May 07, 2018

PENGALAMAN KERJA DR MUZAHET MASRURI



Datuk Dr Muzahet Masruri berpengalaman berkerja 34 tahun dengan Kerajaan Malaysia. Beliau pernah menjawat beberapa jawatan tertinggi dalam Kerajaan, antaranya Ketua Setiausaha, Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan. Pernah bertugas sebagai Timbalan Ketua Pengarah, Unit Perancang Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri di mana beliau terlibat secara langsung dalam penggubalan Rancangan Pembangunan Lima-Tahun Malaysia. Beliau juga bertugas sebagai Timbalan Ketua Setiausaha di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dan terlibat dalam beberapa siri perundingan perdagangan dua-hala pada tahun 2006 antara Malaysia dan Amerika Syarikat dan perjanjian perdagangan dengan Chile.

Beliau berkhidmat di Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad semasa ‘Krisis Kewangan Asia, 1997/98’. Beliau terlibat dalam perancangan langkah-langkah strategik bagi mengekang impak negatif Krisis ke atas ekonomi negara, di mana Malaysia telah mengambil pendekatan yang bertentangan dengan teori dan doktrin ekonomi konvensyenal, dengan merangka acuan sendiri dalam mengurus ekonomi negara semasa Krisis. Walaupun, langkah-langkah drastik yang dilaksankan MTEN menerima reaksi negatif daripada berbagai pihak tetapi langkah-langkah tersebut telah berjaya menyelamatkan ekonomi negara dan menerima pengiktirafan dunia.

Selepas bersara daripada sektor awam pada tahun 2009, beliau menyertai Puncak Niaga Sdn Berhad (PNSB) sebagai Pengarah Eksekutif, Bahagian Sumber Strategik dan Perhubungan Awam selama 4 tahun. PNSB adalah sebuah syarikat bersepadu bagi pemprosesan dan pengedaran air bersih bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Negeri Selangor.

Sebaik bersara daripada sektor korporat pada tahun 2013, beliau berkhidmat dengan Putra Business School, sebagai pensyarah ekonomi bagi program MBA selama 4 tahun. Pengalaman yang luas ketika bertugas di sektor awam dan korporat sangat bernilai untuk membolehkan beliau menyumbang dan berkongsi pemahaman praktis antara teori ekonomi dan aplikasinya dalam perniagaan dan perancangan dengan pelajar-pelajar MBA.

Setelah bersara sepenuhnya pada tahun 2017, beliau adalah penulis mengenai isu-isu ekonomi semasa dalam blog Azzadmuzahet.com.

Berkelulusan Ijazah Kedoktoran (Ph. D) dalam bidang ekonomi dan Ijazah Sarjana dalam bidang Ekonomi Pembangunan, kedua-duanya dari University of East Anglia, United Kingdom. Mendapat Ijazah Sarjana Muda dari Universiti Malaya.

Updated: January 2018