January 21, 2017

DOLLAR AMERIKA TERLALU KUKUH. APA IMPLIKASINYA KEPADA MALAYSIA?


DOLLAR AMERIKA TERLALU KUKUH.
APA IMPLIKASINYA KEPADA MALAYSIA?
DR MUZAHET MASRURI


Amerika Syarikat mungkin menukar polisi daripada mempertahankan keutuhan dollar yang telah dilaksanakan sejak 2 dekad lalu apabila Donald Trump baru-baru ini membuat kenyataan bahawa nilai dollar Amerika adalah terlalu kukuh.

Mengapa dollar terlalu kukuh?

i. Hampir 80% urusniaga perdagangan dunia menggunakan dollar.
ii. Sebut harga bagi komoditi utama dunia, seperti emas, perak dan minyak adalah dalam matawang
    dollar.
iii. Semua rizab matawang asing negara-negara di dunia adalah menggunakan dollar.
iv. Pemintaan bagi matawang dollar di pasaram matawang asing (FOREX) sebahagiannya adalah
     dipengaruhi oleh ‘persepsi’ dollar sebagai matawang yang paling kukuh di dunia. 

Mengapa Trump tidak mahu nilai dollar terlalu kukuh?

Antara sebabnya ialah nilai dollar yang terlalu kukuh tidak membantu ekonomi Amerika, khususnya bagi syarikat-syarikat pengeluar tempatan yang beroperasi di Amerika. Ini kerana nilai dollar yang terlalu kukuh akan menyebabkan kos pengeluaran barangan dan perkhidmatan adalah tinggi. Harga barangan dan perkhidmatan yang tinggi menyebabkan keluaran syarikat tempatan di Amerika Syarikat tidak kompetitif di pasaran dunia yang akan menjejaskan pendapatan eksport dan imbangan perdagangan (terms of trade) negara berkenaan.



Mengapa perbandingan dibuat dengan negara China

Perbandingan dibuat dengan negara China kerana China merupakan kuasa ekonomi kedua terbesar di dunia ketika ini. Seperti kata Trump, “yuan has been ‘dropping like a rock,’ and that recent Chinese moves to support its currency were done ‘because they don't want us to get angry.’ (Sumber Bloomberg)

Negara China menambat matawang yuan dengan dollar Amerika dengan menggunakan kaedah ‘modified fixed exchange rate’ iaitu mengekalkan kadar pertukaran 2% lebih rendah atau lebih tinggi daripada matawang dollar melalui campur tangan dalam  pasaran matawang asing (FOREX).

Kedudukan nilai dollar yang tinggi memberi kelebihan kepada Amerika daripada segi pengimportan barangan dan perkhidmatan yang lebih murah dari negara luar.

Amerika adalah negara pengimport terbesar di dunia. Negara tersebut mengimport 12% barangan pengguna dari negara China manakala China hanya mengimport 7% daripada barangan eksport dari Amerika (Sumber Bloomberg). Keadaan ini menyebabkan imbangan perdagangan Amerika dengan negara China sentiasa dalam kedudukan defisit.

Misalnya, bagi tahun 2016, Amerika mengalami defisit perdagangan dengan China berjumlah $319 bilion. Ini kerana eksport Amerika ke China hanya berjumlah $104 bilion manakala nilai import berjumlah $423 bilion (Sumber: United State Census Bureau). 

Apa implikasi penurunan dollar kepada Malaysia?

Sekiranya terjadi penurunan matawang dollar maka barangan keluaran Amerika akan menjadi murah dan kompetitif di pasaan dunia. Ia akan menjadi pesaing kepada pengeksport barangan dan perkhidmatan dari negara-negara lain di dunia, termasuk Malaysia.

Amerika Syarikat adalah rakan dagang Malaysia ke-4 terbesar selepas China, Singapura dan Jepun. Pada sepuluh bulan pertama 2016, perdagangan Malaysia dengan Amerika Syarikat berjumlah RM112.08 bilion manakala import RM45.68 bilion (sumber: Jabaan Perangkaan Malaysia). Barangan eksport Malaysia terdiri daripada E&E, optik dan saintifik, kelengkapan pengangkutan, bahan kimia, perkilangan logam dan barangan kayu.

Sekiranya terjadi penurunan matawang dollar maka senario perdagangan luar Malaysia dengan Amerika akan berubah daripada tahun-tahun sebelumnya.