May 08, 2017

IMF: EKONOMI DUNIA 2017 DIUNJUR MENINGKAT 3.5%. BAGAIMANA EKONOMI MALAYSIA?



IMF: EKONOMI DUNIA 2017 DIUNJUR MENINGKAT 3.5%.
BAGAIMANA EKONOMI MALAYSIA?
DR MUZAHET MASRURI


International Monetary Fund (IMF) pada April 2017 baru-baru ini telah mengumumkan unjuran pertumbuhan ekonomi dunia. Dalam kajian yang dilakukan oleh IMF, presatsi ekonomi dunia dijangka meningkat daripada 3.1% (2016) kepada 3.4% (2017) dan 3.6% (2018). Lihat Jadual 1.

Penganalisis IMF menyatakan, antara penyumbang utama kepada unjuran peningkatan pertumbuhan ekonomi dunia ialah prestasi ekonomi yang mulai pulih pada pertengahan tahun 2016 di negara-negara maju dan Negara Baharu Muncul (Emerging Economies) di China dan India serta negara-negara membangun di Asia. 

UNJURAN PERTUMBUHAN NEGARA MAJU

Pada keseluruhannya, pertumbuhan ekonomi di negara-negara maju dijangka meningkat daripada 1.6% pada tahun 2016 kepada 1.9% dan 2.0% pada tahun 2017 dan 2018. Penyumbang utama di kalangan negara-negara maju ialah Amerika syarikat di mana ekonomi negara tersebut dijangka berkembang daripada 1.6% (2016) kepada 2.3% (2017) dan 2.5% (2018).



Bagaimanapun, pertumbuhan di negara-negara Eropah dijangka menurun kepada 1.6% bagi tahun 2017 dan 2018 berbanding dengan 1.7% pada tahun sebelumnya.

UNJURAN BAGI ‘EMERGING ECONOMIES’ 

Emerging Economies, iaitu China dan India serta negara-negara membangun di Asia semakin memainkan peranan penting dalm ekonomi global. Negara-negara tersebut menyumbang 75% kepada pertumbuhan ekonomi dunia daripada segi pengeluaran dan penggunaan.




IMF mengunjurkan pertumbuhan ekonomi China 6.5% bagi tahun 2017. Bagaimanapun, bagi tahun 2018 ekonomi China dijangka menurun kepada 6.0% disebabkan oleh beberapa faktor. Antaranya perubahan dasar dalam negeri ke arah strategi pertumbuhan yang kurang bergantung kepada pelaburan dan eksport komoditi, pertumbuhan yang perlahan di negara maju, ketegangan geo-politik dan masalah pembiayaan bagi program-program pelaburan. 

Bagi India, IMF meramalkan ekonomi negara tersebut berkembang 7.2% pada tahun 2017 dan dijangka meningkat kepada 7.7% pada tahun 2018. Peningkatan ini adalah berasaskan kepada perubahan positif dasar-dasar dalam negeri dan kedudukan ’balance sheet’ serta kedudukan kewangan yang kukuh di negara tersebut.

UNJURAN PERTUMBUHAN ASEAN-5

Bagi 4 buah negara ASEAN-5, pertumbuhan ekonomi dijangka meningkat sedikit pada tahun 2017, iaitu Indonesia (5.1%), Malaysia (4.5%) Filipina (6.7%) dan Vietnam (6.5%). Pertumbuhan bagi 3 buah negara, iaitu Indonesia, Malaysia dan Vietnam sebahagian besarnya disokong oleh faktor peningkaan permintaan dalam negeri manakala bagi Filipina disebabkan oleh peningkatan perbelanjaan sektor awam. Di Thailand pertumbuhan dijangka meningkat sedikit berikutan pemulihan sektor pelancongan yang terjejas sejak tahun 2016.



UNJURAN EKONOMI MALAYSIA

Malaysia adalah antara negara yang pesat membangun dalam kalangan negara ASEAN-5. Antara faktor-faktor yang membantu kepesatan pembangunan ekonomi Malaysia ialah langkah mempelbagaikan pengeluaran barangan dan eksport, kedudukan kewangan yang stabil dan dasar ekonomi makro yang responsif. Bagaimanapun, unjuran ekonomi Malaysia bagi tahun 2017 adalah rendah berbanding dengan pencapaian tahun-tahun sebelumnya, terutama bagi tahun 2014 dan 2015.

Penganalisis IMF meramalkan masa depan ekonomi Malaysia dijangka akan berhadapan dengan risiko luaran dan dalaman. Antara risiko luaran ialah pertumbuhan ekonomi yang rendah di negara-negara maju dan pengasingan Malaysia daripada integrasi dengan negara-negara maju berikutan pelaksanaan ‘inward looking policy’ di Amerika Syarikat. Walaupun Malaysia telah melaksanakan langkah-langkah penjimatan berikutan penurunan harga minyak dunia tetapi kedudukan harga komoditi yang tidak stabil merupakan cabaran bagi mencapai sasaran menstabilkan kedudukan kewangan negara.

Analisis IMF juga menyebut risiko dalaman bagi masa depan ekonomi Malaysia, khususnya berkaitan dengan hutang sektor awam, sektor korporat dan isirumah. Tanggungan hutang negara adalah tinggi dan keadaan ini akan membatasi pelaksanaan dasar-dasar dalam negeri sekiranya berlaku perkara-perkara di luar jangkaan. Walaupun kadar hutang isirumah berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dijangka menurun tetapi jumlahnya masih tinggi dan keupayaan bagi membayar balik hutang hanya meningkat dalam tahap yang rendah.

KESIMPULAN

IMF mengunjurkan pertumbuhan ekonomi dunia yang lebih tinggi, iaitu 3.4% pada tahun 2017 berbanding dengan 3.1% pada tahun 2016. 

Bagaimanapun, penganalisis IMF tidak menolak kemungkinan risiko yang akan dihadapi bagi masa depan ekonomi dunia. Antaranya ialah kecenderungan ke arah ‘inward-looking policy’ dan dasar perlindungan (protectionism) di kalangan negara maju, kekangan sumber pembiayaan di peringkat global yang boleh menjejaskan kedudukan ‘balance-sheet’ di negara-negara Eropah dan Asia, konflik geopolitik dan kelembapan ekonomi di negara China.