December 18, 2016

Episod 4: Diekori Tonto


Episod 4
Diekori Tonto


Diesel bersubsidi dikategorikan sebagai barang kawalan. Hanya mereka yang dikategorikan layak menerima bantuan diesel bersubsidi sahaja yang boleh membelinya di stesen minyak, manakala sektor-sektor lain, seperti industri dan kilang perlu mendapatkan bekalan dari syarikat minyak dengan harga pasaran.

Penjualan diesel bersubsidi ditentukan mengikut kuota yang diagihkan kepada setiap stesen minyak di seluruh negara berasaskan anggaran keperluan diesel setempat melalui laporan dan permohonan oleh syarikat pembekal minyak. Kuota berkenaan akan dikaji setiap 2 bulan.


Gambar hiasan: Subsidi Diesel


“Fariszan, kuota diesel bersubsidi stesen minyak bila kena kemaskini?” katanya. “Kalau ikut jadual, minggu depan, cukup tempoh 2 bulan untuk kita semak semula kuota diesel yang diagih kepada setiap stesen minyak,” jawab Fariszan,”

Biasanya, dia akan mengarahkan supaya perbincangan mengenai pengagihan kuota minyak diesel bersubsidi diadakan di luar pejabat. Tujuannya, selain mengadakan perbincangan, dia akan berpeluang membuat lawatan dan meninjau ke stesen-stesen minyak di lokasi-lokasi tertentu.

“Mesyuarat kali ini kita akan buat di mana?” dia bertanya pada Fariszan. “Setakat ini kita telah buat mesyuarat di beberapa buah negeri. Kali ini saya cadangkan kita buat mesyuarat di Pulau Pinang,” jawab Fariszan. “OK, you atur persiapan mesyuarat dan maklumkan kepada syarikat-syarikat minyak, kita akan adakan mesyuarat di Pulau Pinang minggu depan,” arahnya. “Baik Dr.” jawab Fariszan.

Diekori ‘Tonto’

Pada petang itu, dia bertolak ke Pulau Pinang. Ketika tiba di Lapangan Terbang Bayan Lepas, Fariszan yang telah sampai lebih awal, menemuinya bersama beberapa orang pegawai Bahagian PDN dan Penguatkuasa, Cawangan Pulau Pinang.

“Dr, semua persiapan mesyuarat telah saya atur. Kita akan adakan mesyuarat di hotel dan Dr. akan menginap di hotel itu,” kata Fariszan. “Ini program kita selama 2 hari di Pulau Pinang,” katanya lagi sambil mengunjukkan buku program kepadanya. “Hari pertama, esok, adalah perbincangan mengenai pengagihan kuota diesel bersubsidi stesen minyak di seluruh negara,” kata Fariszan.

“Cukup ke sehari untuk bincang semua tu?” tanya Zahid. “Kita kena habiskan esok Dr. Kalau tak habis, kita kena mesyuarat sampai malam!” jawab Fariszan. “Hari kedua, sebelah pagi kita akan buat pemeriksaan ke beberapa buah stesen minyak yang telah saya atur bersama Bahagian PDN dan Penguatkuasa Negeri, sebelum Dr. bertolak pulang ke KL pukul 2.00 petang,” sambung Fariszan lagi.

Dia diiringi pegawai-pegawai PDN dan Penguatkuasa berjalan keluar dari lapangan terbang menuju ke kenderaan pejabat yang telah sedia menunggu. “Dr.! Dinner pukul 8.00 malam dan kami akan tunggu Dr. di lobi hotel,” kata Fariszan. “OK,” jawabnya.

Semasa turun ke lobi hotel, beberapa orang pegawai pejabat PDN Negeri telah menunggu bersama beberapa orang wakil daripada syarikat-syarikat minyak yang akan terlibat dalam mesyuarat hari esok. “Dr.! Dia orang ‘arrange’ makan di restauran ‘sea food’ tepi pantai! Dr. OK ke?” tanya Fariszan. “Kalau pasal makan, di mana pun saya OK,” jawabnya. “Kami akan bergerak sekarang dan tunggu Dr. di sana,” kata Fariszan sambil bergegas bersama-sama pegawai-pegawai lain menuju ke kenderaan masing-masing.

Ketika melangkah keluar dari lobi, seorang pemandu telah bersedia membuka pintu kenderaan pejabat di bahagian belakang. “Tak apalah. Saya duduk depan!” katanya sambil berjabat tangan dengan pemandu yang pantas menutup semula pintu bahagian belakang dan membuka pintu penumpang di bahagian hadapan. Keadaan di luar hotel sibuk dengan orang ramai dan kenderaan yang mengambil dan menurunkan penumpang-penumpang yang akan menginap di hotel. Kelihatan juga kumpulan beberapa orang pemuda yang sedang bersembang dan memerhatikan sesuatu.

