu meningkatkan perbelanjaan bagi meransang aktiviti dalam sektor-sektor ekonomi yang terjejas.


Resipi 3. Berdasarkan keputusan MTEN, Bank Negara Malaysia telah menurunkan Kadar Pinjaman Asas (BLR) dan Keperluan Rizab Berkanun (SRR) bagi menyediakan modal dan mudah tunai yang mencukupi kepada ekonomi domestic dan membantu meningkatkan penggunaan tempatan.


Bank Negara BLR dan SRR

Resipi yang digunakan telah dapat menyelamatkan negara daripada krisis ekonomi dalam tempoh hanya setahun dan sejak itu rakyat Malaysia kembali semula kepada kehidupan seperti biasa. IMF yang pada mulanya skeptical mengenai langkah yang diambil oleh MTEN akhirnya mengakui bahawa “Malaysia had handled the 1997/98 regional financial crisis the right way …”


Mengapa Resipi 1997/98 tidak diguna bagi mengatasi
kelembapan ekonomi semasa yang berpanjangan? 

Kita tidak mengatakan Resipi 1997/98 harus digunakan sepenuhnya bagi mengatasi kelembapan ekonomi sekarang. Tetapi terdapat beberapa persamaan daripada segi kesan Krisis Kewangan 1997/98 yang boleh diambil iktibar. Seperti kenyataan CNN ketika mengulas kelembapan ekonomi Malaysia, “In Asia, it's starting to look a bit like 1997”.

Tetapi sampai sekarang, tidak ada langkah konstruktif yang diambil oleh kerajaan, melalui ‘Majlis Ekonomi’ yang ditubuhkan pada 30 Julai 2008 untuk meredakan kesusahan rakyat dan menamatkan kelembapan ekonomi semasa yang telah lama berpanjangan.

READ IN ENGLISH:‘RECIPE’ FOR QUICK ECONOMIC RECOVERY 1997/98 CRISIS 

Dr.Muzahet Masruri.  Ph.D (Economics),  University of East Anglia, United Kingdom