March 04, 2018

MALAYSIA RANKING KE-20 NEGARA TERKAYA DI DUNIA?



MALAYSIA RANKING KE-20 NEGARA TERKAYA DI DUNIA..?
DR MUZAHET MASRURI

Semasa pembentangan Bajet 2018 di Dewan Rakyat pada 27 Oktober 2017 yang lalu YAB Perdana Menteri mensasarkan Malaysia berada di ranking ke-20 Negara Terkaya di Dunia apabila Transformasi Nasional 2050 (TN50) dilaksanakan. Sasaran itu diperkukuhkan dalam laporan 'Kanvas Belia TN50: Aspirasi Belia untuk Malaysia Menjelang Tahun 2050', di mana YAB Perdana Menteri menyebut, 

"Kerajaan sedar dan telah mengambil langkah pantas dengan mengasaskan TN50 sebagai satu hala tuju yang membolehkan kita melonjak ke arah mencapai matlamat 'Top 20 Nations' di dunia kelak," (Bernama)

Sebagai rakyat, kita berasa amat bertuah apatah lagi dalam tempoh 30 tahun akan datang kita akan dapat menikmati gaya hidup seperti rakyat di negara-negara maju dan kaya.

Mampukah kita menggalas cabaran ini?

Sejarah membuktikan, kita mampu dengan syarat kita mesti mentadbir ekonomi negara dengan bijak dan melaksanakannya dengan bersungguh-sungguh. Contoh paling dekat ialah kejayaan kita melonjak daripada sebuah negara berpendapatan sederhana kepada sebuah negara berpendapatan tinggi seperti yang disasarkan dalam Wawasan 2020.

Dalam laporan 2017, International Monetary Fund (IMF) membuat unjuran pendapatan per kapita Malaysia pada tahun 2020 ialah USD 12,447 (lihat Jadual di bawah). Pendapatan per kapita ini adalah melebihi pendapatan per kapita USD 12,235 yang diklafikasikan oleh Bank Dunia sebagai negara yang layak dikategorikan sebagai negara berpendapatan tinggi 


Negara manakah dikategorikan 20 terkaya di dunia sekarang?

Negara-negara yang dikategorikan sebagai terkaya didunia ditentukan berasaskan pendapatan per kapita bagi tahun 2017. Pendapatan per kapita itu dikira dengan membahagikan jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dengan jumlah penduduk negara berkenaan. 

Negara-negara terkaya di dunia pada tahun 2017 disusun mengikut ranking seperti di dalam jadual-jadual di bawah:



Daripada jadual di atas antara negara-negara yang dikategorikan 20 terkaya di dunia sekarang ialah Luxembourg, Norway, Qatar, United States. Singapore, Sweden, Canada, Germany dan Israel.  United Kingdom menduduki tangga ke-22 dan Jepun tangga ke-23.

Di mana ranking Malaysia?

Malaysia menduduki ranking ke-68 dengan pendapatan per kapita USD 9,659.

Kalau Malaysia mahu melonjak dari ranking 68 ke ranking 20, berapa pendapatan per kapita yang diperlukan?

Malaysia perlu mempunyai pendapatan per kapita USD 39,974, iaitu 4 kali ganda untuk menyamai pendapatan per kapita Israel yang ketika ini menduduki ranking ke-20 (lihat jadual di atas).

Dengan hanya USD 9,659 sekarang adakah munasabah Malaysia boleh meningkatkan pendapatan per kapita 4 kali ganda kepada USD 39,974 untuk menduduki ranking ke-20?

Mungkin boleh. Tetapi itu hanya boleh kita capai dalam tempoh 20 tahun akan datang. Cuba perhatikan Jadual di bawah.


Jadual di atas adalah unjuran pendapatan per kapita Malaysia bagi tahun 2021 hingga tahun 2040. Cuba perhatikan, jumlahnya telah meningkat dari USD 9,659 pada tahun 2017 kepada USD 13,194 bagi tahun 2021. Perhatikan juga, angka-angkanya terus meningkat dari setahun ke setahun.

Cuba lihat berapa pendapatan per kapita Malaysia pada tahun 2040? Jumlahnya ialah USD 40,966. Cuba rujuk balik, berapa pendapatan per kapita Israel yang menduduki ranking ke-20 sekarang? Jumlahnya ialah USD 39,974. Wah,..!! pendapatan per kapita Malaysia lebih tinggi daripada Israel...!!

Kalau kita tidak berfikir panjang, kita boleh mendabik dada dan menjerit... "Tak sampai pun 2050, tahun 2040 orang Malaysia dah jadi lebih kaya daripada orang Israel..!!"

Tahun 2040 orang Malaysia lebih kaya daripada orang Israel? Adakah ia akan jadi realiti?

Ia akan jadi realiti kalau 20 tahun akan datang pendapatan per kapita orang Malaysia meningkat 4 kali ganda kepada USD 40,966, manakala pendapatan per kapita orang Israel tidak berubah (statik) iaitu USD 39,974 selama 20 tahun.

Tetapi lumrahnya, mana ada satu negara di dunia yang ekonominya statik selama 20 tahun? Negara yang iklimnya berada di paras beku pun ekonominya tidak beku selama 20 tahun…!!

Kesimpulan

Sebelum ini kita mungkin berfikir secara mudah. Kalau ranking kita ke-68, kita boleh pijak 48 buah negara di hadapan kita untuk duduk di ranking ke-20. Tetapi seperti yang dibuktikan di atas, pendapatan per kapita ranking ke-20 sekarang ini hanya boleh kita capai dalam tempoh 20 tahun akan datang.

Sedangkan dalam tempoh 20 tahun tersebut, semua negara di hadapan kita telah cabut lari lebih pantas membawa ranking masing-masing, jauh meninggalkan kita.

Akhirnya, ketika melaung-laungkan harapan untuk menjadi negara ke-20 terkaya di dunia, kita tersadung dan terduduk di atas ranking asal, iaitu ranking ke-68, ranking bukan negara terkaya di dunia...!!

Penulis: Dr Muzahet Masruri.  Ph. D (Economics), University of East Anglia, United Kingdom.