September 13, 2018

PUTRAJAYA: NAMA JALAN AKAN DITUKAR 80,000 PENDUDUK TERKESAN


PUTRAJAYA: NAMA JALAN AKAN DITUKAR 80,000 PENDUDUK TERKESAN
AZZAD MUZAHET

Nama-nama jalan di Putrajaya akan ditukar kepada nama-nama yang bertemakan buah-buahan, sayur-sayuran, batu-batan dan haiwan. Pertukaran nama-nama tersebut telah menimbulkan pelbagai reaksi di kalangan warga yang menghuni Putrajaya.

Saya berpeluang menemubual Datuk Dr Muzahet Masruri, Presiden Persatuan Penduduk Super Link Presint 16, Putrajaya mengenai perkara ini. Berikut adalah temubual saya dengan beliau.

Datuk Dr Muzahet Masruri, Presiden Persatuan Penduduk Super Link, Presint 16, Putrajaya

Azzad Muzahet
Soalan: Datuk, bila pihak berkuasa membuat keputusan untuk menukar nama-nama jalan di Putrajaya?
Jawapan: Kami langsung tidak mengetahui dan tidak dimaklumkan mengenai keputusan pihak berkuasa untuk menukar nama-nama jalan di Putrajaya. Kami hanya sedar, apabila mendapati nama jalan di beberapa tempat, seperti di Presint 9, Presint 11 dan Presint 16 telah ditukar.

Tetapi yang pasti, cadangan dan keputusan tersebut telah dibuat sebelum PRU14.

Soalan: Bagaimana reaksi penduduk Putrajaya mengenai pertukaran nama-nama jalan di Putrajaya?
Jawapan: Isu ini telah menimbulkan reaksi di kalangan warga Putrajaya yang rata-rata tidak bersetuju dengan pertukaran nama jalan di kawasan perumahan mereka.

Soalan: Apa pandangan peribadi Datuk mengenai pertukaran nama-nama jalan di Putrajaya yang sedang dilaksanakan pihak berkuasa sekarang?
Jawapan: Nama-nama jalan yang sedia ada telah menjadi sinonim bagi Putrajaya yang membezakannya dengan bandar-bandar lain di Malaysia, sebagai 'city of the future'. Nama-nama tersebut telah digunakan hampir 20 tahun lalu, sejak Putrajaya dibuka dengan rasminya pada tahun 1999 oleh Tun Mahathir Mohamad, Perdana Menteri ketika itu. Ia jauh lebih sistematik, mudah, ringkas dan rata-rata telah diterima umum. Why should we move into reverse gear when we are already in front?

Nama asal jalan di Putrajaya
Saya fikir, pertukaran nama-nama ini tidak perlu kerana ia tidak mempunyai justifikasi, lebih menyusahkan dan membazir.

Soalan: Boleh Datuk jelaskan sedikit apa maksud tidak mempunyai justifikasi dan menyusahkan?
Jawapan: Apa justifikasi menggantikan ‘angka’ pada tanda jalan sedia ada, seperti Jalan P16 D/1 dengan nama buah, sayur, batu atau haiwan? Angka biasanya mudah dicari urutan, misalnya lepas angka 1… 2… 3… dan seterusnya. Tetapi kalau nama haiwan digunakan, burung misalnya, lepas burung kedidi, burung apa? Lepas burung gagak burung apa? Lepas burung pipit burung apa? – justifikasi urutannya tidak ada, malah menyusahkan.

Nama jalan yang telah ditukar sekarang

Nama jalan yang telah ditukar sekarang

Soalan: Jadi Datuk berpandangan pertukaran nama jalan di Putrajaya tidak perlu?
Jawapan: Saya fikir pertukaran nama jalan dan tanda jalan ini adalah tidak perlu dan membazir. Cadangan projek seperti ini juga tidak patut diluluskan.

Soalan: Datuk pernah jadi Ketua Setiausaha (KSU) salah sebuah kementerian. Daripada pengalaman Datuk, mengapa sesetengah projek yang tidak perlu dan membazir, seperti contoh di atas, diluluskan oleh kementerian/agensi berkenaan?
Jawapan: Sebabnya banyak dan pelbagai. Ada antaranya berpunca daripada desakan golongan tertentu untuk mencari ‘projek’ dan mendapat duit dengan cara mudah, dengan mengemukakan cadangan melalui saluran-saluran tertentu dan menggunakan orang-orang yang ‘berwibawa’.

Ramai orang tidak tahu bahawa kuasa untuk meluluskan projek dan kos bagi sesebuah kementerian adalah di bawah bidang kuasa KSU sebagai Pegawai Pengawal, bukan Menteri. Tetapi ada projek yang terpaksa diluluskan oleh Pegawai Pengawal (KSU), walaupun tidak sepatutnya diluluskan kerana bimbang kalau projek tersebut tidak diluluskan, kedudukan dan perjawatannya akan tergugat.

Soalan: Mengapa penduduk Putrajaya tidak bersetuju dengan pertukaran nama jalan di kawasan perumahan mereka?
Jawapan: Implikasinya banyak bagi 80,000 orang penduduk yang tinggal di Putrajaya. Antaranya ialah, sekiranya nama jalan ditukar, mereka perlu menukar alamat dalam MyKad dan Mykid masing-masing. Cuba bayangkan 80,000 orang terpaksa pergi ke Pejabat Pendaftaran Negara untuk menukar alamat...! Gara-gara kerana ada sekumpulan kecil pihak yang berkepentingan untuk mendapat ‘projek’ dan mencari duit dengan cara mudah!


Penduduk Putrajaya perlu menukar alamat Mykad dan MyKid mereka berikutan pertukaran nama jalan di Putrajaya
Itu tidak termasuk perubahan alamat surat-menyurat yang perlu mereka maklumkan kepada pihak-pihak berkenaan dalam urusan rasmi dan urusan peribadi masing-masing.

Soalan: Projek penukaran nama jalan di Putrajaya telah diluluskan sebelum PRU14 dan sekarang ini sedang dalam peringkat pelaksanaan. Maknanya, projek tersebut akan diteruskan dan tidak boleh ditarik balik walaupun penduduk Putrajaya tidak setuju. Apa pendapat Datuk?
Jawapan: Kalau projek mega yang besar-besar, melibatkan kos berbilion-bilion ringgit dan melibatkan pelabur asing dari negara China dan Singapura boleh ditangguhkan, saya tidak nampak mengapa projek sekecil penukaran nama dan tanda jalan di Putrajaya tidak boleh ditangguhkan atau dibatalkan. Kerana ia jelas menunjukkan pembaziran dan imej yang tidak baik.