May 01, 2018

GST: RM42 BILION PENGGUNA SUMBANG KEPADA HASIL KERAJAAN PERSEKUTUAN

1 Mei 2018


GST: RM42 BILION PENGGUNA SUMBANG KEPADA HASIL KERAJAAN PERSEKUTUAN
DR MUZAHET MASRURI


GST diperkenalkan pada 2015, menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang telah dilaksanakan sejak 1972 di bawah Akta Cukai Jualan (10%) dan tahun 1975 di bawah Akta Cukai Perkhidmatan (5%). 

Mengapa kerajaan melaksanakan GST?

Kerana GST mempunyai kelebihan berbanding SST. Ini kerana skop GST adalah bersifat regresif, iaitu pengenaan cukai yang lebih luas ke atas berbagai jenis barangan dan perkhidmatan yang dikenakan kepada pengguna. Skop yang lebih luas ini akan membolehkan kerajaan mengutip cukai yang lebih banyak bagi menambah sumber hasil Kerajaan Persekutuan.

Apakah sumber utama hasil Kerajaan Persekutuan?

Sumber hasil kerajaan terbahagi kepada 2, iaitu hasil cukai dan hasil bukan cukai. Cukai adalah sumber utama hasil Kerajaan Persekutuan. Pada tahun 2017, hasil cukai berjumlah RM180 bilion iaitu 80% daripada jumlah keseluruhan pendapatan, manakala hasil bukan cukai hanya menyumbang RM45 bilion atau 20% daripada jumlah pendapatan (lihat Jadual 1).


Dalam kategori hasil cukai, sumber manakah yang paling banyak menyumbang kepada hasil Kerajaan Pesekutuan?

Hasil cukai terbahagai kepada 2, iaitu Hasil Cukai Langsung dan Hasil Cukai Tidak Langsung. Jadual 2 di bawah adalah komponen Hasil Cukai Langsung. Jadual tersebut menunjukkan cukai pendapatan daripada syarikat menyumbang bahagian yang paling penting, iaitu RM67 bilion (56.7%) pada tahun 2017. Cukai pendapatan individu adalah kedua penting dan menyumbang RM30 bilion (25.1%).



Adakah sumbangan PETRONAS dikategorikan dalam Hasil Cukai Langsung?

Ya. Sumbangan PETRONAS daripada hasil penjualan minyak adalah dikategorikan dalam Hasil Cukai Langsung. Pada tahun 2012 dan tahun-tahun sebelumnya, PETRONAS adalah penyumbang kedua terbesar kepada hasil Kerajaan Persekutuan dalam kategori Hasil Cukai Langsung, iaitu RM32 bilion (27.4%). Tetapi mulai pertengahan tahun 2014, sumbangan PETRONAS telah merosot berikutan kejatuhan harga minyak mentah dunia.



Sumbangan PETRONAS terus merosot kepada RM8.5 bilion (7.7%) pada tahun 2016 dan RM10.9 bilion (9.1%) pada tahun 2017.



Adakah kemerosotan sumbangan PETRONAS menjadi faktor kerajaan melaksanakan GST?

Ya, antara faktor utama. Kejatuhan harga minyak mentah dunia pada tahun 2014 telah mendesak kerajaan untuk mencari sumber alternatif pendapatan negara dan GST dilaksanakan pada tahun April 2015, untuk menambah jumlah pendapatan Kerajaan Persekutuan.

Berapakah perbezaan jumlah pendapatan yang disumbang melalui SST dan GST?

Seperti yang disebut di atas, hasil cukai terbahagai kepada 2, iaitu Hasil Cukai Langsung dan Hasil Cukai Tidak Langsung. Sumbangan cukai SST dan GST adalah dikategorikan dalam Hasil Cukai Tidak Langsung.

Jadual 3 menunjukkan, sebelum pelaksanaan GST, SST adalah penyumbang terbesar dalam kategori Hasil Cukai Tidak langsung. Misalnya, pada tahun 2014 sumbangan SST adalah RM17 bilion (46%). Tetapi setelah dilaksanakan, GST menyumbang bahagian yang lebih besar, iaitu RM41.5 bilion (68.6%) kepada hasil Kerajaan Persekutuan.


Mengapa GST menyumbang lebih besar daripada SST?

Seperti disebut di atas, skop GST adalah bersifat regresif, iaitu pengenaan cukai yang lebih luas ke atas berbagai jenis perkhidmatan dan barangan pengguna.


Adakah pengguna sahaja yang dikenakan GST?

GST adalah cukai yang dikenakan ke atas barangan dan perkhidmatan nilai tambah (value added) yang terlibat dalam ‘rantaian proses pengeluaran’. Dalam proses pengeluaran ada 3 pihak yang terlibat sebelum suatu barangan akhir itu dijual kepada pengguna, iaitu pengeluar, pemborong dan peruncit.

Dalam sistem cukai GST, pengeluar akan mengenakan cukai 6% kepada pemborong. Pemborong pula akan mengenakan cukai 6% kepada peruncit, manakala peruncit akan mengenakan cukai 6% kepada pengguna.