Hampir 1 kilometer perjalanan, pemandu kenderaan sering meninjau cermin kereta di sebelah kiri, kanan dan bahagian belakang kenderaan. Zahid memerhatikan keadaan persekitaran jalanraya seperti biasa, sibuk dengan kenderaan yang lalu-lalang. Dia memerhatikan pemandu melajukan kenderaan, seketika memperlahankan kelajuan dan melajukan kenderaannya semula.

“Tuan! Ada orang ikut kita!” tiba-tiba pemandu itu berkata padanya. “Polis ikut kita nak buat apa? Kita tak langgar lampu isyarat! Awak pun pandu cermat dan tak laju sangat!” jawabnya, bersahaja. “Bukan polis Tuan!” kata pemandu. “Habis kalau bukan polis, siapa?” tanya Zahid. “Tonto, Tuan!” jawab pemandu. “Tuan perasan tak, di sebelah kiri dan kanan kita ada dua buah motorsikal yang sentiasa mengiringi kita dan di sebelah belakangan ada dua buah motorsikal yang mengekori kita sejak kita keluar dari hotel tadi?” tanya pemandu.

Gambar Hiasan

Zahid mendiamkan diri seketika. Dia mula merasa cemas. Dia tidak pernah mengalami peristiwa seperti ini, diekori oleh ‘tonto’. Di dalam pemikirannya, timbul tanda tanya. Mengapa dia diekori dan apa tujuan ‘tonto’ itu mengekorinya? “Habis! Apa kita nak buat sekarang? Patah balik ke hotel?” katanya pada pemandu. “Tak apa Tuan! Kita teruskan perjalanan,” jawab pemandu yang kelihatan tenang mengendalikan kenderaan.

Dia belum berpuashati dengan jawapan pemandu. Persoalan yang timbul di fikirannya masih belum terjawab. “Kenapa ‘tonto’ tu ikut saya? Apa yang dia orang nak buat dengan saya?” dia bertanya pada pemandu. “Biasalah Tuan. Kalau ada pegawai besar datang dari KL, dia orang akan ikut dan perhatikan Tuan selama Tuan berada di sini,” jawab pemandu.

“Tetapi, Tuan jangan bimbang. Dia orang tak akan apa-apakan Tuan. Tugas dia orang cuma memberi maklumat mengenai pergerakan Tuan di sini,” kata pemandu. “Beri maklumat? Pada siapa?” tanya Zahid. “Pada operator-operator haram di sini. Seperti penjualan diesel, CD cetak rompak dan perniagaan-perniagaan lain di bawah bidang kuasa dan kawalan KPDNHEP,” kata pemandu.

Gambar Hiasan: Operator Haram


Sedang fikirannya merayau-rayau mencari justifikasi mengapa pergerakannya diawasi, tiba-tiba pemandu memperlahankan kenderaan dan membelok ke kiri, ke arah jalan perkampungan yang hanya disinari lampu-lampu jalan yang tidak begitu terang. “Kita dah sampai ke persimpangan jalan restauran ‘sea food’ Tuan!” kata pemandu.

Dia menoleh ke belakang kenderaan dan melihat motorsikal-motorsikal yang mengekorinya berhenti di persimpangan jalan. “Kenapa ‘tonto’ tu tak ikut kita lagi?” dia bertanya. “Mana dia orang berani Tuan. Ini bukan kawasan mereka!” jawab pemandu. “Habis, lepas tu dia orang balik ke?” Dia bertanya lagi. “Tidak Tuan! Dia orang akan tunggu sehingga Tuan keluar dari kawasan ini dan ikut ke mana Tuan pergi!” jawab pemandu. Zahid menggelengkan kepala. “Macam-macam cara orang cari makan!” keluhnya pada pemandu.

Hidangan makanan ‘sea food’ di restauran tepi pantai yang sering menjadi sebutan di kalangan pengunjung-pengunjung ke Pulau Pinang, tidak menarik seleranya pada malam itu. Fikirannya masih teringat peristiwa dia diekori ‘tonto’ dan dia akan melihat ‘tonto’ itu mengekorinya lagi apabila dia pulang ke hotel nanti.

Setelah menjamah makanan ‘sea food’ yang dipesan, dia meminta diri untuk pulang. “Terima kasih pada semua yang datang malam ini. Makanan di sini memang sedap. Tetapi, saya minta diri untuk pulang ke hotel dahulu. Dan kita jumpa dalam mesyuarat esok,” ucap Zahid sambil berjabat tangan dengan pegawai-pegawai, lalu menaiki kenderaan yang sedang menunggu dan pulang ke hotel.