January 09, 2021

Episod 7: Diserap Ke Skim PTD


Episod 7:

DISERAP KE SKIM PTD

Pada pagi itu, Zahid dipanggil oleh Dr. Fadil Azim Abbas ke biliknya. Dr. Fadil adalah bekas pegawai kanan SERU dan sekarang ini bertugas sebagai Pengarah, Seksyen Pembahagian di EPU.

“Muzahid, semalam Kabinet telah meluluskan cadangan menubuhkan Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) sebagai respons kepada kegawatan ekonomi yang melanda negara sekarang,” kata Dr. Fadil, memulakan perbincangan dengan nada yang serius. “EPU telah dilantik sebagai Urusetia MTEN dan Ketua Pengarah EPU yang baharu, Datuk Samsudin Hitam telah meminta saya jadi Ketua Urusetia,” kata Dr. Fadil, memusing-musingkan pen di tangannya dan merenung jauh ke hadapan.

“Saya hendak you bantu saya. You adalah pegawai pertama yang saya lantik untuk duduk dalam Urusetia MTEN,” kata Dr. Fadil merenung mukanya.

Sekretariat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN)

Memulakan kareer di MTEN

Semasa mula ditugaskan di MTEN pada tahun 1998, Zahid masih menyandang jawatan di bawah Skim Perkhidmatan Pegawai Penyelidik. Walaupun dia telah dinaikkan pangkat ke Tingkatan Kanan (Gred N2) tetapi dia teringat rakan-rakan lain dalam skim perkhidmatan yang sama yang tidak mempunyai peluang untuk meningkatkan kerjaya sepertinya.

Dia terfikir, memandangkan bilangan pegawai penyelidik yang kecil, peluang untuk kenaikan pangkat hampir tidak ada sehinggalah mereka bersara kecuali menggabungkannya dengan skim perkhidmatan yang lebih besar.

“Murtadza! Apa kata kalau kita buat memorandum supaya pegawai-pegawai penyelidik di EPU diserapkan ke dalam Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PTD)?” katanya. Murtadza adalah pegawai penyelidik EPU yang juga ditempatkan di Urusetia MTEN.

“I rasa sia-sia sahaja! Sebab kita pernah beberapa kali buat memorandum. EPU pun pernah buat memorandum tapi sampai sekarang pun tak ada jawapan,” jawab Murtadza, yang menunjukkan muka hampa. “Kita jangan cepat putus asa! Kita cuba lagi. Mana tahu rezeki kita ada di MTEN!” jawabnya.

“Memorandum yang dulu tu, you ada simpan?” katanya. “Ada!” jawab Murtadza. “OK, kita kemaskini memorandum itu, kemudian kita hantar ke JPA,” katanya lagi. “Siapa yang nak hantar?” tanya Murtadza.

“Dulu you hantar melalui EPU. Tapi sekarang kita hantar melalui MTEN dan minta surat sokongan daripada Tun,” kata Zahid. “Boleh ke?” tanya Murtadza. “Kenapa tak boleh? Dulu kita bawah EPU. Sekarang bawah MTEN. Lagipun, surat itu hanya sokongan. Tidak ada terikat apa-apa. Terpulanglah pada JPA sama ada nak pertimbangkan atau tidak!” jawabnya.

Bentang memorandum

Dua minggu selepas memorandum di hantar ke JPA, dia dipanggil oleh Ketua Pengarah EPU. “Muzahid! Besok saya ada mesyuarat di JPA untuk bentang memorandum yang you hantar. Saya minta you bentang memorandum itu sebab you tahu perinciannya. Saya akan ada dalam mesyuarat itu,” kata Datuk Samsudin Hitam. “Baik Datuk!” jawab Zahid.

Ketika melangkah masuk ke dalam bilik mesyuarat di JPA, dia melihat ramai pegawai kanan JPA yang berada di dalam bilik tersebut. Sebaik sahaja Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) masuk dan duduk untuk mempengerusikan mesyuarat, beliau berkata, “Minta Dr. Muzahid keluar bilik mesyuarat dulu dan saya akan panggil semula nanti,” arah Tan Sri Samsudin Osman, KPPA.

Hampir sejam berada di luar bilik mesyurat, akhirnya dia dipanggil masuk. Dia mengambil tempat duduk di sebelah Ketua Pengarah EPU yang dikosongkan untuknya.

