May 16, 2018

MAJLIS PENASIHAT KERAJAAN BANTU PULIH EKONOMI DAN KEWANGAN NEGARA


16 May 2018; kemaskini 22 Jun 2018
MAJLIS PENASIHAT KERAJAAN
BANTU PULIH EKONOMI DAN KEWANGAN NEGARA
DR MUZAHET MASRURI

Sebagi rakyat Malaysia, kita merasa amat lega apabila Kerajaan di bawah Pakatan Harapan yang baharu dibentuk telah mengumumkan pembentukan Majlis Penasihat Kerajaan (MPK) yang akan bertindak sebagai penasihat kepada Kerajaan bagi memulihkan  ekonomi dan kewangan negara.

Lima orang tokoh besar negara telah dilantik bagi menganggotai Majlis ini yang diketui oleh Tun Daim Zainuddin, bekas Menteri Kewangan. Anggota yang lain terdiri daripada Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, bekas Gabenor Bank Negara; Tan Sri Hassan Merican, bekas Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Petronas; Tan Sri Robert Kuok, tokoh korporat; dan Prof. Dr Jomo Kwame Sundaram, ahli ekonomi terkemuka negara. Perlantikan lima orang tokoh tersebut adalah pemilihan yang tepat berasaskan pengalaman dan kepakaran masing-masing dalam pengurusan ekonomi dan kewangan.

Kita yakin, Majlis Penasihat Kerajaan akan berupaya melaksanakan langkah-langkah pragmatik untuk membetulkan semula (realign) perjalanan ekonomi dan kewangan negara yang telah tergelincir sejak hampir 10 tahun lalu, untuk dikembalikan kepada laluan yang asal.

Kita berharap, melalui langkah-langkah yang dilaksanakan, ekonomi negara akan dapat dipulihkan dan mencapai pertumbuhan yang tinggi seperti yang pernah dicapai  semasa era tahun 1990-an di mana purata pertumbuhan bagi tempoh tersebut ialah 9.1% yang disokong oleh sistem kewangan yang stabil dan asas-asas ekonomi yang kukuh. 

Bagaimana mekanisme pelaksanaan Majlis Penasihat Kerajaan?

Seperkara yang penting ialah walaupun tokok-tokoh yang dilantik mempunyai kepakaran dalam bidang masing-masing, mereka tidak harus bertindak secara berasingan. Sebaliknya, kepakaran mereka perlu diterjemahkan dalam suatu entiti yang bersepadu dan disokong oleh agensi-agensi pelaksana di peringkat Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri. Ini akan membolehkan Majlis mendapat sokongan daripada pelbagai pihak untuk membolehkan langkah-langkah yang diputuskan dapat dilaksanakan dengan pantas dan berkesan.

Pengalaman lepas membuktikan, mekanisma bersepadu yang dibentuk melalui Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) semasa menangani Krisis Kewangan Asia, 1997/98 ternyata sangat berkesan dan mendapat sokongan serta kerjasama dari berbagai pihak. Keberkesanan mekanisme MTEN membolehkan pemulihan ekonomi dapat dilakukan dengan pantas, daripada pertumbuhan ekonomi yang menjunam ke paras negatif -7.4% pada tahun 1998 kepada pertumbuhan positif 6.1% pada tahun 1999, hanya dalam tempoh setahun.

Mekanisme pelaksanaan MTEN adalah seperti dalam Rajah di bawah.



Hirarki yang tertiggi ialah 'Majlis’ yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Mahathir Mohamad dan ahli-ahlinya terdiri daripada beberapa Menteri Kanan, semua Menteri Besar dan Ketua Menteri.

Tahap kedua adalah 'EXCO MTEN', juga dipengerusikan oleh Perdana Menteri dengan ahli-ahlinya terdiri daripada CEO MTEN, Menteri Kewangan, seorang Menteri Ekonomi, Gabenor Bank Negara, Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan profesional daripada sektor swasta. EXCO MTEN bermesyuarat setiap hari, kecuali hari Rabu dan cuti umum untuk meneliti dan membuat keputusan mengenai syor-syor yang dicadangkan oleh Kumpulan Kerja.

Kumpulan Kerja dipengerusikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MTEN, Tun Daim Zainuddin. Ia terdiri daripada 4 orang ahli akademik dan profesional yang kerap memanggil dan berbincang dengan ketua-ketua industri untuk mengenal pasti isu, masalah dan cadangan untuk membantu sektor-sektor yang terjejas.

Sekretariat MTEN berfungsi menyediakan kertas-kertas dasar berdasarkan isu, masalah dan cadangan daripada Kumpulan Kerja untuk dibentangkan kepada EXCO MTEN bagi keputusan segera.

Pasukan Komunikasi berfungsi menyampaikan maklumat kepada orang ramai dan memberi taklimat kepada pihak-pihak tertentu mengenai langkah-langkah yang diambil oleh Kerajaan serta status kedudukan ekonomi dan kewangan semasa.

Jangan jadi seperti Majlis Penasihat Ekonomi Negara, 2009 

Rakyat berharap Majlis Penasihat Kerajaan yang baharu ditubuhkan akan memainkan peranan penting dan berkesan dalam membetulkan kedudukan ekonomi dan kewangan negara yang telah tergelincir sejak hampir 10 tahun lalu. Rakyat juga berharap keberkesanan Majlis ini dapat menyamai, kalaupun tidak melebihi peranan yang pernah dimainkan MTEN yang mendapat pengiktirafan International Monetary Fund (IMF) dan Bank Dunia.

Jangan jadi seperti Majlis Penasihat Ekonomi Negara yang ditubuhkan pada 9 April 2009, di bawah Kerajaan Barisan Nasional (BN) yang lalu, yang tidak berupaya berfungsi memulihkan ekonomi negara yang terus lembab sepanjang hampir 10 tahun selepas penubuhannya.

Kesimpulan

Penubuhan Majlis Penasihat Kerajaan sangat dialu-alukan sebagai sebuah badan penasihat untuk memulihan ekonomi dan menstabilkan kedudukan kewangan negara.

Rakyat sudah jemu menjalani kehidupan dalam keadaan ekonomi negara yang lesu sejak sekian lama. Kenyataan yang sering diwar-warkan oleh pemimpin-pemimpin negara di bawah Kerajaan yang lalu mengenai jaminan hidup yang lebih baik di masa hadapan, seperti pertumbuhan ekonomi Malaysia antara terbaik di dunia dan sasaran untuk mencapai ranking ke-20 Negara Terkaya di Dunia, hanyalah indah kabar dari rupa.

Rakyat menaruh harapan yang tinggi kepada Majlis Penasihat Kerajaan untuk mengubah kehidupan dan masa depan yang lebih baik.


Untuk mengetahui Peranan MTEN, Click: The Neglected ‘Think-tank’ (Part 1)
Penulis: Dr Muzahet Masruri Ph. D (Economics), University of East Anglia, United Kingdom