October 29, 2017

WAWASAN 2020 MENEPATI SASARAN


WAWASAN 2020
MENEPATI SASARAN
DR MUZAHET MASRURI

Hampir, kalaupun tidak semua rakyat Malaysia tahu mengenai Wawasan 2020 yang diperkenalkan pada tahun 1991 oleh Tun Mahathir Mohamad yang menjadi Perdana Menteri ketika itu. Tapi persoalannya, mampukah wawasan ini menepati sasaran?

Apa sasaran Wawasan 2020?

Wawasan 2020 adalah dasar pembanguan negara jangka panjang 30 tahun yang mensasarkan Malaysia menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.

Bagaimana dasar tersebut dilaksanakan?

Ia dilaksanakan berasaskan kesinambungan dasar-dasar sedia ada dan diselaraskan dalam Rancangan-rancangan Pembangunan Malaysia yang dirangka melalui Unit Perancang Ekonomi (EPU) sebagai agensi pusat yang bertanggung jawab dalam perancangan pembangunan ekonomi negara.

Apa dasar-dasar pembangunan negara yang dilibatkan? 

Pelaksanaan Wawasan 2020 melibatkan dasar-dasar pembangunan negara yang terbahagi kepada 3 fasa (lihat Rajah 1).

Fasa1 terkandung dalam Rangka Rancangan Jangka Panjang Kedua, 1991-2000 (RRJP2)  yang dinamakaan Dasar Pembangunan Nasional (DPN). DPN memberi dimensi baru dalam menghasilkan pembangunan yang lebih seimbang di samping mengekalkan prinsip asas Dasar Ekonomi Baru (DEB), iaitu pertumbuhan dengan kesaksamaan.


Fasa 2 dilaksanakan di bawah Rangka Rancangan Jangka Panjang Ketiga (RRJP3) iaitu Dasar Wawasan Negara (DWN) yang merangkumi tempoh 2001-2010. DWN bertujuan untuk memperkukuhkan daya saing dan daya tahan serta mewujudkan masyarakat yang saksama bagi memastikan kestabilan dan perpaduan negara.

Fasa 3 dilaksanakan di bawah Model Baru Ekonomi (MBE) yang dilancarkan pada tahun 2010 merangkumi tempoh 2011 hingga 2020. MBE menjadi pemangkin dalam menjana potensi pertumbuhan negara. Matlamatnya ialah meningkatkan kualiti hidup rakyat dengan menekankan 3 dimensi iaitu pendapatan yang tinggi, kemampanan dan keterangkuman yang menekankan golongan berpendapatan 40 peratus terendah.

Apa sasaran pertumbuhan ekonomi bagi merealisasi Wawasan 2020?

Wawasan 2020 menetapkan sasaran purata pertumbuhan ekonomi tahunan (Keluaran Dalam Negara Kasar – KDNK) 7% bagi tempoh 30 tahun untuk mencapai status negara maju dan berpendapatan tinggi.

Apa maksud negara berpendapatan tinggi mengikut takrifan Bank Dunia?

Status negara berpendapatan tinggi mengikut takrifan Bank Dunia pada tahun 2017 adalah negara-negara yang mempunyai pendapatan per kapita USD 12,235 atau lebih  (lihat Rajah 2).




Bagaimana pendapatan per kapita ditentukan?

Pendapatan per kapita adalah purata pendapatan tahunan bagi sesebuah negara. Ia ditentukan dengan membahagikan jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dengan jumlah penduduk negara berkenaan.

Berapakah pendapatan per kapita Malaysia sekarang?

Pendapatan per kapita Malaysia pada tahun 2017, mengikut unjuran International Monetary Fund (IMF) ialah USD 9,659.9. Pendapatan per kapita ini belum melayakkan Malaysia dikategorikan sebagai Negara Berpendapatan Tinggi.

Bila Malaysia layak dikategorikan sebagai Negara Berpendapatan Tinggi?

Beradasarkan unjuran IMF, Malaysia dijangka layak dikategorikan sebagai Negara Berpendapatan Tinggi pada tahun 2020.



Mengapa Malaysia layak dikategorikan sebagai Negara Berpendapatan Tinggi pada tahun 2020?

Kerana pendapatan per kapita Malaysia pada tahun 2020 ialah USD 12,447.7 mengikut unjuran IMF (lihat Jadual 3). Pendapatan per kapita ini adalah lebih tinggi daripada USD 12,235 dan layak diklasifikasikan sebagai Negara Berpendapatan Tinggi mengikut takrifan Bank Dunia (lihat Jadual 2).

Adakah ini bermakna Wawasan 2020 akan menepati sasaran?

Selama ini kita tidak yakin keupayaan Malaysia untuk mencapai sasaran menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi. Ini kerana tempoh 30 tahun adalah terlalu lama dan dalam tempoh tersebut pastinya berbagai peristiwa akan berlaku yang boleh menjejaskan, bukan sahaja landskap turun-naik pertumbuhan ekonomi, malah aspek-aspek lain yang merangkumi politik, sosial, kerohanian, kejiwaan dan kebudayaan di negara ini.

Walaupun saatnya belum tiba tetapi kita boleh menarik nafas lega untuk menyaksikan Wawasan 2020 menepati sasarannya pada tahun 2020 nanti.

Kesimpulan

Ramai pengkritik dan penganalisis mempersolkan keupayaan Wawasan 2020 untuk menepati sasarannya. Tetapi unjuran International Monetary Fund (IMF) membuktikan Malaysia mampu mencapai status negara maju berpendapatan tinggi mengikut takrifan Bank Dunia.menjelang 2020.

Syabas dan hadiah kepada rakyat Malaysia..!


Penulis: Dr.Muzahet Masruri.  Ph.D (Economics), University of East Anglia, United Kingdom.