“Muzahid! Ahli-ahli mesyuarat telah berbincang dan mengambil ketetapan supaya cadangan penyerapan jawatan Pegawai Penyelidik ke Skim PTD di EPU memasukkan juga pegawai Ahli Ekonomi di MAMPU,” kata Tan Sri, sambil menyelak helaian kertas memorandum bersama-sama lampiran senarai Pegawai Penyelidik EPU dan senarai Ahli Ekonomi MAMPU yang tidak mempunyai memorandum. Tan Sri memandang ke arahnya dan dia menganggukkan kepala, tanda setuju.

Tan Sri KPPA banyak mengemukakan soalan mengenai kandungan memorandum, termasuklah bidang tugas Pegawai Penyelidik, rasional ia diwujudkan di SERU dahulu, kerja-kerja yang dilakukan, perbezaan fungsi berbanding pegawai PTD, dan latar belakang pegawai-pegawai yang berada di bawah skim itu sekarang.

Zahid menjawab soalan-soalan dengan tenang, mengelakkan daripada mengemukakan perkara-perkara yang boleh menimbulkan konflik dan menyinggung perasaan pegawai-pegawai PTD yang berada di dalam bilik mesyuarat serta menjelaskan perincian latar belakang setiap pegawai penyelidk yang terdapat dalam memorandum.

“Wah! You ni cukup bersedia. Sampai latar belakang semua Pegawai Penyelidik you tahu!” kata Tan Sri, berseloroh sambil tersenyum. “Saya telah bersama mereka lebih 15 tahun Tan Sri. Segala keluhan mereka saya dengar,” jawabnya dengan tenang dan memberi senyuman balas.

“Satu lagi saya nak tanya! Apa syarat-syarat yang you letakkan dalam cadangan penyerapan Pegawai Penyelidik ke PTD?” kata Tan Sri, sambil meletakkan kedua-dua belah tangannya di atas meja dan merenung mukanya.

“Kami tidak meletakkan apa-apa syarat. Cuma saya pohon supaya tarikh penyerapan tersebut mengambil kira tarikh Pegawai-pegawai Penyelidik mula berkhidmat,” katanya, diikuti dengan suara sorakan memperli pegawai-pegawai PTD yang berada dalam bilik mesyuarat. “Ha! You dengar tu! Apa jawapan pegawai PTD!” kata Tan Sri.

“JPA akan meneliti perkara ini dan akan memberi maklumbalas kepada Datuk Ketua Pengarah EPU secepat mungkin.

Mesyuarat bersurai,” kata Tan Sri.

Kursus Penyesuaian PTA, PAP & PPS ke Skim PTD
Hotel Regency, Port Dickson, 13 – 24 Mei 2002

Berita gembira

Dua bulan selepas itu, dia dipanggil oleh Ketua Pengarah EPU di pejabatnya. “Muzahid! Tahniah! JPA setuju serapkan skim Pegawai Penyelidik ke skim PTD,” kata Datuk Samsudin yang turut gembira, berjabat tangan dan menyerahkan surat daripada JPA kepadanya.

Dia membaca surat tersebut dan antara kandungannya tercatat tarikh penyerapan berkuatkuasa pada 1 Ogos 2001.

Berita gembira itu dikongsi dengan rakan-rakan pegawai penyelidik di EPU yang menyerbu masuk ke pejabatnya. Mereka datang dengan senyuman, bersalaman dan mengucap tahniah sesama mereka.

“Dr..!! I tabik you. Dulu dah beberapa kali kita orang hantar memorandum tak berjaya. You sekali hantar, dah dapat,” kata Munirah Abd. Manan. “Bukan saya seorang sahaja buat kerja. Murtadza pun ada bantu!” katanya. “Betullah Muzahid. You memang jaguh. Tapi jaguh kampunglah!” kata Samuri Rahmat yang kebetulan berada di pejabatnya. “Hai, Sam! cakap baik sikit ya!” jawab Zahid, bergurau.

Dalam keadaan yang bising, telefon di pejabatnya berbunyi. “Itu Dr. Muzahid ke? Saya Hamzah dari MAMPU. Kami nak ucap terima kasih kerana bantu kami diserapkan ke Skim PTD,” kata pegawai tersebut.

“Okey, sama-sama! Salam saya pada teman-teman di MAMPU,” jawab Zahid.