Daripada segi peraturan, pengeluar, pemborong dan peruncit tidak dibenarkan menaikkan harga. Ini kerana mereka boleh menuntut balik cukai GST 6% kepada pihak Kerajaan

Ini bermakna, di peringkat akhir pengeluaran, ‘hanya pembeli/pengguna sahaja yang kena bayar GST’ 6%.

Kalau hanya 6% GST dikenkan kepada pengguna, mengapa harga barangan melambung tinggi selepas pelaksanaan GST?

Berbagai penyalahgunaan dan penipuan boleh berlaku dalam berbagai peringkat dan proses pengeluaran. 

Seperti disebut di atas, harga pengeluar (pekilang) kepada pemborong dan peruncit sepatutnya ditolak daripada GST kerana pihak-pihak berkenaan boleh menuntut cukai tersebut kepada Kerajaan. Masalah yang berlaku ialah bagi pengeluar (pekilang), pemborong dan peruncit, sama ada mereka membuat tuntutan atau tidak membuat tuntutan GST, harga yang dijual adalah termasuk GST. Sekiranya mereka membuat tuntutan GST, mereka akan memperolehi keuntungan berganda, iaitu keuntungan daripada kenaikan harga dan keuntungan daripada tuntutan GST.

Bagaimanapun, mengenai tuntutan GST, terdapat rungutan di kalangan pengeluar, pemborang dan peruncit mengenai kelewatan Kerajaan membayar tuntutan semula GST yang sepatutnya diterima dalam tempoh 14 hari bekerja.

Terdapat juga rungutan di kalangan mereka yang tidak menerima tuntutan balik GST dalam tempoh yang lama. Ini menimbulkan  masalah kepada syarikat daripada segi pusingan modal yang menjejaskan kedudukan kewangan syarikat sehingga mereka terpaksa membuat pinjaman bank dan membayar faedah.

Duit RM41.5 bilion yang disumbang oleh pengguna adalah besar jumlahnya. Bagaimana duit GST itu dibelanjakan?

Duit GST dan semua duit yang diperolehi daripada Hasil Cukai dan Hasil Bukan Cukai digunakan bagi Perbelanjaan Mengurus (Operating Expenditure) di bawah kawalan Kementerian Kewangan Malaysia (MOF).

Antara perbelanjaan mengurus Kerajaan Persekutuan termasuklah, emolument (gaji, elaun & faedah kewangan lain), pencen & ganjaran, bayaran khidmat hutang dalam dan luar negara, bekalan & perkhidmatan, subsidi, pembelian harta, pemberian & pindahan dan lain-lain perbelanjaan.

Adakah projek-projek pembangunan negara dibiayai melalui Perbelanjaan Mengurus (Operating Expenditure)?

Tidak. Hanya projek-projek kecil pembangunan sahaja dibiayai daripada Perbelanjaan Mengurus yang disalurkan melalui kementerian/jabatan/agensi.

Dari sumber manakah projek pembangunan negara dibiayai?

Projek-projek dan program-program pembangunan ekonomi negara adalah dibiayai melalui Perbelanjaan Pembangunan (Development Expenditure) di bawah kawalan Unit Perancang Ekonomi (EPU).

EPU berperanan merancang program-program pembangunan ekonomi negara dalam pelbagai sektor yang diselaraskan di bawah Rancangan Pembangunan Lima Tahun Malaysia. Projek dan program yang diluluskan dilaksanakan oleh agensi-agensi pelaksana, yang terdiri daripada kementerian/jabatan yang berkaitan.

Dalam laporan Bloomberg 26 April 2018, kerajaan mengumumkan untuk mengurangkan kadar cukai pendapatan individu dan syarikat. Apakah kesan yang dijangka daripada pelaksanaan dasar ini?

Kesannya baik bagi individu dan syarikat yang terlibat kerana pemotongan cukai pendapatan bermakna pendapatan benar mereka akan meningkat. Tetapi, ia tidak baik bagi kedudukan sosioekonomi penduduk Malaysia kerana ia akan melebarkan jurang pendapatan antara orang kaya dan orang miskin, terutamanya bagi kumpulan 20% teratas dan 40% terbawah.

Angka Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan, pada tahun 2014 sebahagian kecil (20%) isirumah di negara ini memiliki bahagian yang besar (46.6%) kekayaan negara. Sebaliknya, sebahagian besar (40%) isirumah bependapatan rendah berkongsi hanya bahagian yang kecil (16.5%) kekayaan negara.

Kesimpulan

Semua orang, tidak kira miskin atau kaya, semua kena bayar cukai GST. Bak kata pepatah, 'celik saja mata kena GST'. Bersarapan pagi di kedai mamak, makan sekeping roti canai dan segelas teh tarik pun kena bayar GST 6% yang jumlahnya tertulis di bahagian bawah resit pembayaran.

Wang RM42 bilion yang disumbang setiap tahun oleh rakyat adalah besar jumlahnya dan besar pengorbanannya. Sebagai rakyat, kita harap wang GST yang kita sumbang kepada Kerajaan Persekutuan dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya. Janganlah guna semua duit GST untuk bayar hutang negara dan kurangkan defisit negara akibat perbelanjaan yang membazir dan tidak memberi pulangan kepada wang yang dibelanjakan.

Penulis: Dr Muzahet Masruri.  Ph. D (Economics), University of East Anglia, United Kingdom.