December 18, 2016

Episod 5 : Pembangunan Hypermarket


Episod 5
Pembangunan Hypermarket

Sektor perdagangan pengedaran semakin berkembang pesat di Malaysia berikutan daripada pertumbuhan ekonomi negara yang stabil dan peningktatan kuasa beli pengguna, khususnya bagi tempoh 2000-2006. Perkembangan ini mendorong banyak syarikat multi-nasional, seperti Jusco, Tesco, Giant, Carrefour dan Mydin bersaing untuk membuka cawangan-cawangan baharu di lokasi-lokasi yang strategik

Pembukaan cawangan-cawangan baharu perlu menepati syarat-syarat tertentu dan mendapat kelulusan daripada KPDNHEP melalui Jawatankuasa Penilaian yang dibentuk di bawah Bahagian Perdagangan Dalam Negeri (PDN).

Dalam perancangan, syarat-syarat yang ditentukan adalah untuk memastikan keseragaman. Tetapi daripada segi pelaksanaan, berbagai masalah wujud mengikut kesesuain dan keperluan setempat yang memerlukan 'discretion' daripada pihak pelaksana bagi menjaga kepentingan berbagai pihak.

“Selamat Pagi Boss!” kata Russ, Setiausaha Peribadinyal. “Selamat Pagi," jawabnya ketika baharu sampai dan melangkah masuk ke pejabatnya pagi itu. Seketika, Russ masuk ke pejabatnya dengan membawa sebuah fail. “Boss, ada pegawai dari Jusco nak jumpa dengan Boss,” kata Russ, sambil meletakkan fail tersebut di hadapannya. “Pasal apa?” tanya Zahid. “Katanya pasal permohonan tambahan premis Jusco di Ampang Jaya,” jawab Russ.


Gambar hiasan

Dia membuka fail tersebut dan meneliti kandungan surat-surat dan catatan di dalamnya. “OK, suruh dia masuk,” katanya. “OK Boss. Tapi Boss jangan terkejut!” kata Russ. “Terkejut pasal apa?” tanya Zahid. “Dia tu pegawai wanita!” kata Russ. “Yalah! Kalau pegawai wanita kenapa?  You ni Russ. Jangan prasangka yang bukan-bukan!” jawabnya, memandang muka Russ. “Saya bergurau saja Boss! Saya tahu hati budi boss saya. Sebab itu saya berani bergurau!” kata Russ, tersenyum dan meninggalkan pejabatnya.

Ketika pintu pejabatnya yang sentiasa terbuka diketuk, dia melihat seorang Pegawai wanita berpakaian kemas dan bersopan masuk ke pejabatnya. “Sila duduk!” katanya apabila pegawai tersebut menghampiri mejanya. “Terima kasih,” jawab Pegawai itu, sambil membetulkan tempat duduknya. “Tuan, saya datang dari Jusco,” kata Pegawai wanita Cina, yang fasih berbahasa Malaysia. “Pernah datang jumpa saya?” tanya Zahid. “Tidak pernah. Sebelum ini saya hanya berurusan dengan pegawai-pegawai Tuan,” jawab Pegawai itu.

“OK. Apa masalah you?” tanya Zahid. “Tuan! Saya ada buat permohonan untuk besarkan premis Jusco di Ampang Jaya. Plan spesifikasi dan dokumen-dokumen, semuanya saya telah kemukakan dalam permohonan itu. Tapi sampai sekarang saya belum dapat maklumbalas daripada pihak Tuan,” jelas Pegawai itu.  Zahid mendiamkan diri seketika, sambil menyelak helaian dokumen-dokumen di dalam fail. “Kami perlu kelulusan itu, sebab keluasan pasaraya yang ada tidak dapat tampung bilangan pelanggan yang semakin meningkat,” jelas Pegawai itu lagi.

“Kalau ikut maklumat dalam fail ini, pelan yang you hantar tidak menepati spesifikasi yang ditentukan!” kata Zahid, “Benar Tuan! Kami tidak ada masalah untuk meluaskan lagi tambahan premis itu. Tetapi hanya itu sahaja keluasan tanah yang ada,” jawab Pegawai itu. “Kami bimbang, kalau tambahan premis itu tidak dibina, ia akan menjadi rungutan pelanggan-pelanggan di kawasan itu!” jelasnya lagi.

Zahid termenung seketika, lalu mengangkat gagang telefon. “Russ, minta Mizool dan Mastura masuk!” katanya. “Baik Boss!” jawab Russ. Mizool dan Mastura adalah pegawai yang dipercayai dalam meneliti permohonan-permohonan bagi pembinaan premis pasaraya yang baharu.

“You all dah buat lawatan tapak bagi permohonan syarikat ini?” dia bertanya, sebaik Mizool dan Mastura masuk ke pejabatnya. “Sudah Dr. Kami dah pergi ke lokasi itu. Semuanya OK. Cuma keluasan tidak ikut spesifikasi. Tapi mereka tak boleh nak buat apa, sebab keluasan tanah hanya setakat itu,” jawab Mizool.

Mata Zahid terkebil-kebil, sambil memandang muka Mizool. Fikirannya berpusar kepada 3 persoalan – rungutan pelanggan, syarat spesifikasi keluasan dan laporan kepada Jawatankuasa Penilaian. Dia perlu menimbang banyak aspek sebelum membuat keputusan untuk membawa kes ini ke peringkat Jawatankuasa.

“Mas! Panggil Russ masuk!” arahnya pada Mastura yang bergegas keluar memanggil Russ. “Russ! Lepas ini saya ada temujanji apa?” katanya. “Tak ada Boss! Cuma pukul 12.00 tengahari nanti, Menteri nak jumpa Boss,” jawab Russ.

Dia menggerakkan tangan kiri, melihat jam tangannya dan memandang muka Russ. “Saya akan pergi ke lokasi sekarang dan balik pejabat sebelum pukul 12.00. You urus kereta pejabat,” arahnya. “Baik Boss!” jawab Russ. “Mizool dan Mastura! You all naik kereta pejabat dengan saya,” arahnya. “Baik Dr.,” jawab Mizool dan Mastura. 

Setibanya di lokasi, Pegawai tersebut bersama pasukan teknikal Jusco telah sedia menunggu. “Saya nak lihat kawasan dalam premis dahulu. Lepas itu ke lokasi cadangan pembesaran,” katanya, ketika berjabat tangan dengan pegawai-pegawai Jusco dan berjalan diiringi pegawai-pegawai teknikal sambil mendengar penerangan daripada mereka.

Sedang berjalan dan meninjuai kawasan persekitaran, dia mendengar suara wanita dari belakang mengucapkan sesuatu. “Boss you sangat cekap dan proaktif. Untung you dapat Boss macam ini!” kata suara yang tidak dikenalinya.

Selesai membuat tinjauan, dia terus memberi arahan. “Saya berpuashati dengan penerangan dan laporan yang you all beri. Kami akan sedia laporan untuk kemukakan kepada Jawatankuasa Penilaian.

Saya minta pegawai-pegawai teknikal you datang semasa mesyuarat untuk memberi perincian semasa soalan tambahan, sekiranya ada,” katanya. “Saya faham Tuan dan saya banyak terima kasih,” jawab Pegawai tersebut, sambil tunduk sepertimana orang Jepun memberi hormat.

“Mizool, Mastura! Kita balik pejabat sekarang,” katanya, berjalan menuju ke kenderaan dan pulang ke pejabat.