February 15, 2021

 


Ekonomi Malaysia sah menguncup -5.6% 2020

DR MUZAHET MASRURI

Ekonomi Malaysia sah menguncup ke paras negatif -5.6% bagi tahun 2020. Demikian diumumkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, melalui Portal Rasmi, 11 Februari 2021.

Senario ini tidak selari dengan kenyataan yang diwar-warkan Menteri Kewangan yang menyebut ekonomi Malaysia adalah stabil dan kukuh dan akan berkembang 6.5% - 7.5% pada tahun 2021 (Pembentangan Belanjawan 2021).

Respon agensi berita rasmi

Laporan tersebut mendapat respon bukan sahaja agensi berita dalam negeri tetapi juga daripada  agensi berita rasmi luar negara, termasuk Bloomberg, Nikkei Asia, Aljazeera dan Reuters yang membuat ulasan mengenai prestasi ekonomi Malaysia.

Prestasi pertumbuhan ekonomi Malaysia

Prestasi pertumbuhan ekonomi Malaysia 2020 adalah lebih buruk berbanding prestasi semasa kemelesan ekonomi dunia 2008 di mana negara mencatat pertumbuhan negatif -2.5% pada tahun 2009 (lihat Jadual di bawah)


Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melaporkan, semua sektor ekonomi, kecuali pembuatan, mencatat penurunan pada suku keempat disebabkan pelaburan awam yang lemah dan penggunaan swasta yang lemah.

Laporan tersebut juga menyebut, sektor pembinaan, perlombongan dan perkhidmatan mencatatkan penurunan terbesar pada tahun 2020, iaitu masing-masing menyusut 19.4%, 10% dan 5.5%.

Pengangguran

Sementara itu, DOSM melaporkan angka pengangguran berada pada 4.8% dengan 764,400 orang tidak bekerja pada akhir tahun 2020 setelah melepasi angka pengangguran 5% pada pertengahan tahun, iaitu kadar tertinggi dalam tiga dekad. DOSM menjangkakan pasaran tenaga kerja akan terus lemah pada separuh pertama tahun 2021.

Prospek pertumbuhan 2021

Menteri Kewangan meramalkan ekonomi Malaysia akan pulih pada tahun 2021 dengan terlaksananya program vaksin dan dasar-dasar pembangunan negara yang dilaksanakan di peringkat domestik

Semasa Pembentangan Bajet beliau meramalkan Malaysia akan mencapai pertumbuhan tinggi antara 6.5%  hingga 7.5% pada tahun 2021.

Ironisnya, ramalan angka ini adalah lebih tinggi daripada purata pertumbuhan 5.3% yang dicapai oleh negara sepanjang tempoh 10 tahun lalu, 2010-2019 ketika ekonomi berkembang dalam keadaan biasa, tanpa insiden kemelesetan ekonomi (lihat Jadual di atas).

Adakah ramalan angka 7.5% pragmatik?

la mungkin pragmatik kalau ada langkah-langkah pragmatik ‘to realign our economy back to its original path.’ Tetapi setakat ini, perancangan dan pelaksanaan program lebih  berbentuk ad hoc dan championed by individual personalities yang hanya mewar-warkan konsep tetapi pelaksanaannya tidak jelas dan kesan pengganda (multiplier effect) kepada pelbagi sektor lain dalam ekonomi juga tidak jelas.

Pemulihan bergantung ekonomi di peringkat global

Selain itu, perbelanjaan berbilion ringgit yang diwar-warkan kerajaan hampir setiap hari di kaca TV tidak menjamin pemulihan ekonomi negara dapat dicapai.

Cuma yang pasti, pengumuman belanjawan tersebut telah meningkatkan defisit fiskal Malaysia daripada 3.4% (2019) kepada 7% (2020) dan peningkatan hutang Kerajaan Persekutuan daripada 57.2% (2019) kepada 60.7% (2020) – World Bank Group, Malaysia Economic Monitor, 17 Disember 2020

Ini kerana sebagai sebuah ekonomi terbuka pemulihan ekonomi negara tidak hanya bergantung kepada faktor domestik tetapi juga kepada pemulihan ekonomi di peringkat global.

Perdagangan antarabangsa, perindustrian dan pelaburan asing menyumbang bahagian yang penting kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Kesimpulan

Ekonomi Malaysia disahkan menguncup -5.6% bagi tahun 2020.

Ada pihak yang menjangkakan Malaysia akan mencapai pertumbuhan yang tinggi pada tahun 2021 berikutan program pemulihan yang dlaksanakan kerajaan. Bagaimanapun, pemulihan dan pertumbuhan ekonomi negara tidak cukup semata-mata bergantung kepada dasar-dasar pembangunan dalam negara, bahkan pemulihan ekonomi negara juga banyak bergantung kepada pemulihan ekonomi di peringkat global.


Penulis: Dr Muzahet Masruri. Ph. D (Economics), University of East Anglia, United Kingdom